The Iron Lady – Allahyarhamah Datuk Wira Dr. Maznah Hamid

Kita telah dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh usahawan wanita yang sangat disegani di Malaysia pada tahun 2017 yang lalu. Rakyat Malaysia sudah pasti mengenali ‘The Malaysian Iron Lady’, iaitu Allahyarhamah Datuk Wira Dr. Maznah Hamid.

Beliau merupakan salah seorang usahawan wanita Islam yang berpengaruh di Malaysia. Beliau merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dikenali sebagai Securiforce.

Datuk Wira Dr. Maznah Hamid juga merupakan seorang pakar motivasi yang terkenal di Malaysia yang telah banyak memberi ceramah dan motivasi kepada peniaga-peniaga, ahli korporat, ahli politik, penjawat awam dan siapa sahaja yang mahu memajukan diri.

Gambar : Securiforce

Jom kita kenali beliau dengan lebih mendalam, semoga menjadi inspirasi buat kita semua.

Latar Belakang

Dilahirkan di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, pada tahun 1955. Wanita kental ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam, Alor Setar, Kedah sebelum meneruskan sesi persekolahannya di sekolah menengah di daerah yang sama. Kemudian, beliau melanjutkan pelajarannya di Pusat Bahasa CML dalam bidang Linguistik.

Beliau merupakan seorang yang sentiasa ingin meluaskan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Beliau sangat aktif menceburi pelbagai bidang professional dan praktikal. Antaranya:

  1. Diploma Administration Business Executive ( ABE )
  2. Personnel Management ( Human Resource ) – Malaysian Institute Management (MIM)
  3. Diploma in Personal and Personnel Management – Personal Development Leadership Corporations (PDL)
  4. Excellerated Instructors’ Training & Corporate Education – Hawaii, USA
  5. Business School For Entrepreneurs, USA
  6. Business School For Investors, Singapore
  7. Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Modal Pembangunan Insan dari Central State University of New York.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Haji Shaheen Mirza Habib pada Mac 1979 dan dikurniakan lima orang cahaya mata.

Semasa Hayatnya

Datuk Wira Dr. Maznah Hamid memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM5,000 untuk membuka sebuah syarikat kawalan keselamatan pada tahun 1980. Sikap berani dan keyakinan yang tinggi yang ada pada diri beliau menjadikan siapa beliau pada hari ini.

Pernah menghadapi ujian hidup yang getir dalam usaha beliau untuk mempertahankan perniagaan yang dijalankan, beliau beserta suami pernah mendiami rumah setinggan yang tiada bekalan air dan elektrik. Selain itu, beliau dan suami juga pernah bekerja sebagai peronda dan pegawai keselamatan untuk menampung kekurangan modal dan peruntukan di awal penubuhan Securiforce yang pada ketika itu hanya mempunyai lima orang pegawai keselamatan.

Sumber : Securiforce

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd ini kini boleh berbangga kerana syarikatnya itu telah mempunyai 68 cawangan dan berjaya menyaingi 500 buah syarikat keselamatan lain di dunia. Securiforce kini bukan hanya sebuah syarikat keselamatan biasa tetapi, syarikat itu telah berkembang seiring teknologi semasa dengan melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa berkonsepkan, Total Security Solution.

Dalam masa yang sama, Datuk Wira Dr. Maznah Hamid turut menceburi bidang hartanah melalui syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd. Apa yang membanggakan anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah ini, beliau menubuhkan Maznah Motivational Centre bagi membantu usahawan baharu serta mereka yang pernah gagal dalam kehidupan mendapat motivasi diri.

Berbekalkan pengalaman 30 tahun dalam bidang perniagaan, Datuk Wira Dr. Maznah Hamid juga telah membuka Klinik Keusahawanan di seluruh negara bagi membantu mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Kini, sudah kembali sebutir permata kepada Penciptanya. Kehilangan beliau pasti amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia setelah pelbagai jasa dan pengorbanan yang telah beliau taburkan untuk negara. Semoga roh beliau sentiasa dirahmati dan diberkati ALLAH S.W.T. Al-Fatihah ke atas roh Datuk Wira Dr. Maznah Hamid, ‘The Malaysian Iron Lady’.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pendidikan Tinggi, Gaji Rendah

Kita semua dibesarkan dengan skrip yang sama:
“Belajar rajin-rajin.
Dapat keputusan cantik.
Masuk universiti.
Nanti senanglah hidup.”

1. Graduan Tak Semestinya Kerjaya Mantap

Statistik rasmi menunjukkan kadar pengangguran graduan menurun kepada ~3.2% pada 2024, dengan jumlah graduan yang menganggur sekitar 165,900 orang.

Statistik rasmi 2023 menunjukkan bahawa jumlah graduan yang bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kemahiran mereka (skill-related underemployment) meningkat kepada kira-kira 1.68 juta orang. Bagi belia graduan berumur 24 tahun dan ke bawah, kadar underemployment dilaporkan 61.2%, tetapi ini merujuk kepada peratusan underemployment dalam kumpulan tersebut, bukan keseluruhan graduan.

Ini bermaksud ramai graduan sebenarnya bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran dan kelayakan mereka, yang selari dengan isu “underutilisation of skills”.

2. Gaji Permulaan? Rendah, Dengan Bebanan Hutang Menanti

Bayangkan seorang graduan baru melangkah keluar dari dewan konvokesyen. Harapan tinggi, semangat membara. Tetapi apabila masuk ke dunia kerja, realitinya gaji permulaan yang ditawarkan selalunya hanya sekitar RM2,500 sebulan.

Di ruang forum dalam talian, ramai anak muda meluahkan perkara yang sama:

“4k untuk fresh grad adalah rare.”

“2.5k for degree holder, *sigh* really hurts to see this being the current state of the job market.”

Bayangkan bila income pertama pun cukup-cukup makan, tapi PTPTN atau komitmen lain tetap menunggu. Ada yang sebut mereka pakai 40% gaji untuk bayar hutang pendidikan.

3. Hutang Isi Rumah Makin Menekan

Tahukah anda, hutang isi rumah Malaysia telah menyentuh RM1.65 trilion menjelang akhir Mac 2025 iaitu sekitar 84.3% daripada KDNK.

Bank Negara pernah memberi amaran tentang tahap ini ia tinggi tapi masih dalam kawalan buat masa ini.

Hutang ini pula bukan tertumpu kepada satu perkara sahaja. Sekitar 60% daripadanya adalah pinjaman/pembiayaan perumahan, manakala selebihnya melibatkan pinjaman kenderaan, kad kredit dan perbelanjaan harian.

Apabila seorang graduan muda dengan gaji sekitar RM2,500 hingga RM3,000 mula hidup berdikari, bayangkan tekanan kewangan yang perlu ditanggung: sewa rumah, ansuran kenderaan, kos sara hidup dan bayaran balik hutang, semuanya datang serentak.

4. Keterbatasan Akademik Jika Tanpa “Senjata Tambahan”

Pendidikan tradisional banyak ajar hafalan, formula dan teori tapi dunia sekarang memerlukan soft skills dan financial savvy:

Ramai anak muda tidak pernah diajar:

  • bagaimana berunding gaji, bukan sekadar menerima tawaran
  • bagaimana membina jaringan profesional yang membuka peluang
  • bagaimana mengurus wang, menilai pelaburan dan mengelakkan diri daripada terjerat hutang

“Kalau dapat kerja, syukur. Jangan banyak soal.”

Ramai orang tak berani runding bukan sebab lemah tapi sebab tak tahu nilai sebenar diri mereka. Majikan bukan jahat. Mereka cuma mahu mengoptimumkan kos.

Contoh situasi:
Jawatan: Data Analyst junior

Gaji pasaran: RM3,000 – RM3,500
Kalau anda terima RM2,500, anda sebenarnya ‘menjual diri’ di bawah harga pasaran.

Hari ini, anak muda boleh semak:


Seorang graduan mula bekerja dengan gaji RM2,800.
Tanpa ilmu kewangan, perkara pertama yang berlaku selalunya:

  • beli telefon RM4,000 secara ansuran,
  • ansuran kereta RM600–RM800 sebulan,
  • makan guna kad kredit, hujung bulan baki dalam akaun tinggal RM100.

Dia nampak “hidup selesa”, tapi sebenarnya sedang membina sangkar hutang.

Sedangkan jika dia faham asas pengurusan wang, keputusannya akan sangat berbeza:

  • dia tahu membezakan keperluan dan keinginan
  • dia simpan sekurang-kurangnya 10–20% gaji untuk dana kecemasan
  • dia elakkan hutang yang tidak menambah nilai, seperti gajet atau gaya hidup

Tentang pelaburan, ramai anak muda sangka ia hanya untuk orang kaya. Hakikatnya, pelaburan ialah alat melindungi diri daripada inflasi dan masa.

Tanpa literasi pelaburan, anak muda:

  • mudah terpengaruh skim cepat kaya
  • simpan duit dalam akaun biasa yang nilainya dimakan inflasi atau terus takut untuk melabur

Jika perkara ini tidak dibentuk sejak awal, kita sebenarnya sedang menyerahkan generasi muda kepada satu sistem yang tidak benar-benar mempersiapkan mereka untuk bertahan, apatah lagi untuk berjaya.

5. Bila “Your Best” Sahaja Tak Cukup

Bayangkan ibu bapa yang telah berkorban segalanya.
Anak pula belajar bersungguh-sungguh, keputusan cemerlang dan akhirnya menamatkan pengajian di universiti.

Namun apabila melangkah ke alam pekerjaan, realitinya jauh berbeza:

Kerja ada, tetapi hutang sudah menunggu.
Gaji sederhana, tetapi perlu membayar PTPTN dan kos sara hidup.
Bakat tinggi, tetapi terperangkap dalam pekerjaan di bawah potensi.

Dunia yang mereka hadapi hari ini terasa jauh lebih kejam daripada apa yang dijanjikan.

Inilah realiti yang membuatkan sebahagian ibu bapa merasa tertekan, malah ada yang diam-diam merasa bersalah, apabila melihat anak yang telah “buat semuanya dengan betul” masih bergelut untuk hidup selesa.

Kesimpulannya, pendidikan sekarang bukan lagi tiket automatik untuk masa depan yang cerah. Anak mesti diajar untuk berdikari dari segi kewangan, emosi, nilai diri, bukan sekadar pandai teori.

Jika kita masih berharap bahawa sijil semata-mata boleh menyelamatkan masa depan anak-anak, kita mungkin sedang berlayar dalam sebuah kapal yang bocor dan semakin lama dibiarkan, semakin hampir ia tenggelam.