20 Tips Pengurusan Kewangan Oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR)

Siapa yang tidak mengenali Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman atau UZAR?

Beliau merupakan di antara individu awal yang mengajar Muslim di Malaysia mengenai hukum-hukum berkaitan Muamalat atau hukum berkaitan transaksi kewangan, khususnya dalam konteks semasa.

UZAR kini mempunyai seramai lebih 1 juta pengikut di laman Facebook dan beliau merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sehingga tahun 2017. Pada tahun itu, UZAR melepaskan jawatan sebagai pensyarah bagi menumpukan masa dengan syarikatnya sendiri iaitu Elzar Group.

Di bawah Elzar Group, beliau menceburi beberapa cabang perniagaan melalui syarikat-syarikatnya Elzar Shariah Solution Sdn. Bhd., Elzar Trading Sdn. Bhd., Elzar Resources. Sdn. Bhd. dan lain-lain lagi.

UZAR turut menjadi penasihat syariah kepada beberapa syarikat terkemuka di antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Exim Bank Berhad, Salam Sedania Capital Sdn. Bhd. dan banyak lagi.

Setelah kita mengenali serba sedikit mengenai sosok hebat ini, jom kita dengarkan 20 nasihat kewangan yang pernah beliau kongsikan di Mesir pada tahun 2015 dulu dalam satu program anjuran Kelab IKRAM Mesir:

1. Setiap kali berhutang, catatkan dan tunjuk kepada pasangan supaya bila kita sudah tiada, ianya boleh dilunaskan. Kalau tidak, roh kita akan tergantung.

2. Duit KWSP (akaun 2) yang diperolehi boleh dilaburkan sebagai contoh membeli rumah atau sambung belajar. Jangan sesekali bersetuju bekerja tanpa KWSP walaupun cuma syarikat kecil. Kalau tidak, ianya salah di sisi undang-undang.

3. Sentiasa catat belanja harian. Supaya kita nampak aliran keluar masuk penggunaan duit kita.

4. Simpanan emas dan hartanah perlu didahulukan dan diutamakan. Cari Emas 999.9%. Ianya boleh dibeli di Al Rajhi Bank atau tempat yang dipercayai ketulenannya dengan harga yang lebih murah.

5. Kalau kita simpan duit tunai, ianya akan dimakan oleh inflasi. Maka laburkanlah.

6. Jangan tertipu dengan skim cepat kaya dan tertipu dengan harga ‘spread’ dalam membeli emas.

7. Fikirkan tentang pendapatan sampingan (side income). Pendapatan bolehguna atau disposable income perlu ditambah. Pastikan ianya tidak haram dan tidak mengganggu kerja utama. Berjinak-jinak juga diri dengan bidang penulisan.

8. Jauhi skim cepat kaya. Kalau menjanjikan keuntungan lebih 8% setahun, itu sangat meragukan. Jangan jadi kaya pelahap.

9. Bagi yang berumur bawah 30 tahun, ambillah takaful perubatan. Bila ambil lepas umur 30, dah susah kerana boleh jadi masa itu dah mula sakit macam-macam.

10. Aqidah kena yakin bahawa kekayaan itu kurniaan daripada Allah. Jangan anggap bila dibersihkan harta, kita akan jatuh miskin.

11. Dilema nak beli rumah. Nak sewa atau beli rumah kecil? Beli sahaja rumah kecil pun tak mengapa. Bila barga naik, boleh disewakan. Kumpul hartanah sedikit demi sedikit.

12. Duit muka boleh dapat daripada KWSP selepas 5 tahun atau pinjam dahulu daripada mak ayah atau kurangkan perbelanjaan tidak perlu. Beli Smart Tag kerana itu lebih jimat kerana tidak perlu beratur panjang. Bila beratur panjang, kereta lebih banyak guna minyak. Dan bawa kereta secara berhemah.

13. Lagi lambat beli rumah, lagi cepat harga naik setiap tahun. Sebolehnya beli sebelum umur mencecah 35 tahun. Harga rumah paling bagus ialah 56 kali ganda daripada pendapatan bulanan. Kalau tidak mampu, beli tanah dahulu, kemudian baru buat rumah. Belilah tanah yang dekat dengan jalan raya bukan pedalaman.

14. Bayaran bulanan rumah yang ideal adalah tidak melebihi 26% daripada gaji kita.

15. Tinggalkan saki baki riba kerana dosanya sama dengan berperang dengan Allah dan Rasul-Nya. Sedirham riba dosanya sama dengan 30 kali berzina. Sama dengan berzina dengan ibu sendiri. Na’udzu billah.

16. Bila nak cari peluang untuk melabur? Kita ada pelaburan di perbankan Islam, Takaful dan Investment link. Laburkan juga dalam Unit Amanah (Unit Trust) bila ada lebihan duit selama tiga tahun. Contohnya Amanah Hartanah Berhad (AHB) dengan keuntungan sekitar 6% setahun, dapat 6 bulan sekali.

17. Pelaburan saham pulangannya tinggi dan risikonya juga tinggi. Tetapi bagus untuk orang yang rajin membaca. Kalau malas membaca dan belajar tentang saham, jangan berani dekati pelaburan saham ini.

18. MLM untuk orang yang tak ‘tahu malu’ (kena tidak malu untuk buka mulut menjual). Susah nak dapat income jika malas dan tidak berusaha, tiada yang mudah dalam MLM yang sebenar.

19. Perdagangan forex adalah diputuskan haram oleh Muzakarah JAKIM dan pandangan itu juga bertepatan dengan fatwa oleh Imam Ghazali, Ibn Rusdh al Hafid, Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim.

20. Cara yang paling kurang risiko untuk buat pendapatan sampingan adalah cuba bakat menjual sebagai agen tanpa modal melalui program affliate atau dropship kepada mana-mana barangan halal.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan pemegang sijil Islamic Financial Planner (IFP). Merupakan lepasan Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.