Nasihat Daripada 5 Orang Terkaya Malaysia

Setiap tahun pasti ada dikalangan kita yang teruja untuk mengetahui siapa yang tersenarai dalam ‘Forbes Malaysia 50 Richest’. Nilai kekayaan dan kejayaan mereka yang tersenarai di dalam list ini sangat mengkagumkan. Namun begitu, menurut Forbes, keadaan ekonomi Malaysia yang perlahan dan penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan sedikit angka kejayaan ini.

Jom kita dengar nasihat daripada 5 orang terkaya di Malaysia dan rahsia kejayaan mereka.

1. Tan Sri Robert Kuok (Raja Gula)

“Setiap perniagaan itu mempunyai risikonya yang tersendiri. Jika anda tidak berani untuk merebut peluang pertama dan seterusnya, anda akan menjadi miskin selama-lamanya.”

Tokoh yang mendapat jolokan Raja Gula Asia ini merupakan insan terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak USD12.2 bilion. Beliau juga mengungguli carta orang terkaya di Malaysia bagi tempoh hampir dua dekad.

Beliau merupakan graduan Arts/Science dari Raffles College dan memulakan kerjaya sebagai budak pejabat. Kini beliau merupakan pemilik kepada Kuok Group yang menggendalikan pelbagai cabang perniagaan seperti perladangan tebu, kilang gula, kilang tepung, minyak, perlombongan, perhotelan dan sebagainya.

2. Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Bank)

“Perkara pertama, anda perlu jatuh cinta dengan bidang tersebut. Tetapi itu sahaja tidak cukup. Anda mesti mempunyai visi dan impian yang besar. Anda mungkin tidak dapat mencapai impian tersebut sepenuhnya. Tetapi sekurang-kurangnya anda mampu mencapai sebagaian impian itu.”

Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif bagi Hong Leong Co. (Malaysia). Syarikat ini terlibat dalam bidang kewangan, hartanah, makanan dan juga pembuatan. Sebahagian daripada kekayaan yang beliau miliki adalah warisan daripada mendiang bapanya yang memulakan kumpulan perbankan sekitar tahun 1920-an.

Beliau merupakan orang kedua terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak USD9.6 bilion. Beliau yang kini berusia 79 tahun merupakan graduan undang-undang dari Middle Temple, UK juga dikenali sebagai seorang yang tegas apabila melibatkan urusan perniagaan.

3. Tan Sri Ananda Krishnan (Maxis dan Astro)

“Saya sering mendengar ramai yang mengatakan bahawa saya seorang yang low profile. Kenapa seseorang itu perlu menjadi high profile? Saya cuma menjalankan kerja saya.”

Individu yang menduduki tempat keempat terkaya di Malaysia ini dikenali dengan kemahirannya menentukan waktu yang tepat dalam membuat keputusan terhadap sesuatu pasaran. Tan Sri Ananda memiliki nilai aset sebanyak USD5.8 bilion.

Beliau juga turut melibatkan diri dalam pelbagai jenis cabang bisnes seperti hiburan, sukan, media, pemasaran, pengiklanan, dan komunikasi. Tokoh ini juga merupakan pemegang syer dalam syarikat telekomunikasi Maxis dan Bumi Ananda.

Beliau menamatkan pelajarannya di Harvard dalam bidang perniagaan dan sering melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan.

4. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hiong Piow (Public Bank)

Dalam setiap perniagaan, tidak sepatutnya wujud kompromi dalam soal integriti dan kejujuran kerana kejayaan sesuatu perniagaan itu sangat bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan masyarakat.

Pengasas dan juga bekas pengurusi kepada Public Bank Berhad ini merupakan orang kelima terkaya di Malaysia. Aset yang dimilikinya berjumlah USD5.5 bilion.

Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang kerani di Oversea Chinese Banking Corporation Ltd. dan pernah bekerja di Malayan Banking Berhad sebagai seorang pengurus. Beliau kemudiannya telah menubuhkan Public Bank ketika berusia 35 tahun.

5. Tan Sri Dr. Chen Lip Keong (NagaCorp)

“Kami bukan nak membangunkan sebuah monumen. Kami ingin membangunkan sektor pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi. Kami telah memberi sumbangan dari segi pertumbuhan pelancongan, meningkatkan pelaburan antarabangsa, menarik FDI dan juga pembayar cukai terbesar di negara ini.”

Tan Sri Dr. Chen merupakan CEO kepada NagaCorp dan mempunyai aset bernilai USD3.8 bilion. Syarikat ini merupakan syarikat induk kepada NagaWorld iaitu sebuah kompleks resort kasino terbesar di IndoChina. Mereka juga sedang dalam usaha untuk membangunkan sebuah lagi resort kasino di Rusia.

Selain daripada perniagaan kasinonya, beliau turut terlibat dalam sektor hartanah dan juga tenaga. Ini menjadikan beliau berada di tangga kesembilan orang terkaya di Malaysia. Kalau nak tahu, beliau merupakan seorang doktor lulusan Universiti Malaya.

Tidak semua yang berjaya hari ini berasal dari keluarga jutawan. Ada yang bermula dari bawah. Kalau mereka boleh melakukannya, kenapa tidak kita?

Potret gambar diambil daripada Forbes

Sumber Rujukan: iMoney

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.