Lahir Di Dalam Keluarga Yang Miskin, Akhirnya Menjadi Wanita Terkaya Dunia

Beliau yang bernama Zhou Qunfei (周群飞), dilahir kan pada tahun 1970 di Xiangxiang, salah satu daerah di Hunan, China. Merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik-beradik, beliau dilahirkan dalam keluarga yang miskin.

Bapanya adalah seorang bekas tentera yang menjadi buta dan kehilangan jari semasa kemalangan ketika berkerja pada tahun 1960. Namun, bapanya masih dapat menyara keluarga mereka dengan membuat kraftangan seperti bakul yang diperbuat daripada bambu dan sebagainya.

Ibunya pula meninggal dunia ketika beliau berumur 5 tahun.

Kesusahan Menghimpit Kehidupan

Itu semua membakar semangat Zhou Qunfei untuk membantu keluarganya dengan menternak haiwan untuk dijual bagi mendapatkan wang. Di antara binatang ternakan yang beliau ternak adalah itik, ayam, khinzir dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, beliau merupakan satu-satunya anak di dalam keluarga yang diletakkan yang harapan tinggi, kerana beliau menyambung pelajaran ke sekolah menengah berbanding adik-beradiknya yang lain.

Namun ianya tidak bertahan lama kerana semasa umur 16 tahun beliau terpaksa berhenti sekolah disebabkan tekanan hidup, kemudian berpindah ke rumah pakciknya di Shenzhen.

Di Shenzhen, beliau sengaja memilih untuk bekerja di syarikat yang berhampiran dengan Universiti Shenzhen, kerana  keinginannya untuk mengambil kursus sambilan di universiti tersebut. Beliau telah lulus peperiksaan dalam bidang perakaunan, operasi komputer, dan sebagainya.

Namun sedikit penyesalan beliau ialah tidak mempelajari bahasa Inggeris di usia muda.

Seorang Yang Kuat Bekerja

Pada asalnya Zhou Qunfei mengimpikan untuk menjadi seorang pereka fesyen. Kemudiannya beliau bekerja di Shenzhen, sebuah kilang membuat kaca cermin untuk jam.

Beliau sentiasa bekerja 16 ke 18 jam sehari disebabkan keinginannya untuk membuka syarikat perniagaan sendiri satu hari nanti. Ibarat kata-kata beliau “I choose to be in business and I don’t regret it”

Tahun 1993 ketika berumur 22 tahun, beliau telah berjaya membuka syarikat perniagaannya sendiri yang fokus dalam pembuatan Lens Technology. Dengan berbekalkan modal sebanyak $3,000 USD dan sedikit bantuan wang daripada saudara-mara, beliau tidak memandang ke belakang lagi.

Anda masih ingat model telefon Motorola V3?

10 tahun selepas Zhou Qunfei menjalankan perniagaannya, beliau telah diberi peluang untuk membekalkan kaca skrin bagi model ini. Sememangnya kejayaan beliau dengan bekerjasama dengan syarikat Motorola telah membuka ruang untuk beliau bekerjasama pula dengan syarikat Apple menerusi model iPhone pada tahun 2007.

Maju, Maju Dan Terus Maju

Tidak berhenti di situ, beliau kemudiannya meneruskan kerjasama dengan syarikat gergasi dari Korea Selatan pula, iaitu dengan dengan membekalkan kaca skrin telefon Samsung Galaxy.

Pada tahun 2016, kesemua kilang di bawah beliau telah memberi peluang pekerjaan kepada 75,000 pekerja dan mengeluarkan lebih daripada 1 bilion skrin kaca kepada pelbagai jenama telefon.

Hasilnya, semasa Zhou Qunfei berumur 46 tahun beliau telah diiktiraf sebagai wanita terkaya di dunia berkat kerja keras selama 20 tahun dalam bidang perniagaan kaca cermin skrin telefon.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.