Banyak Hutang Nak Kena Bayar? Guna Cara Ini Untuk Kurangkan Ansuran Bulanan

Pinjaman peribadi dan hutang kad kredit merupakan antara hutang jahat yang boleh membuatkan penghutang terbeban dengan bayaran ansuran bulanan yang tinggi. Hutang ini juga mempunyai kadar faedah yang tinggi menyebabkan penyelesaian hutang mengambil masa yang lama.

Ramai yang sudah terjebak dengan hutang jahat. Mereka pinjam duit dari bank untuk melancong ke luar negara, ubahsuai rumah atau membeli-belah di kedai mewah. Kad kredit digunakan secara sambil lewa sehingga mencapai tahap maksimum hutang yang dibenarkan.

Akibatnya mereka terpaksa menanggung bayaran ansuran bulanan yang tinggi. Kalau ada bayaran bulanan yang tertangguh tidak berbayar, rekod kewangan CCRIS akan menjadi buruk dan bank akan sukar beri pinjaman di masa hadapan.

Untuk mereka yang sudah terjebak dengan hutang jahat, ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah ini. Sekiranya hutang menjadi terlalu banyak sehingga bayaran ansuran bulanan menjadi membebankan, salah satu cara yang boleh digunakan adalah penyatuan hutang.

Debt consolidation atau penyatuan hutang ialah satu teknik untuk menyelesaikan masalah hutang berlebihan sehingga terbeban dengan komitmen ansuran bulanan yang tinggi. Melalui penyatuan hutang, peminjam boleh membuat satu pinjaman untuk menyelesaikan beberapa hutang sedia ada.

Teknik penyatuan hutang ini dapat mengurangkan bayaran ansuran bulanan melalui beberapa cara:

1. Kadar Faedah Lebih Rendah

Teknik penyatuan hutang dapat mempunyai potensi untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah.

Cuba hubungi beberapa bank untuk membuat permohonan penyatuan hutang dan pilih bank yang mampu tawarkan kadar faedah yang rendah.

2. Tempoh Pembiayaan Lebih Lama

Panjangkan tempoh pembiayaan untuk mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

Namun perlu diingat dengan memanjangkan tempoh pembiayaan kita terpaksa menanggung kos pembiayaan yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

3. Pembiayaan Semula Rumah

Bagi yang sudah memiliki rumah dan baki pinjaman lebih rendah berbanding nilai hartanah semasa boleh membuat pembiayaan semula rumah untuk mendapatkan nilai pinjaman dalam bentuk tunai.

Pembiayaan semula rumah boleh digunakan untuk menyelesaikan pinjaman kereta, pembiayaan peribadi dan kad kredit yang mempunyai kadar faedah yang tinggi berbanding pembiayaan rumah. Pembiayaan rumah mempunyai kadar faedah lebih rendah dan tempoh pembiayaan lebih lama.

Contoh:

Ali beli rumah pada tahun 2010 dengan harga RM150k. Pada tahun 2020, baki pinjaman rumah tersebut ialah RM125k namun nilai hartanah telah meningkat kepada RM300k. Pada masa yang sama Ali ada hutang pinjaman peribadi RM60k, pinjaman kereta 1 RM30k, pinjaman kereta 2 RM50k dan hutang kad kredit RM5k.

Ali ada pilihan untuk refinance rumah untuk dapatkan pinjaman rumah RM270k iaitu 90% dari nilai hartanah. Setelah ditolak baki pinjaman rumah, duit pinjaman selebihnya boleh digunakan untuk selesaikan hutang pinjaman peribadi, pinjaman kereta dan hutang kad kredit sepenuhnya.

Kelebihan penyatuan hutang ialah potensi untuk dapatkan kos pembiayaan yang lebih murah. Selain itu ia dapat membantu mengurangkan bebanan bayaran ansuran bulanan dan mengelakkan dari tunggakan bayaran hutang akibat bebanan ansuran bulanan yang tinggi.

Namun begitu, perlu diingatkan bahawa penyatuan hutang juga mempunyai kekurangan tersendiri. Kos pembiayaan semula rumah perlu ditanggung untuk urusan perjanjian pembiayaan seperti yuran guaman, yuran penilaian dan lain-lain. Selain itu, tempoh pinjaman yang panjang juga meningkatkan jumlah faedah yang perlu dibayar dalam jangka masa panjang.

Perkara yang paling penting dalam pengurusan kewangan peribadi ialah disiplin dalam berbelanja supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan sehingga hutang makin bertimbun.

Artikel ini ditulis oleh Mohd Arif Irfan, seorang juruaudit di salah sebuah firma audit di Malaysia. Beliau telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA dan sedang mengutip pengalaman untuk menjadi akauntan bertauliah. Meminati bidang hartanah dan pelaburan serta rajin berkongsi ilmu di FB Arif Irfan.

Nak Deposit Rumah Pertama? ‘Overlap’ Hutang? Bayar Tunggakan PTPTN?

Ringankan tanggungan semasa anda dengan pembiayaan peribadi berkonsep syariah di platform Direct Lending. Dapatkan pinjaman kadar rendah untuk satukan semua hutang mahal anda. Semak kelayakan secara percuma. Anda boleh semak dahulu & mohon kemudian. Tiada apa-apa caj yang dikenakan.

KLIK sini untuk terima pembiayaan bank & koperasi yang bersesuaian dengan posisi kewangan anda.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.