
Sub Topik
Kita bukan sahaja boleh bersenam dan membentuk badan kita untuk menjadi lebih cergas, sihat dan menarik, tetapi kita juga boleh melatih dan membentuk minda kita supaya menjadi lebih cerdas dan bijak. Ramai orang tidak menyedari bahawa kita boleh melatih minda kita untuk menjana lebih banyak wang dan mencipta kejayaan dalam kehidupan.
Kebanyakan manusia hanya menumpukan perhatian terhadap tubuh badan dengan menghabiskan banyak masa bersenam dan melatih badan untuk sukan atau kecergasan dan mengabaikan latihan minda. Artikel kali ini akan membimbing anda melalui 6 cara untuk melatih minda anda untuk menjana lebih banyak wang dan mencapai kebebasan kewangan.
1. Menyatakan Rasa Syukur

Apabila anda menyedari bahawa 80% daripada penduduk dunia hidup dengan pendapatan kurang daripada RM40 sehari, anda akan lebih menghargai apa yang anda miliki sekarang. Perasaan bersyukur membantu kita menjadi lebih bahagia, meningkatkan tahap kesihatan dan membolehkan kita membina hubungan yang lebih harmoni dengan orang lain.
Menyimpan ‘diari kesyukuran’ dan menulis peristiwa yang disyukuri adalah cara yang paling lazim dilakukan untuk memupuk rasa syukur. Berbanding dengan individu yang menumpukan pada pengalaman negatif, mereka yang menumpukan pada pengalaman positif mempunyai tahap kebahagian, kesihatan, kecekalan dan tenaga yang lebih banyak.
2. Mempunyai Matlamat Tertentu
Menetapkan matlamat tertentu boleh membantu kita memulakan tabiat baik yang baharu, menumpukan perhatian dan mengekalkan momentum positif dalam kehidupan. Penetapan matlamat bukan sahaja memotivasikan kita, tetapi ia juga boleh meningkatkan kesihatan mental dan tahap pencapaian peribadi dan profesional.
Nyatakan pada minda anda misi yang anda ingin capai supaya minda anda tahu apa yang perlu dilakukan setiap hari. Tuliskan dengan jelas matlamat dan misi yang perlu anda capai dalam jangka masa pendek dan panjang. Anda akan mendapat inspirasi untuk bekerja keras selepas mengetahui dengan jelas matlamat anda dan membayangkan diri anda telah mencapai semua matlamat tersebut.
3. Tuliskan Matlamat Dan Strategi Secara Terperinci

Menulis matlamat membolehkan anda membina gambaran mental tentang apa yang anda mahu capai pada masa hadapan. Anda boleh melihat secara visual matlamat anda dan memahami kesannya terhadap kehidupan sekiranya anda mempunyai matlamat yang jelas.
Apabila anda melihat sesuatu yang ingin dicapai, ia menyebabkan perubahan dalam tingkah laku dan pemikiran anda. Tetapkan matlamat ‘SMART’ (specific, measurable, achievable, relevant, and time-bound) iaitu khusus, boleh diukur, boleh dicapai, relevan dan dalam tempoh tertentu yang memberi inspirasi kepada anda serta memudahkan anda mencapai matlamat yang diingini.
Kemudian, rancang tindakan yang anda perlu lakukan untuk mencapai matlamat tersebut dan ukur kemajuan anda dari semasa ke semasa untuk memastikan anda berada di landasan yang betul.
4. Ambil Tindakan Untuk Mencapai Matlamat Kewangan
Jika ingin mencapai matlamat anda, anda tidak seharusnya hanya berimpian semata-mata tetapi perlu bertindak melaksanakan rancangan anda. Melaksanakan impian memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk mencapai objektif dan ia harus dilakukan dengan berterusan supaya kejayaan dapat dicapai.
Simpan senarai matlamat anda dalam telefon bimbit dan ingatkan diri tentang matlamat jangka pendek dan jangka panjang pada setiap pagi. Luangkan masa setiap hari untuk melaksanakan aktiviti ke arah mencapai matlamat anda dan pastikan juga anda membuat pelarasan dari semasa ke semasa sekiranya perlu.
5. Selaraskan Objektif Dengan Nilai Teras Anda
Nilai diri anda ialah aspek asas kehidupan yang anda anggap amat penting atau perlu. Apabila objektif dan nilai diri anda selari, anda akan mengalami perasaan bahagia, puas dan gembira dengan kehidupan anda. Jika anda mengerjakan sesuatu yang tidak selari dengan nilai teras diri anda, kemungkinan besar anda akan berasa tidak berpuas hati dengan tugasan anda.
Jika terdapat ketidakpadanan yang tinggi antara nilai diri anda dengan matlamat kehidupan anda, anda mungkin akan berasa sengsara dan kemurungan.
6. Kekalkan Tumpuan Pada Matlamat Anda

Jauhi gangguan yang tidak berkaitan dengan objektif kehidupan anda. Elakkan melakukan pelbagai tugasan yang tidak berkaitan dengan matlamat anda untuk memastikan anda tidak hanyut dengan kesibukan yang tiada arah tuju. Semak matlamat anda setiap hari untuk memastikan anda berada di landasan yang betul.
Anda harus sentiasa mengukur kemajuan diri dengan menggunakan diari harian. Catat perkembangan dan kemajuan diri yang telah dicapai dan yang belum lagi tercapai. Anda juga harus menghapuskan rasa curiga terhadap keupayaan diri.
Keraguan diri yang tidak berkesudahan dan kurang keyakinan terhadap keupayaan diri boleh menghalang kita daripada merealisasikan potensi diri yang sebenar. Kita harus sentiasa mempersoal pemikiran negatif dalam diri kita untuk mengatasi masalah kurang keyakinan terhadap diri sendiri.
Sebagai contoh, sekiranya pemikiran negatif dalam diri mengatakan kita tidak mampu melaksanakan sesuatu tugasan, kita boleh bertanya kepada diri sendiri mengapa kita tidak berkeyakinan? Adakah kita pernah melakukan tugasan tersebut sebelum ini? Adakah tugasan tersebut sangat sukar dan memerlukan IQ yang sangat tinggi untuk diselesaikan?
Dengan menyoal pemikiran negatif dalam diri, kita akan menyedari bahawa kebanyakan pemikiran negatif tersebut adalah tidak berasas.
Artikel ini disumbangkan oleh Dr. Ahmad Monir Bin Abdullah yang bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus & Akauntabiliti (Grace). Beliau mempunyai pengalaman luas sebagai ahli akademik dan juga pengamal perakaunan dalam industri. Penulis boleh dihubungi di [email protected]

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !
Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.
Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.
Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.












