Kisah Pengasas Pasaraya MYDIN dan Sejarah Penubuhannya

Bila sebut sahaja mengenai pasaraya borong di Malaysia, mesti setiap orang akan sebut nama Pasaraya Mydin. Ini kerana Pasaraya Mydin merupakan salah satu pasaraya borong yang popular di kalangan peniaga-peniaga runcit.

Tetapi, tahukah anda siapa sebenarnya pemilik rangkaian pasaraya borong ini? Mari kita lihat bagaimana sejarah Pasaraya Mydin bermula dan siapakah gerangan pengasasnya.

Mydin Bermula Sebelum Merdeka Di Pulau Pinang

Sejarah Pasaraya Mydin sebenarnya bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Kedai Mydin yang pertama dibuka di Pulau Pinang oleh Tuan Ghulam Hussein Jamal. Setelah kedai milik keluarga mereka di Pulau Pinang terbakar pada zaman Perang Dunia Kedua, Tuan Mydin Mohamed, yang merupakan anaknya; telah membuka sebuah kedai kecil di Kota Bharu yang dikenali sebagai Syarikat Mydin Mohamed. Pada ketika itu, kedai tersebut menjual barang permainan dan barangan am.

Tuan Mydin memulakan perniagaannya tanpa bantuan daripada sesiapa pun, termasuklah daripada agensi kerajaan. Semuanya dimulakan dengan hasil titik peluh sendiri. Kemudian, dengan bantuan anak-anak yang terdekat, Tuan Mydin mula mengembangkan perniagaannya ke Kuala Terengganu sekitar tahun 1979, dan Jalan Masjid India di Lembah Klang pada tahun 1989. Rentetan dari situlah Syarikat Mydin mula dikenali masyarakat, sehingga berjaya membuka ratusan rangkaian kedai serta pasaraya dan francais di seluruh negara.

Daripada sebuah kedai kecil, kini Syarikat Mydin telah menjadi syarikat pemborong dan peruncit terbesar di negara ini, dengan adanya lebih 95 cawangan di seluruh negara. Selain daripada itu, rangkaian perniagaan Mydin turut berkembang kepada jenis perniagaan yang berbeza dengan adanya pasaraya besar, emporium, kedai serbaneka, pasaraya mini, serta bazaar. Kepelbagaian ini yang berasaskan keperluan penduduk setempat, telah menghasilkan keuntungan lebih RM1.6 billion setahun.

Menjadi perkara biasa bagi sesebuah perniagaan itu untuk menghadapi pelbagai risiko, begitu jugalah Syarikat Mydin. Namun, sikap tidak berputus asa dan tidak mudah patah semangat dalam diri Tuan Mydin dan keluarga beliau, telah menjadikan Syarikat Mydin lebih berjaya dari tahun-tahun sebelumnya.

Ke Mana Tumpahnya Kuah, Kalau Tak Ke Nasi?

Kini, syarikat ini dikenali sebagai Syarikat Mydin Mohamed Holdings Berhad, dan pengurusannya pula diambil alih oleh Dr Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin. Anak Melayu yang berasal dari Kota Bharu, negeri Cik Siti Wan Kembang ini dilahirkan pada 4 Jun 1956 adalah Pengarah Urusan atau COO kepada rangkaian pasaraya Mydin Mohamed Holdings Berhad kini.

Beliau merupakan anak kedua kepada pengasas pasaraya Mydin, iaitu Tuan Mydin Mohamed bin Ghulam. Beliau merupakan pemegang Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Sonoma State University di California. Sejak daripada kecil lagi, beliau mendapat didikan dan ajaran dari bapanya dalam ilmu perniagaan.

Menurut Datuk Wira Dr Ameer Ali, bapanya, Tuan Mydin Mohamed banyak mengajar beliau untuk lebih berdisiplin, bersungguh-sungguh, menepati masa, berjimat-cermat serta mengamalkan sikap jujur dalam perniagaan. Tidak hairanlah apabila ditanya mengenai rahsia kejayaan, prinsip-prinsip inilah yang disebut  menjadi pemangkin kejayaan hidup dan perniagaan beliau.

Tambah beliau lagi, sikap “jangan takut untuk melakukan perubahan” turut diterapkan supaya sesebuah perniagaan itu boleh terus maju dan tidak berada ditakuk lama.

Nasihat Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali kepada peniaga-peniaga muda masa kini, kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan tidak akan datang melalui jalan yang singkat. Kesabaran dan semangat yang tinggi adalah kunci utama untuk berjaya.

Kepada mereka yang minat berniaga, boleh lah mengamalkan prinsip yang diterapkan oleh Tuan Mydin Mohamed untuk maju dalam perniagaan anda.

Sumber Rujukan:

Boleh juga amalkan beberapa tips seperti yang diceritakan dalam Etika Niaga Menurut Islam. Barulah perniagaan kita maju, di samping mendapat keredhaan Allah.

Nak lagi power, boleh gunakan Ayat Pelaris Untuk Perniagaan Dalam Islam. Mesti pertama kali dengar kan?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Menara Merdeka 118 Cerminan Kemajuan Pesat Negara

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) — Pemulihan Stadium Merdeka, lokasi keramat pengisytiharan kemerdekaan negara pada tahun 1957, dan pembangunan Menara Merdeka 118 yang berdiri gah bersebelahannya benar-benar mencerminkan sejauh mana negara telah berkembang maju.  

Bangunan ikonik itu bakal dibuka secara rasmi pada akhir tahun ini dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemilik Merdeka 118, akan berpindah ke tingkat 17 menara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.

PNB memiliki Merdeka 118 melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures.

 Kerja asas bagi pemulihan Stadium Merdeka dan juga pembangunan bangunan ikonik terbaharu negara bermula itu pada 2016, tetapi pandemik COVID-19 telah menyebabkan usaha penyiapannya tertangguh selama setahun.

“Kami kini berada di fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Selepas PNB berpindah dari lokasinya ketika ini di Menara PNB, Jalan Tun Razak, penyewa utama kami, Maybank, dijangka berpindah tahun depan, menjadikan menara itu 70 peratus diduduki,” katanya.

Tengku Ab Aziz juga berkata Stadium Merdeka dijangka dibuka semula kepada orang ramai menjelang suku pertama tahun depan selepas ditutup sejak 2016, manakala Stadium Negara tertutup dijadualkan untuk pengubahsuaian.

Bercakap kepada pemberita semasa sesi lawatan media ke bangunan pencakar langit itu baru-baru ini, beliau berkata penyewa utama lain ialah hotel Park Hyatt bertaraf lima bintang, yang menduduki 17 tingkat (dari aras 100 hingga 117) dengan 252 bilik.

Manakala gedung membeli belah 118 Mall setinggi tujuh tingkat dijangka siap pada 2024.

Apabila siap sepenuhnya kelak pada 2027, Merdeka 118 yang menampilkan menara canggih setinggi 678.9 meter itu akan mengubah kawasan persekitarannya yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti sukannya, menjadi mercu tanda baharu baharu ibu kota dengan bangunan pejabat premiumnya, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.

Bangunan pencakar langit terbaharu di bandar raya itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.

Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).

Pembangunan menara kediaman 

Menurut Tengku Ab Aziz, pembangunan utama lain di kawasan itu termasuk Menara Timur Merdeka Residences setinggi 65 tingkat dan Menara Barat Merdeka Residences setinggi 63 tingkat, serta kediaman berperkhidmatan Oakwood Premier Kuala Lumpur.

Pembangunan Merdeka 118 yang menelan kos RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.

Tengku Ab Aziz berkata pembangunan itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion. 

Merdeka 118 terdiri daripada kira-kira 18,000 panel kaca yang membentuk penampilan luar kristal menara itu dan pemasangan panel akhir menandakan menara itu 95 peratus telah siap.

Mengenai kebimbangan pembangunan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, yang berhampiran dengan Petaling Street, Tengku Ab Aziz memberi jaminan menara itu akan mudah untuk diakses menerusi pengangkutan awam berhampiran seperti stesen MRT Merdekanya sendiri, dan akses ke stesen LRT Hang Tuah dan Plaza Rakyat, serta hentian monorel Maharajalela dan Hang Tuah.

“Aliran trafik juga akan dibuka sehala untuk mengurangkan kesesakan apabila bangunan pencakar langit itu beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Selain pengangkutan awam, menara itu juga mempunyai sambungan terus melalui Terowong Belfield, akses dari Lebuhraya Persekutuan, serta Jalan Damansara atau Jalan Istana.

97.8 peratus siap, tumpuan kepada kelestarian

Sehingga Ogos 2023, Merdeka 118 merupakan menara pertama di Malaysia yang berusaha untuk mencapai penilaian platinum hijau tiga kali ganda dengan pensijilan kelestarian antarabangsa dan kerja-kerja telah 97.8 peratus siap.

Tengku Ab Aziz juga berkata syarikat antarabangsa turut menunjukkan minat untuk beroperasi di Merdeka 118, dan ramai yang mencari bangunan yang bercirikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana tidak banyak bangunan yang diperakui ESG di bandar raya ini.

“Ruang pejabat dibuka untuk disewa pada harga RM20 sekaki persegi,” katanya.

Walaupun ramai orang yang mungkin agak keliru tentang fungsi antara Tun Razak Exchange (TRX) dan Merdeka 118, Tengku Ab Aziz menjelaskan bahawa bangunan kedua tertinggi di dunia akan dikategorikan sepenuhnya sebagai bangunan warisan, budaya dan lestari Malaysia untuk menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian dan bukannya sebagai hab kewangan.

Menurutnya reka bentuk Merdeka 118 adalah berdasarkan siluet (bayang) Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang mengangkat tangan sambil melaungkan laungan “Merdeka!”pada 31 Ogos 1957, manakala puncak menara di atas bangunan itu mencerminkan imej bapa kemerdekaan mengangkat tangan beliau semasa pengisytiharan kemerdekaan.

Pemandangan menakjubkan Merdeka 118 dari Stadium Merdeka memberikan pengalaman dan gambaran suasana perjalanan masa dari tahun 1957 hingga ke hari ini, manakala pembangunan dan seni bina moden, merupakan manifestasi kemajuan pesat negara sejak enam dekad yang lalu.

— BERNAMA