Belanjawan 2023 Dijangka Kekalkan Cadangan Pengurangan Cukai M40, Kenaikan Untuk T20 — CTIM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) — Institut Percukaian Malaysia (CTIM) berpendapat tiada cukai baharu yang akan diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 tetapi menjangkakan kerajaan akan mengekalkan pemotongan cukai pendapatan dua mata peratusan bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan kenaikan cukai 0.5 peratus untuk golongan berpendapatan tinggi (T20) yang dicadangkan dalam belanjawan sebelum ini.

Presiden CTIM Chow Chee Yen berkata pengurangan cukai tersebut bertujuan membantu M40 dengan kenaikan kos sara hidup selain meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, manakala kenaikan cukai ke atas T20 adalah untuk menampung pengurangan kutipan hasil yang disebabkan oleh pemotongan cukai.

“Fokus utama kerajaan sekarang ini adalah membantu menangani kos sara hidup dan memperbaiki kedudukan fiskal negara.

“Oleh itu, saya menjangkakan pengurangan cukai masing-masing sebanyak dua peratus serta kenaikan cukai 0.5 peratus dikekalkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Di bawah Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt 2022 oleh kerajaan terdahulu, cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai antara RM50,001 hingga RM100,000 dikurangkan sebanyak dua peratus untuk tahun taksiran 2023, daripada 13 peratus kepada 11 peratus bagi RM50,001-RM70,000 dan daripada 21 peratus kepada 19 peratus untuk RM70,001 hingga RM100,000.

Di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, cukai untuk mereka yang berpendapatan antara RM250,001 hingga RM400,000 dinaikkan daripada 24.5 peratus kepada 25 peratus.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggantikan Ismail selepas pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov 2022, akan membentangkan Belanjawan 2023 yang disemak semula menjelang 24 Feb ini.

Chow ketika ditanya sama ada cukai karbon akan diperkenalkan dalam belanjawan akan datang, menolak kemungkinan itu sambil menjelaskan pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan perlu mengkaji mekanisme penetapan harga karbon dan menetapkan kadar cukai karbon yang sesuai untuk memacu matlamat iklim negara dalam meraih pelepasan sifar bersih.

“Maklum balas juga perlu dicari daripada pihak berkepentingan supaya perkara ini dipertimbangkan sewajarnya sebelum pihak berkuasa membuat keputusan mengenai pelaksanaannya. 

“Rangka kerja peralihan juga perlu diambil kira,” katanya. 

Chow ketika bercakap mengenai cadangan 15 peratus Cukai Minimum Global (GMT) menjangkakan langkah-langkah relevan akan diumumkan dalam Belanjawan 2023 tetapi pelaksanaannya akan berlangsung tidak lebih awal daripada 2024 untuk memberi masa kepada pihak berkepentingan dalam mengemukakan maklum balas sebelum ia mula dimuktamadkan.

Jelasnya, GMT adalah sejajar dengan perkembangan cukai antarabangsa untuk memerangi ketirisan hasil termasuk aktiviti peralihan keuntungan, dan akan membolehkan Malaysia mempunyai hak pertama bagi mengenakan cukai tambah nilai ke atas hasil daripada entiti yang terletak di Malaysia yang membayar cukai di bawah ambang 15 peratus. 

Sementara itu, beliau berkata pengembalian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan selepas Anwar baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai penggunaan secara meluas. 

“GST bukan keutamaan kerajaan sekarang dalam belanjawan akan datang, ini kerana sebagai cukai penggunaan yang meluas, GST juga akan memberi kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Ekonomi Malaysia masih dalam fasa pemulihan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menambah lagi cukai jualan 10 peratus yang dikenakan ke atas barangan bernilai rendah (LVG) berharga kurang daripada RM500 yang dibeli secara dalam talian mulai 1 April 2023 dan seterusnya, Chow menolak kemungkinan itu. 

“Saya tidak menjangkakan kerajaan akan menaikkan kadar dalam belanjawan pada peringkat awal pelaksanaannya, apa lagi dalam masa terdekat kerana ia dilihat boleh membebankan rakyat,” katanya. 

Beliau bagaimanapun menganggarkan kerajaan boleh mengutip kira-kira RM200 juta hingga RM300 juta setahun sebaik sahaja cukai jualan LVG dikuatkuasakan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pembayar Cukai Diseru Bersedia Awal Supaya Pelaksanaan e-Invois Berjalan Lancar

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) — Semua pembayar cukai digesa supaya tidak berlengah dan menunggu saat akhir untuk melaksanakan e-Invois, sebaliknya membuat persediaan awal bagi memastikan proses itu berjalan lancar, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata langkah proaktif akan membantu perniagaan dan organisasi menguruskan peralihan kepada sistem percukaian digital dengan lebih baik.

“Sekiranya terdapat sebarang cabaran atau perkara yang memerlukan perbincangan lanjut, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sentiasa bersedia untuk berbincang bagi memastikan isu dan cabaran yang dihadapi pembayar cukai dapat diatasi,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Mega e-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan peserta industri, persatuan perdagangan, badan profesional dan perniagaan memberikan cadangan bersifat membina untuk kerajaan menambah baik pelaksanaan e-Invois demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berharap program kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois yang dilaksanakan LHDN dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutama oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menjelang pelaksanaan fasa baharu bermula 2026.

Program jelajah itu adalah usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan mengenai pelaksanaan e-Invois.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan e-Invois mandatori dengan memperkenalkan dua fasa baharu iaitu fasa keempat bagi perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta dan sehingga RM5 juta mulai 1 Jan, 2026, serta fasa kelima untuk perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta bermula 1 Julai, 2026.

Selain itu, nilai ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois turut dinaikkan daripada jualan tahunan di bawah RM150,000 kepada di bawah RM500,000 bagi memberi manfaat kepada peniaga mikro dan kecil, katanya.

Setakat ini, lebih 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois dengan pengeluaran lebih 563 juta e-Invois, sekali gus menunjukkan sambutan positif terhadap inisiatif digitalisasi percukaian.

Selepas program itu, Menteri Kewangan II turut memanfaatkan peluang dengan turun padang ke beberapa premis pembayar cukai di sekitar Relau, dekat sini.

Beliau mengadakan lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang sejak semalam, tiba di kawasan premis perniagaan itu pada 9.30 pagi dan menyantuni kalangan pemilik premis di kawasan itu.

Amir Hamzah bersama-sama pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut memberi penerangan kepada pemilik perniagaan pembayar cukai mengenai e-Invois supaya mereka dapat memahami perkara dengan jelas.

Lawatan turun padang itu juga bertujuan memberikan penerangan dan mendapat maklum balas secara langsung berkaitan dengan pelaksanaan e-Invois yang akan melibatkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mulai 1 Jan, 2026.

Hadir sama dalam lawatan turun padang itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Pelaksanaan e-Invois adalah sebahagian usaha kerajaan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bertujuan memperkukuh infrastruktur perkhidmatan digital serta mempercepat pendigitalan ekosistem operasi perniagaan dan pentadbiran percukaian di Malaysia.
— BERNAMA