KUSKOP Peruntuk RM50 Juta Kepada Usahawan Dalam Talian Pada 2023

SHAH ALAM, 23 Okt (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Online Tekun (SPOT) pada tahun hadapan. 

Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata, sebagai permulaan, pada tahun ini sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi membantu usahawan dalam talian untuk mengembangkan perniagaan.

“Kita tengok perniagaan dalam talian mendapat sambutan menggalakkan dan melibatkan ramai usahawan. Kita mahu menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi perniagaan dalam talian ini. Oleh itu, Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional) memperkenalkan skim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Tekun Nasional Parlimen Shah Alam, Kota Raja, Kapar dan Klang di sini hari ini. 

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 253 permohonan SPOT diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM1.898 juta. 

Noh berkata SPOT turut menawarkan kadar faedah rendah iaitu tiga peratus berbanding kebiasaan yang menetapkan kadar faedah sebanyak empat peratus. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kuskop-peruntuk-rm50-juta-kepada-usahawan-dalam-talian-pada-2023/

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA