Kira-Kira 8.85 Peratus Usahawan Gulung Tikar Pada April 2020 Akibat COVID-19 – Ewon

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Kira-kira 8.85 peratus usahawan telah gulung tikar pada April 2020 selepas terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kenaikan harga barangan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick. 

Beliau berkata berdasarkan data kaji selidik yang dilaksanakan oleh kementeriannya bagi 2020 sehingga 2022, kesan pandemik dan kenaikan harga barangan telah menyebabkan sebilangan kecil usahawan terpaksa menutup terus operasi perniagaan mereka.

Menurut Ewon kaji selidik itu turut menyatakan 3.16 peratus usahawan telah gulung tikar pada Jun 2021, diikuti dengan 1.38 peratus pada Februari 2022 dan 2.7 peratus pada November 2022.  

“Dalam usaha membantu usahawan yang terjejas, Kuskop menerusi agensi di bawahnya telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memulihkan semula perniagaan dengan menyediakan bantuan pinjaman kewangan antaranya skim pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

“Agensi pembiaya di bawah Kuskop juga telah mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi yang diperlukan dan memendekkan tempoh masa memproses permohonan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta kementerian menyatakan jumlah usahawan yang gulung tikar ekoran kelembapan ekonomi semasa dan usaha yang dilaksanakan untuk membantu usahawan terjejas.

Selain itu, Ewon berkata Kuskop dan agensi di bawahnya bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk pelaksanaan program intervensi peluang kedua bagi membantu usahawan yang berdepan dengan masalah pengurusan kewangan yang serius dan berisiko muflis.

Menurut Ewon, pada 2022, seramai 664 orang usahawan telah diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 40 usahawan telah dipilih untuk mengikuti Program Bimbingan Khas Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) selama empat bulan bermula 17 Okt 2022, katanya.

Beliau berkata SME Corp juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AKPK pada 3 Feb 2023 sebagai usaha untuk membantu PMKS dalam pendidikan dan pengurusan kewangan dan kredit.

“Kerjasama strategik ini dilihat dapat membantu dan memudahkan PMKS membuat keputusan dalam menguruskan kewangan secara bijak dan berhemah, terutamanya dalam era pasca pandemik,” katanya.    

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bekalan Bahan Api Di Rangkaian Stesen Minyak PETRONAS Stabil, Mencukupi Sehingga Ogos

KUALA LUMPUR: Bekalan bahan api di rangkaian stesen minyak PETRONAS seluruh negara dijangka stabil dan mencukupi sehingga Ogos, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan jawapan rasmi yang diterima daripada Petronas, sebagaimana yang dilaporkan di dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Rangkaian ini merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api domestik negara yang dibekalkan oleh PETRONAS melalui anak syarikat senaraian awamnya, Petronas Dagangan Bhd,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, beliau berkata untuk memastikan keperluan bahan api negara mencukupi dan selaras dengan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, satu Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah MTEN telah ditubuhkan.

“Pasukan ini sentiasa memantau situasi bekalan bahan api, bahan bakar dan tenaga negara serta memastikan keterjaminan bekalan di bulan-bulan akan datang serta turut mengawal harga, mencegah aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Tambahnya, usaha terus dijalankan untuk memperoleh bekalan minyak mentah daripada pengeksport luar Asia Barat seperti dari Afrika Barat dan Benua Amerika, tertakluk kepada kesesuaian gred minyak mentah dan terma komersial berkaitan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung kenyataan PETRONAS bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyak adalah terjamin hanya sehingga akhir Jun 2026 dan pelan kontingensi kerajaan sekiranya krisis tenaga global berlanjutan.

-Berita Harian