40 Hari Tanpa Gaji – Apa Nak Buat Ni?

Jalan raya utama yang menghubungkan negeri-negeri di seluruh negara mula meriah dengan deretan kereta yang meningkat berkali-kali ganda. Musim perayaan yang diikuti dengan cuti sekolah, memang ramai orang yang ambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman. Tambah meriah apabila ramai penjawat awam dan beberapa organisasi lain yang menerima gaji awal dan bonus hari raya.

Gaji awal bermaksud menerima gaji jauh lebih awal dari tarikh yang sepatutnya. Pada kebiasaannya, kebanyakan rakyat Malaysia khususnya penjawat awam akan menerima gaji mereka pada 25 haribulan setiap bulan. Namun, dalam situasi tertentu seperti musim perayaan, pembayaran gaji di Malaysia biasanya akan diawalkan.

Pada tahun ini, sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada 15 Jun 2018, kebanyakan organisasi membayar gaji seawal minggu pertama. Pembayaran gaji awal ini bertujuan untuk membantu meringankan beban pekerja dalam membuat persiapan menyambut perayaan.

Tapi jangan gembira dulu kerana tempoh menunggu untuk gaji seterusnya akan bertambah lama berbanding sebelumnya. Tempoh gaji ke gaji pada kali ini akan berlanjutan sehingga lebih 40 hari.

Dapat Gaji Awal, Habis Pun Awal?

Maka, mereka yang menerima gaji awal perlu secara serius dan bijak membuat pengurusan kewangan dengan baik. Tempoh yang lama ini akan menyebabkan mereka mungkin terpaksa mengikat perut dan menangguh pembayaran bil dan ansuran tertentu, malah lebih parah sekiranya mereka terpaksa menambah hutang melalui kad kredit untuk menampung keperluan hidup.

Tujuan gaji awal dibayar adalah untuk meringankan beban dalam persiapan sambutan hari raya tetapi ia bukan bermakna gaji itu dibayar untuk beraya sakan. Terlebih berbelanja akan mengakitbatkan anda terperangkap dalam tempoh menunggu tersebut.

Terdapat pelbagai cara untuk memastikan kewangan anda kukuh dalam situasi begini. Jom tengok perkongsian tips sumbangan AKPK cawangan Pulau Pinang khusus untuk sahabat-sahabat Majalah Labur :

1. Simpan Dulu Sebelum Berbelanja

Terapkan disiplin dalam amalan perbelanjaan dan kewangan individu. Disiplin kewangan yang disyorkan adalah dengan mengamalkan konsep simpan dahulu sebelum berbelanja. Ini bermakna gaji yang diterima harus disimpan dahulu dan lebihan dari gaji barulah digunakan untuk perbelanjaan. Adalah dicadangkan sekurang-kurangnya 10% dari keseluruhan gaji bersih anda disimpan. Simpanan ini boleh digunakan sekiranya kewangan anda berada pada tahap kritikal ketika berada dalam tempoh menunggu, atau untuk keperluan kewangan sewaktu kecemasan.

2. Tabung Hari Raya

Jika anda masih memiliki lebihan wang dari perbelanjaan harian, wang ini boleh diasingkan khas bagi tujuan berhari raya. Tabung ini boleh membantu anda menampung kos-kos yang berkaitan seperti pemberian duit raya, petrol dan tol untuk perjalanan pulang ke kampung atau setidak-tidaknya membantu anda menampung kos menyediakan juadah hari raya tanpa perlu mengusik duit gaji atau simpanan.

3. Ukur Baju Di Badan Sendiri

Berapa banyak yang diperuntukkan untuk tabungan hari raya ini terpulang kepada keselesaan anda. Apa yang penting, konsep “mengukur baju di badan sendiri” adalah perlu dalam membuat perbelanjaan terutamanya ketika berbelanja untuk persiapan hari raya. Umum maklum bahawa banyak promosi menarik yang ditawarkan di saat-saat akhir untuk menarik lebih banyak pelanggan ke premis-premis jualan untuk membeli-belah. Oleh kerana itu, anda perlu berwaspada agar tidak terlalu ghairah memborong semua barangan yang dipromosikan.

Kesimpulannya, disiplin kewangan adalah amat penting bukan sahaja pada ketika anda menerima gaji awal, malahan pada setiap kali anda menerima gaji. Pelbagai faktor yang tidak kita jangka mungkin akan menjadi sebab kepada kebocoran kewangan seperti rawatan pemulihan, pembaikan kereta atau pengubahsuaian bahagian rumah. Untuk itu, AKPK menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mencatat pendapatan dan perbelanjaan mereka untuk mengawal aliran wang agar lebih banyak wang yang dapat disimpan.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.