Cukai Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat

Cukai ialah suatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita, pentabiran negara dan ekonomi. Hasil cukai ini digunakan oleh Kerajaan untuk mentadbir dan mengurus serta menampung perbelanjaaan membangunkan negara. 

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan mengutip cukai langsung, saban tahun mengadakan pelbagai kempen dan peringatan kepada pembayar cukai supaya menunaikan tanggungjawab mereka untuk menghantar Borang Nyata sama ada secara manual atau dalam talian melalui e-Filing dan membayar cukai yang sepatutnya.

Jutaan ringgit juga dibelanjakan oleh LHDNM untuk pengiklanan, kempen, wawancara di stesen TV dan radio  demi memberi kesedaran dan peringatan kepada rakyat tentang kepentingan cukai kepada pembangunan negara. Namun, masih ramai lagi yang masih belum memahami dan culas membayar cukai mereka. Pembangunan sebuah negara di dunia termasuk Malaysia sebahagian besarnya dibiayai oleh hasil cukai. 

Di Malaysia, terdapat dua jenis cukai iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dikendalikan oleh agensi yang berlainan selain daripada cukai yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Tempatan seperti cukai tanah, cukai pintu dan lain-lain. Peranan dua agensi utama kerajaan iaitu LHDNM bagi mengutip cukai langsung manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula mengutip cukai tidak langsung.

Kedua-dua agensi ini bertungkus lumus memastikan hasil kerajaan dapat dikutip dengan lebih efektif bagi menampung perbelanjaan kerajaan iaitu perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Cukai langsung merupakan penyumbang tertinggi iaitu lebih daripada 40% jumlah keseluruhan hasil kerajaan. Hasil cukai langsung ini terdiri daripada kutipan hasil kerajaan tertinggi daripada cukai pendapatan syarikat (CITA), cukai pendapatan individu dan seterusnya cukai pendapatan petroleum (PITA).

Jika individu patuh membayar cukai, negara dapat mengelak daripada menjadi muflis akibat daripada bebanan hutang daripada bank dunia, IMF atau kerajaan negara lain. 

Setiap kerajaan bertanggungjawab menyediakan persekitaran dan prasarana yang terbaik untuk kesejahteraan rakyatnya. Ini dilakukan dengan menyediakan segala bentuk kemudahan awam dan infrastruktur seperti jalanraya yang menghubungkan kampung, pekan dan bandar sekitarnya.

Dengan adanya infrastruktur yang baik, kegiatan aktiviti perdagangan boleh berjalan dengan lancar antara kawasan-kawasan tersebut. Selain itu, kemudahan letrik, air, pengangkutan awam, sekolah, hospital dan klinik, kemudahan pasar, masjid,  balai polis, taman dan kawalan trafik seperti lampu isyarat serta pelbagai lagi.

Cuba kita bayangkan di manakah kita sekarang, jika kerajaan mengabaikan tanggungjawab ini?

Kesemua kemudahan ini sebahagian besar dibiayai oleh hasil cukai. Secara ringkasnya, cukai ialah kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan dan kita tidak akan dapat lari daripadanya. 

E:\ARTICLE 2B PUBLISHED\belanjawan 2014-2021.jpg

Setiap tahun mulai 2014 hingga 2021 belanjawan negara terus meningkat dan 40 peratus daripada belajawan ini ditampung  dengan cukai langsung yang dikutip oleh LHDNM. Oleh itu, kutipan hasil cukai seharusnya turut bertambah. Bayangkan berapa banyak hasil cukai yang perlu dipungut?

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan LHDNM berganding bahu mencari sumber baharu cukai bagi menampung keperluan ini. Jika individu gagal dan mengelak membayar cukai adalah sukar bagi kerajaan menyediakan kemudahan dan pembangunan yang diperlukan rakyat.

Dalam keadaan Covid-19 ini, kerajaan perlu menampung lebih perbelanjaan untuk membantu rakyat yang terkesan melalui program Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) semata-mata untuk memastikan nasib rakyat terbela dan aktiviti ekonomi terus berkembang.

Selain daripada itu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) untuk disalurkan kepada golongan B40 dan B20 yang amat terkesan terutama dalam keadaan pandemik ini. Begitu juga Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet. 

Jika dilihat dari segi kadar cukai individu di Malaysia, ianya masih rendah iaitu pada 30% berbanding dengan negara lain di dunia. Antara negara Asean lain, hanya Singapura yang lebih rendah iaitu 22% manakala Vietnam, Filipina dan Thailand pada kadar 35%.

Kesemua negara maju, kadar cukainya melebihi 40% seperti United Kingdom 45%, Sweden 52.85%, Luxembourg 45.78%, dan Netherland 49%. Kadar cukai yang tinggi ini adalah bagi memastikan kerajaan masing-masing cukup untuk menampung kos pembangunan dan menjamin nasib rakyatnya terbela.

Selain itu, ia bagi memastikan rakyat menjalani kehidupan yang selesa dan memiliki taraf kehidupan yang lebih tinggi. Rakyat mendapat kemudahan asas lain seperti pendidikan, perubatan secara percuma dan berkualiti.

Perbandingan Kadar Cukai Negara Eropah (Negara Maju)

Sumber: Home.Kpmg

Di Malaysia, individu layak mendaftar fail cukai jika memperoleh pendapatan bersih tahunan (selepas potongan KWSP) melebihi RM34,000. Walau bagaimanapun, jumlah ini masih belum tentu dicukai kerana seorang individu itu boleh menuntut 22 jenis potongan yang layak seperti pelepasan diri, isteri, anak dan lain-lain. Cukai akan dikenakan sekiranya baki pendapatan selepas ditolak kesemua pelepasan yang layak adalah melebihi RM34,000.

Rumusan

Hasil cukai tidak boleh membiayai belanjawan kerajaan sepenuhnya apatah lagi jika rakyat gagal membayar cukai yang sepatutnya. Oleh itu, kerajaan terpaksa meminjam untuk membiayai defisit belanjawan ini. Pada tahun 2021, jumlah pinjaman akan menjangkau 26.5% (RM85 bilion) daripada sumber kewangan kerajaan.

Jika individu patuh membayar cukai, kita dapat mengelakkan negara menjadi muflis akibat daripada bebanan hutang daripada bank dunia, IMF atau kerajaan negara lain. Pembayar cukai individu khususnya perlu ada rasa tanggungjawab dan menekankan konsep menyumbang dalam diri masing-masing iaitu apa diberi akan mendapat manfaat dan dinikmati semula di masa depan.

Justeru, bukan semata-mata memenuhi tuntutan undang-undang cukai semata-mata, sebaliknya menanamkan kesedaran dan berkerjasama dengan kerajaan untuk membangunkan negara demi kesejahteraan kehidupan bersama. 

Nota: Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia, Jabatan Khidmat Korporat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.


Banyak perkara yang perlu anda ambil tahu sebelum memiliki rumah. 


InshaAllah, kami berhasrat untuk berkongsi ilmu yang kami ada mengenai hartanah kepada pembaca setia Majalah Labur.

Kunci pertama sebelum beli rumah adalah ilmu, ilmu dan ilmu. 

Lebih awal belajar, lebih cepat dapat menilai sesebuah rumah.Jika berminat boleh isi borang .

ILMU PREMIUM HARTANAHSEKARANG!

Previous ArticleNext Article

OECD Gesa Malaysia Rombak Sistem Cukai Untuk Pertumbuhan Dan Pendapatan

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) — Malaysia perlu melaksanakan perubahan kepada sistem cukainya untuk menjana lebih banyak pendapatan bagi pertumbuhan pembiayaan, kata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Organisasi itu dalam laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2024: yang dikeluarkan hari ini berkata Malaysia perlu menggerakkan hasil cukai tambahan, bukan sahaja untuk mencapai matlamat jangka pendeknya iaitu sasaran defisit tiga peratus tetapi bagi membiayai keperluan perbelanjaan masa depan.

“Ini akan memerlukan perubahan kepada sistem cukai supaya ia dapat menyediakan lebih banyak pendapatan untuk membiayai pertumbuhan keperluan sambil menggalakkan pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial dan alam sekitar. 

“Walaupun tahap, yang mana sektor awam perlu berkembang untuk memenuhi keperluan masa depan adalah keputusan politik, adalah dianggarkan bahawa Malaysia boleh mengutip sehingga tiga mata peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui hasil cukai tambahan dalam jangka pendek dan sehingga 16 mata peratusan KDNK dalam jangka panjang,” katanya.

Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD 2024: dilancarkan hari ini oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Laporan tinjauan setebal 161 muka surat itu menekankan keperluan untuk mengukuhkan institusi bagi memastikan perbelanjaan awam yang lebih berkesan.

“Selain meningkatkan hasil tambahan untuk membiayai keperluan perbelanjaan serta perbelanjaan masa hadapan, dana tambahan ini merupakan kaedah yang paling berkesan bagi mencapai objektif dasar, sewajarnya disokong oleh penambahbaikan dalam institusi dan tadbir urus ekonomi. 

“Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan dalam hal ini, pengukuhan institusi adalah proses berperingkat. Apabila pendapatan bertambah, rakyat serta perniagaan secara amnya akan menuntut kualiti tadbir urus ekonomi, dan perbandingan merentas negara biasanya menunjukkan korelasi positif antara pendapatan serta kualiti institusi dan tadbir urus,” katanya.

Laporan itu menjelaskan perjalanan Malaysia ke arah negara berstatus berpendapatan tinggi memberi peluang untuk kemajuan selanjutnya dalam domain penting ini, yang seterusnya akan memberi impak kepada prestasi ekonomi yang mantap.

“Kualiti pentadbiran cukai akan menjadi penentu penting kejayaan masa depan Malaysia dengan meningkatkan hasil cukai tambahan. Selain perubahan dalam kod cukai, penguatkuasaan peraturan sedia ada serta pentadbiran cukai yang lebih baik boleh membawa kepada peningkatan hasil selanjutnya sekarang dan pada masa akan datang. 

“Penguatkuasaan juga memainkan peranan dalam mengurangkan pekerjaan tidak formal, terutamanya apabila ditambah dengan insentif yang lebih baik bagi pematuhan melalui reka bentuk dasar yang lebih unggul,” katanya.

OECD berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKSM) mampu memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi.

Sebagai sokongan, Malaysia perlu memacu pelaburan dalam PKSM melalui saluran baharu seperti pendanaan awam ekuiti dan pembiayaan rakan setara.

Organisasi itu menambah bahawa adalah penting untuk menarik lebih banyak modal teroka swasta dengan menambah baik insentif cukai, undang-undang dan rangka kerja kawal selia.

— BERNAMA