5 Kesilapan Kewangan Yang Biasa Dilakukan Golongan Belia

Apabila anda sudah menginjak usia 30 tahun, anda seharusnya matang dan bijak dalam melakukan perancangan kewangan anda. Ada yang kata kehidupan bermula ketika usia 40 tahun, namun pada usia 30 tahun adalah merupakan fasa yang kritikal yang akan menunjukkan samada kita ini matang dalam perancangan kewangan atau pun tidak.

Namun begitu, masih ramai yang melakukan kesalahan yang sebenarnya boleh dielakkan. Semoga kita semua dapat menjauhkan diri daripada kesalahan berikut.

Kesalahan 1: Salah Guna Kemudahan Kad Kredit

Siapa yang tak bangga bila dapat kad kredit pertama? Ada yang berbangga sampai memberitahu semua orang, berapa jumlah had kad kredit yang dimilikinya.

Namun kita harus tahu, bahawa kad kredit jika tidak digunakan dengan sebaiknya akan menjadi beban kepada kita di masa akan datang. Mana taknya, asyik swipe saja untuk semua perkara – kemudian hanya bayar minimum saja setiap bulan.

Kalau nak tahu cara yang sebetulnya, jemput baca 7 Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Menguntungkan.

Kesalahan 2: Tidak Memiliki Rumah

Aset merupakan satu perkara yang penting apabila kita menginjak usia 30 tahun. Sekurang-kurangnya kita harus berusaha untuk memiliki aset tetap seperti rumah, tanah atau emas. Aset ini mempunyai nilai yang akan bertambah dari semasa ke semasa.

Namun kebanyakan daripada kita yang melakukan kesalahan dengan menambah liabiliti pula, seperti membeli kereta, telefon bimbit terbaru dan pakaian berjenama.

Biasa dengar pepatah “We buy things we don’t need with money we don’t have to impress people we don’t like“?

Bagi mereka yang memerlukan bantuan, cuba renung-renungkan Bagaimana Membezakan Antara Keperluan Dan Kehendak?

Kesalahan 3: Tidak Mempunyai Simpanan

Simpanan adalah penting dan kita disarankan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 3 sehingga 6 bulan gaji bulanan sebagai duit simpanan kecemasan. Namun menurut statistik yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), 3 daripada 4 rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan RM1,000 yang boleh digunakan ketika berlakunya kecemasan.

Bukan untuk kecemasan saja, kita juga perlu ada simpanan untuk perbelanjaan tahunan seperti memperbaharui cukai jalan dan Takaful kenderaan, simpanan untuk pergi berjalan-jalan dan banyak lagi.

Cuba tengok 5 Jenis Tabung Simpanan Anak Muda Perlu Ada.

Kesalahan 4: Bergantung Kepada Satu Pendapatan Sahaja

Di zaman sekarang yang semakin mencabar, kita tidak boleh bergantung kepada hanya satu punca pendapatan sahaja. Jika ditakdirkan kita dibuang kerja, maka habislah kita. Simpanan pun tiada, pendapatan pun tiada.

Rajin-rajinlah membuat pendapatan sampingan, bagi yang tak tahu caranya boleh baca 10 Idea Menyeronokkan Untuk Menjana Pendapatan Mengikut Personaliti.

Kesalahan 5: Menangguhkan Pengambilan Takaful

Kita sepatutnya mengambil Takaful seawal yang mungkin atau apabila kita mula bekerja. Ianya ibarat seperti simpanan, cuma yang membezakannya ialah kita tidak dapat mengeluarkan duit simpanan tersebut hanya apabila terjadinya kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan, sakit dan sebagainya.

Malah lagi awal kita mengambil Takaful, lagi murah bayaran bulanan yang perlu kita bayar. Ambil tahu berkenaan 4 Kepentingan Takaful atau Insurans Hayat yang Golongan Muda Perlu Tahu.

This image has an empty alt attribute; its file name is assidq_300x250px_bm01.jpg

Dapatkan Khidmat Nasihat Berkaitan Kewangan Daripada Perancang Kewangan Yang Berlesen

Anda sedang berdepan dengan masalah kewangan dan tak tahu nak tanya siapa? Ada masalah nak menyimpan dan tak tahu nak melabur kat mana?

Zaman sekarang ni, ramai yang claim mereka pakar, tapi berapa ramai yang merupakan Perancang Kewangan atau Financial Planner yang berlesen? Kalau nak tahu di Malaysia, bilangan mereka ini tak sampai pun seribu orang, memang rare sangat.

Memperkenalkan My Personal Finances (MyPF Premier)

Kini anda selangkah saja lagi untuk mendapatkan manfaat bagi mengembangkan kewangan peribadi bagi menuju kebebasan kewangan yang dicari-cari.

Mereka menghubungkan anda kepada Perancang Kewangan yang berdaftar dan boleh membantu daripada segi:

  • Penasihat yang membimbing dalam menetapkan sasaran kewangan, mengulas dan berkongsi ilmu
  • Khidmat nasihat yang kerap dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, dan menjawab segala kemusykilan berkaitan kewangan
  • Pembelajaran secara hands-on dalam pelaburan, termasuklah saham, hartanah dan lain-lain

Bila dah kenalpasti masalah yang dihadapi, punca masalah tersebut dan cadangan daripada mereka yang pakar untuk mengatasinya; barulah rasa lega sikit kan? Seolah-olah dah nampak cahaya di hujung terowong.

Jom kita jadi ahli MyPF Premier hari ini juga.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Mati Tanpa Wasiat, Siapa Akan Uruskan Harta Kita?

Ramai orang sibuk mengumpul aset sepanjang hidup. Ada yang memiliki rumah, tanah, saham, emas, perniagaan dan pelbagai bentuk pelaburan lain.

Namun, satu perkara yang sering dilupakan ialah bagaimana semua aset ini akan diuruskan apabila pemiliknya meninggal dunia.

Bayangkan jika seseorang meninggal dunia dan meninggalkan 100 buah rumah sewa yang menjana pendapatan RM200,000 sebulan.

Beliau mempunyai empat orang anak yang mahu meneruskan perniagaan sewaan tersebut.
Tetapi siapa yang akan menguruskan rumah-rumah itu?
Siapa yang akan menerima bayaran sewa?
Siapa yang bertanggungjawab membayar kos penyelenggaraan, cukai dan liabiliti berkaitan?

Lebih penting, bagaimana pendapatan tersebut akan diuruskan sementara menunggu proses pentadbiran dan pembahagian harta pusaka selesai?

Di sinilah pentingnya perancangan harta atau estate planning. Tapi ingat, perancangan harta bukan bermaksud mencari jalan untuk mengelakkan faraid. Sebaliknya, ia bertujuan memastikan aset diurus dengan teratur, tanggungjawab selepas kematian jelas dan kebajikan keluarga terus terpelihara.

Sebagai contoh, pemilik boleh merancang supaya 33 daripada 100 buah rumah sewa diperuntukkan kepada satu struktur amanah yang diwujudkan secara sah semasa hidup.

Pemegang amanah akan menguruskan aset tersebut, termasuk kutipan sewa, penyelenggaraan dan pengagihan hasil bersih kepada benefisiari mengikut syarat yang ditetapkan.

Baki 67 buah rumah pula boleh diuruskan melalui perancangan pewarisan yang berasingan, tertakluk kepada wasiat, hukum faraid dan hak waris.

Dengan cara ini, sebahagian aset boleh terus menjana pendapatan untuk manfaat keluarga, manakala baki aset diuruskan melalui proses pewarisan.

Nota: Pembahagian 33:67 ini hanyalah contoh perancangan, bukannya ketetapan wajib. Had satu pertiga bagi wasiat kepada bukan waris tidak boleh disamakan secara automatik dengan had hibah atau amanah yang diwujudkan dan disempurnakan semasa hidup.

Wasiat bukan sekadar menentukan siapa dapat harta

Wasiat ialah dokumen yang membolehkan seseorang menyatakan hasrat berkaitan pengurusan dan pembahagian hartanya selepas meninggal dunia.

Antara perkara yang boleh dirancang melalui wasiat ialah:

  1. Melantik wasi (executor) untuk menguruskan harta pusaka.
  2. Menentukan penerima manfaat atau benefisiari.
  3. Memberikan arahan berkaitan aset tertentu.
  4. Melantik penjaga bagi anak-anak yang masih bawah umur.
  5. Menetapkan perancangan amanah bagi tujuan tertentu, tertakluk kepada undang-undang yang terpakai.

Bagi orang Islam, wasiat tertakluk kepada hukum syarak. Secara umumnya, wasiat kepada bukan waris boleh dibuat sehingga satu pertiga daripada harta pusaka bersih selepas penyelesaian hutang. Wasiat kepada waris yang berhak menerima faraid memerlukan persetujuan waris-waris lain selepas kematian pewasiat.

Ini bermakna wasiat bukan instrumen untuk mengetepikan faraid.

Bagi bukan Islam pula, pembahagian harta melalui wasiat tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan, termasuk Akta Wasiat 1959 dan Akta Pembahagian 1958 bagi Semenanjung Malaysia.

Bagaimana pula dengan konsep Trust atau Amanah?

Selain wasiat, terdapat satu lagi instrumen perancangan harta yang semakin mendapat perhatian, iaitu Trust atau amanah.

Melalui struktur ini, seseorang boleh melantik pemegang amanah (trustee) untuk menguruskan aset bagi manfaat penerima yang telah ditentukan.

Contohnya, seorang bapa memiliki 100 buah rumah sewa.

Beliau mahu memastikan rumah-rumah tersebut terus menjana pendapatan selepas kematiannya. Beliau juga mahu anak-anak menerima manfaat daripada pendapatan sewa, tetapi tidak mahu semua aset diserahkan kepada mereka secara terus ketika masih muda.

Melalui struktur amanah yang dirancang dan diwujudkan secara sah semasa hidup, pemegang amanah boleh diberikan tanggungjawab untuk:

  • Menguruskan hartanah dan penyewaan.
  • Mengutip pendapatan sewa.
  • Membayar perbelanjaan pengurusan hartanah.
  • Mengagihkan pendapatan kepada benefisiari mengikut syarat amanah.
  • Melindungi kepentingan anak-anak yang masih bawah umur.

Amanah juga boleh diwujudkan melalui wasiat, tetapi pelaksanaannya tertakluk kepada undang-undang dan, bagi orang Islam, hukum syarak serta hak faraid.

Bolehkah wasiat dibuat secara online?

Jawapannya, ya.

Perkembangan teknologi telah membuka ruang kepada masyarakat untuk menyediakan dokumen perancangan harta melalui platform digital.

Antara penyedia perkhidmatan di Malaysia ialah:

1. AWARIS – Amanah Warisan Berhad

Laman web: https://awarisgroup.com/

AWARIS menawarkan pelbagai perkhidmatan perancangan harta, termasuk penulisan wasiat, hibah, amanah persendirian dan institusi, perancangan legasi, pentadbiran harta pusaka serta pengurusan tanah dan aset.

Menariknya, AWARIS turut bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad bagi menyediakan perkhidmatan penulisan wasiat melalui aplikasi BIMB Mobile.

Melalui kemudahan ini, pelanggan boleh mengakses perkhidmatan penulisan wasiat secara digital tanpa perlu melalui keseluruhan proses konvensional.

Ini menunjukkan bahawa perancangan harta kini semakin mudah diakses melalui platform digital. Selain menyediakan dokumen wasiat, AWARIS juga menawarkan penyelesaian amanah bagi mereka yang mahu merancang pengurusan aset dan manfaatnya untuk keluarga dalam jangka panjang.

2. AmanahRaya Berhad

Laman web: https://www.amanahraya.my/

AmanahRaya merupakan syarikat pemegang amanah awam yang menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan pengurusan harta pusaka.

Antara perkhidmatannya ialah:

  • Penulisan wasiat.
  • Pentadbiran harta pusaka.
  • Pengurusan amanah.
  • Penyimpanan dokumen wasiat.

Permohonan awal untuk penulisan wasiat dan perkhidmatan amanah juga boleh dimulakan melalui portal dalam talian.

AmanahRaya juga menyediakan perkhidmatan pentadbiran amanah dan perancangan legasi. Antara penyelesaian yang ditawarkan ialah Family Care Trust, SafeCare Trust dan Property Trust.

Property Trust, misalnya, merupakan penyelesaian amanah bagi hartanah seperti rumah dan tanah yang diletakkan di bawah pengurusan pemegang amanah mengikut terma perjanjian amanah.

3. Wasiyyah Shoppe Berhad

Laman web: https://www.wasiyyahshoppe.com.my/

Wasiyyah Shoppe menawarkan perkhidmatan perancangan harta patuh syariah untuk masyarakat Islam.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan:

  • Wasiat.
  • Hibah.
  • Amanah.
  • Pengurusan harta pusaka.
  • Perancangan pewarisan harta.

Syarikat ini turut menggunakan teknologi digital dan fintech untuk memudahkan urusan perancangan harta pelanggan.

4. Maybank Trustees Berhad

Laman web: https://www.maybank2u.com.my/

Maybank Trustees menyediakan perkhidmatan penulisan Will dan Wasiat melalui saluran digital Maybank.

Pelanggan boleh mengakses perkhidmatan tertentu melalui Maybank2u, manakala pakej yang lebih kompleks boleh memerlukan khidmat nasihat dan pengurusan khusus.

Antara perkhidmatan berkaitan ialah:

  • Will dan Wasiat.
  • Testamentary Trust.
  • Insurance Trust.
  • Takaful Hibah Trust.
  • Perkhidmatan wasi dan pemegang amanah.

5. Rockwills

Laman web: https://www.rockwillstrust.my/

Rockwills merupakan antara penyedia perkhidmatan penulisan wasiat dan amanah yang dikenali di Malaysia.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah:

  • Will Writing.
  • Will Custody.
  • Trust Services.
  • Business Succession Planning.
  • Estate Administration.

Rockwills turut menyediakan perkhidmatan konsultasi dan saluran digital untuk membantu pelanggan memulakan proses perancangan harta.

6. WasiatKu – SmartWills

Laman web: https://wasiatku.com.my/

WasiatKu menawarkan platform digital untuk penulisan wasiat, hibah dan perancangan faraid.

Melalui perkhidmatan SmartWills, pelanggan boleh mengisi maklumat secara dalam talian, membuat pengesahan dan menerima dokumen wasiat dalam bentuk PDF melalui e-mel.

Platform ini dikendalikan oleh WasiatKu Fintech Sdn Bhd.

PENAFIAN (DISCLAIMER) : Senarai syarikat dan penyedia perkhidmatan yang dinyatakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan informasi dan pendidikan kewangan sahaja. Penyebutan nama, jenama atau pautan laman web mana-mana syarikat tidak bermaksud artikel ini memberikan pengesahan, sokongan, cadangan pelaburan atau endorsement terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Apa yang perlu diperhatikan sebelum memilih penyedia perkhidmatan wasiat?

Walaupun proses penulisan wasiat kini semakin mudah, pelanggan perlu memahami bahawa kos menulis wasiat tidak semestinya merangkumi keseluruhan kos pentadbiran harta pusaka.

Antara perkara yang perlu diperiksa ialah:

  1. Adakah syarikat menyediakan perkhidmatan sebagai wasi atau hanya menyediakan dokumen wasiat?
  2. Adakah syarikat menawarkan perkhidmatan pemegang amanah?
  3. Berapakah caj penyimpanan dokumen?
  4. Berapakah fi pentadbiran harta pusaka selepas kematian?
  5. Adakah dokumen boleh dipinda apabila berlaku perubahan dalam kehidupan?
  6. Adakah struktur yang dicadangkan sesuai dengan hukum syarak dan undang-undang?

Perancangan harta juga mempunyai implikasi percukaian

Satu perkara yang menarik ialah kematian seseorang tidak semestinya menyebabkan aktiviti ekonomi daripada hartanya terhenti.

Jika si mati mempunyai banyak rumah sewa, perniagaan atau pelaburan yang masih menjana pendapatan, tanggungjawab percukaian terhadap pendapatan selepas kematian masih perlu diuruskan.

Dalam sistem percukaian Malaysia, pendapatan daripada harta pusaka selepas kematian perlu ditangani melalui fail cukai harta pusaka (TP), tertakluk kepada peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Apabila pentadbiran harta pusaka selesai dan aset diagihkan, layanan percukaian seterusnya bergantung kepada pemilikan dan struktur aset tersebut.

Jika aset dipindahkan kepada amanah, struktur dan kewajipan cukainya pula perlu ditentukan berdasarkan kedudukan amanah berkenaan.

Ini menunjukkan perancangan harta bukan hanya berkaitan siapa akan mewarisi kekayaan, tetapi juga bagaimana kekayaan tersebut akan terus diuruskan dan menjana pendapatan.

SOALAN LAZIM: WASIAT DAN PERANCANGAN HARTA BAGI ORANG ISLAM

1. Bolehkah orang Islam membuat wasiat?

Ya. Orang Islam boleh membuat wasiat semasa hidup untuk menentukan pemberian sebahagian hartanya selepas meninggal dunia. Namun, wasiat orang Islam tertakluk kepada hukum syarak dan tidak mempunyai kebebasan mutlak seperti wasiat bagi bukan Islam.

Secara umum, wasiat boleh dibuat kepada bukan waris yang layak menerima pemberian tersebut, tertakluk kepada had yang ditetapkan syarak.

2. Benarkah orang Islam hanya boleh mewasiatkan maksimum satu pertiga (1/3) daripada harta?

Ya, secara umum wasiat kepada bukan waris dihadkan kepada maksimum satu pertiga (1/3) daripada harta pusaka bersih, selepas mengambil kira urusan berkaitan jenazah dan pembayaran hutang.

Jika nilai wasiat melebihi satu pertiga, lebihan tersebut memerlukan persetujuan waris yang berhak selepas kematian pewasiat.

3. Bolehkah seseorang mewasiatkan hartanya kepada anak atau isteri sendiri?

Pada prinsipnya, wasiat kepada waris yang berhak menerima faraid tidak berkuat kuasa melainkan mendapat persetujuan waris-waris lain selepas kematian pewasiat.

Ini kerana pembahagian kepada waris telah ditentukan melalui hukum faraid. Wasiat tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya untuk mengubah bahagian waris yang telah ditetapkan.

4. Apakah perbezaan antara wasiat, hibah dan faraid?

Ketiga-tiganya mempunyai fungsi yang berbeza:

  • Wasiat: Pemberian harta yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat, tertakluk kepada syarat dan had hukum syarak.
  • Hibah: Pemberian harta secara sukarela semasa pemilik masih hidup. Pemilikan perlu dipindahkan atau disempurnakan mengikut rukun dan syarat hibah.
  • Faraid: Kaedah pembahagian harta pusaka kepada waris yang berhak selepas seseorang meninggal dunia, berdasarkan ketetapan hukum syarak.

5. Bolehkah orang Islam menggunakan hibah untuk memberikan rumah kepada anak tertentu?

Ya. Seseorang boleh menghibahkan hartanya kepada anak atau individu lain ketika masih hidup, termasuk kepada ahli waris.

Namun, hibah mestilah memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan, termasuk pemilikan harta, persetujuan pihak berkaitan dan penyempurnaan penyerahan hak milik mengikut keperluan hukum syarak.

Hibah juga tidak sepatutnya dijadikan helah untuk menafikan hak waris secara tidak adil.

6. Bolehkah orang Islam menubuhkan amanah (trust) untuk menguruskan harta keluarga?

Ya. Orang Islam boleh menggunakan struktur amanah untuk tujuan pengurusan dan perlindungan harta, termasuk memastikan aset diuruskan bagi manfaat anak-anak atau ahli keluarga.

Contohnya, seseorang boleh merancang supaya hasil sewaan beberapa buah rumah digunakan untuk membiayai pendidikan dan keperluan anak-anak.

Walau bagaimanapun, struktur amanah perlu diteliti berdasarkan bentuk pemilikan, tujuan penubuhan, masa pemindahan aset dan pematuhan hukum syarak. Amanah bukan instrumen automatik untuk mengetepikan faraid.

7. Bolehkah hibah atau amanah digunakan supaya harta tidak perlu dibahagikan mengikut faraid?

Tidak boleh dianggap begitu secara automatik.

Hibah yang sah dan telah disempurnakan semasa pemilik masih hidup boleh menyebabkan harta berkenaan tidak lagi menjadi sebahagian daripada harta pusaka pemberi hibah.

Namun, kesahihan hibah bergantung pada pelaksanaan dan pematuhan syaratnya. Transaksi yang dibuat hanya sebagai helah untuk menafikan hak waris boleh menimbulkan pertikaian hukum dan undang-undang.

8. Apa akan berlaku jika seseorang Islam meninggal dunia tanpa membuat wasiat?

Harta pusaka tetap boleh diurus dan dibahagikan mengikut hukum faraid.

Waris atau pentadbir perlu mengenal pasti aset dan liabiliti si mati, menyelesaikan hutang, mengambil kira tuntutan harta sepencarian jika berkaitan, mengenal pasti waris yang berhak dan mendapatkan pengesahan bahagian faraid apabila diperlukan.

Ketiadaan wasiat tidak bermaksud harta si mati tidak boleh diwariskan.

9. Siapakah yang boleh dilantik untuk menguruskan harta selepas kematian?

Seseorang boleh membuat perancangan awal dengan melantik wasi atau pemegang amanah, tertakluk kepada undang-undang dan syarat yang berkaitan.

Peranan mereka adalah untuk melaksanakan tanggungjawab pengurusan harta, termasuk mengurus dokumen, menyelesaikan urusan berkaitan pusaka dan melaksanakan pemberian yang sah.

Pelantikan wasi atau pemegang amanah tidak menjadikan individu tersebut pemilik mutlak harta pusaka.

10. Adakah orang Islam boleh menggunakan khidmat syarikat perancangan harta dan penulisan wasiat?

Ya. Orang Islam boleh mendapatkan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen wasiat, hibah dan amanah.

Namun, pastikan penyedia perkhidmatan memahami keperluan perancangan harta Islam dan mempunyai kepakaran yang sesuai. Semak juga skop perkhidmatan, fi, status pendaftaran serta pihak yang akan bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah.

Dokumen yang disediakan perlu disesuaikan dengan keadaan keluarga, jenis aset dan peruntukan undang-undang negeri yang berkenaan.

11. Adakah simpanan ASB dan KWSP boleh dihibahkan kepada waris?

Bagi pelaburan ASB, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menyediakan kemudahan Hibah Amanah untuk pemegang unit beragama Islam. Melalui kemudahan ini, pelaburan unit amanah yang memenuhi syarat boleh dihibahkan kepada penerima yang dinamakan semasa pemberi hibah masih hidup. Harta hibah tersebut akan diserahkan kepada penerima selepas kematian pemberi hibah. Baca juga Hibah Amanah ASB Memudahkan Proses Tuntutan Waris Selepas Kita Meninggal Dunia.

Bagi simpanan KWSP pula, kemudahan yang disediakan ialah penamaan, bukannya hibah. Bagi ahli Muslim, penama bertindak sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan wang simpanan tersebut untuk waris yang berhak mengikut hukum syarak.

Oleh itu, penting untuk memahami bahawa penama KWSP tidak semestinya pemilik wang tersebut, manakala penerima Hibah Amanah ASNB menerima harta berdasarkan perjanjian hibah yang sah. Baca juga KWSP Suami Meninggal: Isteri Boleh Tuntut Sebagai Harta Sepencarian.

Penutup

Kita mungkin mengambil masa puluhan tahun untuk mengumpul aset dan membina kekayaan.

Tetapi tanpa perancangan yang betul, waris mungkin mengambil masa yang panjang untuk menguruskan dan mendapatkan manfaat daripada harta yang ditinggalkan.

Kini, dengan adanya platform digital, proses memulakan perancangan wasiat dan amanah menjadi lebih mudah.

Persoalannya bukan lagi sama ada kita mempunyai cukup harta untuk membuat wasiat.

Sebaliknya, adakah kita sudah merancang bagaimana harta tersebut akan diuruskan apabila kita sudah tiada?

Kerana mewariskan harta itu satu perkara. Memastikan harta tersebut terus memberi manfaat kepada generasi seterusnya adalah satu perancangan yang berbeza.

Rujukan:
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia – Perkara Penting Sebelum Pembahagian Pusaka bagi Orang Islam
Jabatan Mufti Negeri Sembilan – Wasiat, Hibah dan Faraid
JKPTG – Soalan Lazim Pusaka Kecil
Jabatan Bantuan Guaman – Risalah Wasiat dan Hibah