Setahun Sambal Nyet Dilancarkan, Khairul Aming Kongsi Jualan Sebanyak RM7.5 Juta

Siapa yang tidak kenal Sambal Nyet kan? Ada yang berlumba-lumba nak beli di Shopee?

Berpusu-pusu orang menanti di Shopee untuk membuat pembelian sambal terlaris abad ini. Wah gituu!

Penulis juga pernah menunggu Sambal Nyet untuk ‘restock’ ketika permulaan Sambal Nyet dilancarkan oleh Khairul Aming tapi mungkin bukan rezeki pada ketika itu.

Apa yang best sangat Sambal Nyet ni?

Selain daripada keseronokan untuk berebut-rebut bersama pembeli lain di Shopee, ternyata rasa Sambal Nyet tidak mengecewakan malah mengujakan setiap orang yang merasai Sambal Nyet.

Jualan Sambal Nyet Mencecah RM7.5 Juta

Setahun Sambal Nyet berada dalam pasaran, pengasasnya Khairul Aming berkongsi jumlah jualan yang berjaya dicapai Sambal Nyet

Kini sudah setahun berlalu dan pengasas Sambal Nyet, Khairul Aming berkongsi di ruangan Instagram beliau berkenaan dengan jualan yang telah mencecah 540,000 botol untuk tahun pertama.

Jumlah keseluruhan jualan adalah sebanyak RM7.5 juta! Banyak tu!

Rugi Puluhan Ribu

Tapi, tak semuanya indah dalam perniagaan. Sebelum Sambal Nyet mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia, Khairul Aming pernah berkongsi akan kegagalan beliau dalam bisnes sebelum ini.

Ya. Ini adalah ciapan daripada Khairul Aming sendiri. Beliau pernah menjual sambal sejak tahun 2017. Namun, usahanya tidak membuahkan hasil. Ketika itu, beliau membuat jualan di Facebook namun sambal tersebut tidak mendapat sambutan.

Beliau turut berkongsi bahawa staf juga terpaksa dilepaskan dan berpuluh ribu ringgit simpanannya hangus.

Namun itu tidak mematahkan semangat beliau. Beliau terus berusaha dan berusaha sehinggalah dapat mencapai apa yang beliau capai hingga ke hari ini.

Dalam hantaran yang dimuatnaik di Instagram beliau, Khairul Aming turut berkongsi wajah kilang Sambal Nyet yang terletak di Kota Bharu, Kelantan yang berkeluasan 14,000 kaki persegi.

Haa.. Kalau ada antara korang belum rasa lagi Sambal Nyet Khairul Aming, boleh membuat belian di Shopee seperti link berikut https://shp.ee/n9jybff

Bagi pihak Majalah Labur, kami mendoakan agar bisnes Sambal Nyet Khairul Aming terus berkembang pesat dan maju. Tahniah Khairul Aming! Tahniah Sambal Nyet!

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.