
Sub Topik
Dalam dunia perniagaan, kita pasti akan terdedah dengan penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang inginkan keuntungan atau kekayaan dengan cepat tanpa sebarang usaha yang konsisten.
Begitu juga dalam kehidupan, ramai di kalangan kita yang jahil dan mudah terpengaruh dengan pelbagai skim cepat kaya atau lebih dikenali sebagai skim ponzi.
Modus operandi skim ponzi ini adalah menjanjikan kekayaan yang luar biasa kepada para pelabur, terutamanya mereka yang terawal memasuki skim tersebut.
Kredit Gambar : Market Watch
Antara skim ponzi yang paling popular dan terbesar di dunia adalah yang dilakukan oleh Bernie Madoff yang melibatkan sebanyak USD65 bilion duit para pelabur di Wall Street.
Baca: Bernie Madoff, Raja Skim Ponzi Terbesar Dalam Sejarah Dunia Pelaburan Wall Street
Skim ponzi bukan saja menjerat orang yang tidak tahu dalam pasaran saham,malah ada di antara mangsa skim tersebut yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dan cerdik dalam dunia saham.
Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana beberapa bilionaire terkaya dunia telah terjerat dengan Elizabeth Holmes yang terkenal dengan revolusi kesihatan yang akhirnya didapati menipu para pelabur mereka.
Baca: Theranos Berjaya Menipu Pelabur, Termasuklah 2 Orang Dalam Top 10 Bilionaire Dunia
Kali ini kita akan melihat bagaimana seorang pelabur terkenal dunia terjerat dengan sebuah skim ponzi yang dikemudikan oleh sepasang suami isteri yang bernama Jeffrey Carpoff dan Paulette.
Semuanya bermula apabila pasangan suami isteri ini menubuhkan sebuah syarikat tenaga solar yang dikenali sebagai DC Solar di Silicon Valley. DC Solar ini ditubuhkan pada tahun 2008 yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan tenaga hijau bagi mengurangkan kesan rumah hijau yang bakal merosakkan alam sekitar.
Kredit Gambar: Twitter
Sejarah Awal Penubuhan Syarikat DC Solar
Pada permulaan penubuhan syarikat ini, ia mendapat sokongan dari ramai pihak dan juga kerajaan disebabkan polisi kerajaan Amerika Syarikat menggalakkan syarikat kecil untuk membangunkan teknologi hijau di negara mereka.
Banyak kelebihan yang mereka perolehi jika sesebuah syarikat itu membangunkan teknologi hijau, mereka tidak akan dikenakan cukai yang tinggi dalam perniagaan.
Selain itu juga, ranking mana-mana syarikat yang menubuhkan teknologi hijau ini dipandang tinggi di kalangan pelabur di Wall Street. Ia akan memudahkan mereka untuk mengumpul dana pelaburan yang mereka perlu untuk membangunkan syarikat tersebut.
Selain menerima sokongan positif daripada pelabur dan juga kerajaan, produk yang dihasilkan oleh DC Solar ini begitu unik berbanding dengan produk yang dihasilkan oleh syarikat pesaing yang lain. DC Solar menghasilkan panel solar yang boleh bergerak ke mana-mana tempat yang disukai oleh penggunanya.
Pada ketika itu, kebanyakan penyediaan panel solar ini hanya dalam keadaan setempat seperti bumbung rumah. Teknologi yang dibangunkan oleh DC Solar ini merupakan satu teknologi yang baru yang dikenali sebagai mobile solar generator.
Kredit Gambar : Solar Power World Online
Pada permulaaan penubuhan DC Solar ini, Jeffrey Carpoff bersama dengan isterinya, Paulette mempunyai objektif yang sangat jelas tentang hala tuju syarikat ini tetapi segalanya berubah apabila pasangan suami isteri ini menerima pelaburan wang yang begitu besar iaitu sebanyak USD2.5 billion dalam tempoh yang singkat telah mengubah sikap mereka.
Wang pelaburan yang sepatutnya digunakan untuk mengembangkan operasi syarikat, sebaliknya telah digunakan untuk kepentingan diri mereka sendiri. Mereka telah menggunakan wang tersebut untuk membeli pelbagai barangan mewah termasuk kereta dan juga hartanah.
Paling hebat, mereka telah membeli sebuah pasukan baseball, Martinez Clippers yang berdepan dengan masalah kewangan. Jeffrey Carpoff menyuntik modal kewangan kepada pasukan itu dan merekau telah berjaya layak ke peringkat liga divisyen kedua di Amerika Syarikat.
Mereka berbuat demikian untuk menaikkan publisiti mereka di kalangan orang awam. Mereka juga sering melakukan pengiklanan dari semasa ke semasa dengan menaja sukan yang popular di Amerika Syarikat seperti Nascar.
Tajaan untuk pasukan kereta lumba di Nascar telah meyakinkan para pelabur untuk membuktikan bahawa syarikat ini sangat berjaya dalam perniagaan mereka.
Penipuan Terbongkar Apabila Serbuan Dilakukan
Segala penipuan mereka terbongkar apabila pihak FBI menyerbu kedudukan mereka pada tahun 2017. Pihak FBI telah menggeledah kediaman mereka dan mendapati Jeffrey Carpoff mempunyai koleksi kereta mewah hampir 150 buah di dalam garaj khusus mereka.
Pihak berkuasa juga turut menyerbu syarikat mereka dan mendapati hanya 700 sahaja produk mobile solar generator mereka yang siap berbanding dengan 17,000 yang dijanjikan kepada pelabur.
Akhirnya, mereka dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2018 dan sebutan kes sepatutnya berlangsung tahun lepas. Kes terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik yang melanda dunia pada ketika ini.
Jeffrey Carpoff mengaku bersalah di atas setiap pertuduhan yang dibaca ke atas diri mereka yang mana kes mereka diklasifikasi sebagai skim ponzi. Jika sabit kesalahan, mereka akan berdepan dengan hukuman penjara selama 30 tahun.
Kesan daripada penipuan ini, Berkshire Hathaway telah kerugian sebanyak USD337 juta walaupun jumlah tersebut sangat kecil berbanding dengan nilai market capitalization mereka. Namun ia sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada Warren Buffett dalam dunia pelaburan.
Sumber Rujukan:










