Belanjawanku – Panduan Perbelanjaan Untuk Individu & Keluarga di Malaysia

Baru-baru ini, suatu panduan perbelanjaan telah dikeluarkan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) dan Social Wellbeing Research Centre (SWRC). Jom kita teliti laporan tersebut dengan lebih mendalam.

Apakah Belanjawanku?

Panduan yang menunjukkan perbelanjaan minimum bulanan atas setiap kategori barangan dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah di Malaysia. Belanjawanku boleh digunakan untuk merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga bagi mencapai taraf hidup yang baik.

Ia berdasarkan pola perbelanjaan sebenar barangan dan perkhidmatan oleh isi rumah di Lembah Klang.

Bagaimana Nak Guna Belanjawanku?

1. Pilih kategori isi rumah anda.

2. Semak anggaran perbelanjaan untuk kategori isi rumah anda.

3. Gunakan anggaran perbelanjaan sebagai panduan untuk perbelanjaan bulanan dan peribadi.

4. Rujuk anggaran perbelanjaan bagi kategori isi rumah yang lain untuk perancangan kewangan masa depan.

Taraf Hidup Yang Baik Adalah…

  • Mempunyai wang yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas
  • Melibatkan diri dalam aktiviti komuniti serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan
  • Menjalani kehidupan yang bermakna dan bermatlamat

6 Kategori Isi Rumah

  • Bujang (Pengguna Kenderaan Awam)
  • Bujang (Pemilik Kereta)
  • Pasangan Berkahwin (Tiada Anak)
  • Pasangan Berkahwin (Seorang Anak)
  • Pasangan Berkahwin (Dua Orang Anak)
  • Pasangan Warga Emas

11 Kategori Perbelanjaan Bulanan

  • Makanan
  • Tempat Tinggal
  • Kesihatan
  • Pengangkutan
  • Utiliti
  • Penjagaan Anak
  • Simpanan
  • Penjagaan Diri
  • Perbelanjaan Tahunan
  • Penglibatan Sosial
  • Perbelanjaan Pilihan

1. Belanjawanku Untuk Bujang (Pengguna Kenderaan Awam)

2. Belanjawanku Untuk Bujang (Pemilik Kereta)

3. Belanjawanku Untuk Pasangan Berkahwin (Tiada Anak)

4. Belanjawanku Untuk Pasangan Berkahwin (Seorang Anak)

5. Belanjawanku Untuk Pasangan Berkahwin (Dua Orang Anak)

6. Belanjawanku Untuk Pasangan Warga Emas

Sumber: Laman Web KWSP

Selari Dengan Gaji Wajar Oleh Bank Negara Malaysia (BNM)

Sebelum ini pun, pihak BNM telah mengeluarkan Laporan Tahunan BNM 2017 yang bertujuan untuk menjelaskan keadaan ekonomi Malaysia, dan terutama sekali keadaan ekonomi rakyat Malaysia. Ianya menceritakan perihal gaji kehidupan wajar, bukan sekadar menampung keperluan asas.

Sumber: Laporan Tahunan BNM 2017 – fail PDF, mukasurat 98

Daripada rajah di atas, BNM menetapkan 3 peringkat taraf hidup yang berkadar langsung dengan gaji. Gaji lagi tinggi, taraf hidup juga lagi tinggi. Dan saya pasti semua orang impikan taraf hidup yang tinggi penuh dengan kualiti.

Anggaran Awal Gaji Kehidupan Wajar di Kuala Lumpur pada Tahun 2016

Sumber: Laporan Tahunan BNM 2017 – fail PDF, mukasurat 102

OK, disinilah kita dapat rumuskan berapa gaji kehidupan wajar untuk masyarakat secara umum.

Bagi seorang dewasa bujang, gaji kehidupan wajar adalah RM2,700 sebulan dengan beberapa andaian seperti di atas.

  • Dengan gaji RM2,700 sebulan, cukup untuk anggaran perbelanjaan bulanan seorang bujang yang merupakan pengguna perkhidmatan awam iaitu sebanyak RM1,870
  • Dengan gaji RM2,700 sebulan, cukup untuk anggaran perbelanjaan bulanan seorang bujang yang memiliki kereta iaitu sebanyak RM2,490

Bagi pasangan tanpa anak pula, gaji kehidupan wajar adalah RM4,500 sebulan dengan beberapa andaian seperti di atas.

  • Dengan gaji RM4,500 sebulan, cukup untuk anggaran perbelanjaan bulanan pasangan yang berkahwin tetapi belum mempunyai anak iaitu sebanyak RM4,420

Manakala bagi pasangan dengan dua orang anak pula, gaji kehidupan wajar adalah RM6,500 sebulan dengan beberapa andaian seperti di atas.

  • Dengan gaji RM6,500 sebulan, sikit lagi nak cukup untuk anggaran perbelanjaan bulanan pasangan yang berkahwin dengan dua orang anak iaitu sebanyak RM6,620

Boleh baca selanjutnya pasal gaji wajar ini di RM2,700 Gaji Untuk Hidup Bujang di KL.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari