5 Tabung Kewangan Kena Ada Selepas Bernikah

Detik yang di nanti akhirnya tiba dengan termeterainya ikatan perkahwinan yang sah.

Namun, bersediakah kita untuk menempuh kehidupan berumahtangga? Terdapat dua persediaan penting di awal perkahwinan iaitu aspek mental dan kewangan:-

1. Persediaan Mental Selepas Akad Nikah

Sebaik sahaja akad dilafaz, mindset perlu terarah untuk memikirkan kehidupan berumah tangga. Semua tabiat tidak baik ketika zaman bujang haruslah ditinggalkan.

Bagi lelaki yang sudah terbiasa dengan kehidupan santai, sering mengharapkan bebelan seorang ibu untuk bangun pagi, atau sentiasa berpenampilan handsome sedangkan bilik asyik bersepah, maka, sudah tiba masanya untuk anda berubah.

Bagi si isteri pula, bersediakah anda untuk menyinsing lengan ke dapur dan memasak buat suami tercinta?

Tempoh awal perkahwinan adalah fasa yang sangat mencabar tetapi amat membahagiakan. Inilah fasa terbaik untuk mengenali pasangan dari segi apa yang disukai dan apa yang tidak disukai.

Selain itu, berusahalah untuk mencapai keserasian dengan pasangan termasuk keserasian dalam kamar, keserasian dalam berkongsi idea, keserasian dalam menerima keluarga pasangan, dan keserasian untuk menerima norma hidup masing-masing yang selama ini mendapat didikan daripada keluarga yang berbeza.

Inilah persediaan mental yang perlu di ambil kira.

2. Persediaan Kewangan Selepas Akad Nikah

Pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga kebiasaannya lebih teruja memikirkan perihal hari bahagia termasuk isu tema majlis perkahwinan, busana pilihan, dan dekorasi pelamin idaman. Namun, bakal raja sehari sering terlupa untuk merancang tempat tinggal yang akan didiami selepas berkahwin.

Persoalan seperti “Adakah menumpang di rumah ibu bapa merupakan pilihan yang terbaik?” haruslah dirungkai sebelum hari akad. Bagi yang berpendapat ‘biarlah saiz kediaman kecil, asalkan ada sebuah rumah untuk kehidupan peribadi yang selesa’, maka, kita perlu mengambil kira kos memiliki atau menyewa rumah kediaman selain daripada kos perbelanjaan majlis perkahwinan.

Bagi lelaki yang berkemampuan, mungkin tiada masalah untuk memiliki sebuah rumah idaman. Namun, bagi yang kurang berkemampuan, jangan malu untuk membuat pilihan menyewa rumah buat sementara waktu. Berbincanglah secara berhikmah dengan bakal pasangan.

Ingat! Jangan bebankan diri dengan komitmen kewangan yang melebihi kemampuan.

Kebanyakan lelaki lebih suka mencari pasangan yang mempunyai kerjaya dek kerana kehidupan zaman sekarang yang amat mencabar dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi.

Tetapi, tidaklah menjadi kesalahan jika anda ingin memilih pasangan yang tidak berkerjaya sekiranya anda merupakan seorang lelaki yang berkemampuan. Namun, harus diingat tanggungjawab menyediakan keperluan asas rumah tangga 100% terletak di bahu anda.

Pengurusan kewangan harus diurus dengan baik bagi memenuhi keperluan asas, keperluan kecemasan, serta keperluan simpanan jangka pendek dan jangka panjang.

Pasangan mestilah bijak mengasingkan tabungan tertentu agar kehidupan lebih teratur lebih-lebih lagi jika dikurniakan cahaya mata nanti.

Tabung-tabung seperti berikut perlulah diwujudkan:-

1. Tabung Keperluan Asas

Diwujudkan bagi menampung pembelian barang dapur, bayaran rumah, bayaran kereta, bayaran bil utiliti dan bayaran perkhidmatan yang berkaitan.

2. Tabung Kecemasan

Digunakan ketika dilanda musibah seperti sakit, kehilangan/tukar pekerjaan, pindah rumah, membaiki kenderaan atau menziarahi keluarga tanpa dijangka. Jumlah simpanan dalam tabung ini perlu ada sekurang-kurangnya 3 bulan daripada pendapatan.

3. Tabung Perlindungan

Untuk takaful hayat dan kad perubatan.

4. Tabung Simpanan Jangka Pendek

Diperlukan untuk menampung kos seperti pulang ke kampung, memperbaharui insuran/takaful kenderaan, memperbaharui lesen memandu, perbelanjaan ketika musim perayaan dan percutian bajet.

5. Tabung Simpanan Jangka Sederhana Dan Panjang

Membantu anda memiliki rumah atau kenderaan yang lebih selesa, menunaikan umrah dan haji, pendidikan anak-anak, persaraan, menikmati percutian yang lebih mewah dan apa sahaja yang memerlukan tempoh perancangan untuk jangka masa lama.

Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan seperti melakukan kerja sampingan dan membuat pelaburan dalam bidang hartanah, emas, dan unit amanah.

Bijaklah dalam menyimpan dan melabur agar wang anda lebih selamat dan terjamin di samping sentiasa memastikan pulangan yang diperolehi patuh syariah. Apa yang penting carilah ilmu pelaburan yang betul agar usaha kita melabur tidak lebur.

Jangan mengharapkan keuntungan yang cepat seperti yang ditawarkan oleh skim cepat kaya.

Ditulis oleh Wan Mohamad Farhan bin Ab Rahman. Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.