Pengurusan Cukai Pendapatan Bagi Pembayar Cukai Yang Telah Meninggal Dunia

Cukai pendapatan individu merupakan salah satu instrumen penting kepada negara yang mana pada setiap tahun ia menyumbang sekitar 20% sehingga 30% daripada amaun kutipan cukai langsung yang direkodkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara Malaysia (HASiL). Cukai yang dikutip ini kemudiannya akan digunakan oleh Kerajaan untuk membiayai semua projek pembangunan dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.

Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melapor serta membayar cukai pendapatan ini agar kemakmuran negara dapat dinikmati serta dirasai bersama.

Namun terdapat persoalan dalam kalangan pembayar cukai, bagaimana cukai pendapatan seseorang individu yang telah meninggal dunia diuruskan oleh HASiL? Adakah ia akan tetap dikutip atau dihapus kira sahaja?

Artikel ini akan menerangkan secara ringkas layanan cukai terhadap pendapatan pembayar cukai yang telah meninggal dunia (si mati). Semoga ia bermanfaat dan boleh dijadikan panduan kepada waris si mati.

Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak terlepas daripada kematian. Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati termasuklah pengurusan cukai si mati. Berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), menyatakan bahawa:

Sekiranya seseorang meninggal dunia pada tahun asas untuk satu tahun taksiran, pelaksananya hendaklah ditaksir dan dikenakan cukai untuk tahun taksiran tersebut, untuk tahun taksiran berikutnya dan, bila perlu, untuk tahun taksiran sebelumnya mengenai pendapatan bercukai bagi individu tersebut… jika ia boleh dinilai dan dikenakan cukai… kerana individu tersebut akan dinilai dan dikenakan cukai sekiranya dia tidak meninggal dunia.

Merujuk kepada seksyen ini, ia menyatakan bahawa waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Oleh yang demikian maka pihak waris atau wasi haruslah cakna akan sebarang tunggakan atau lebihan cukai yang ada pada si mati.

Pengetahuan pengurusan cukai si mati ini perlu difahami serta diuruskan dengan sebaiknya bagi memudahkan sebarang urusan kewangan si mati.

Bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut dan taksiran ini akan dibuat atas nama waris yang sah. 

Contoh:

Dalam tahun 2021, A meninggal dunia pada 1.6.2021. Oleh itu, pendapatan yang diterima mulai 1.1.2021 sehingga 31.05.2021 akan ditaksir sebagai pendapatan Si Mati A dalam tahun taksiran 2021. Taksiran akan dibuat atas nama wakil sah Si Mati A.

Justeru, apa – apa pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati. Semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama Waris Sah atau Pentadbir Harta Pusaka.

Satu fail baharu turut akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati. Dari segi kadar cukai yang dikenakan terhadap pentadbir harta pusaka atau waris yang sah pula, ianya adalah sama dengan kadar cukai yang dikenakan atas seseorang individu.

Bagi memudahkan urusan pelaporan pendapatan si mati, waris atau pentadbir harta pusaka wajib melaporkan pendapatan harta pusaka si mati di bawah pentadbirannya dengan menggunakan Borang Nyata Cukai Pendapatan untuk harta pusaka iaitu Borang TP.

Apa yang akan berlaku sekiranya si mati mempunyai cukai tertunggak?

Cukai tertunggak wujud apabila baki cukai yang dikenakan gagal dibayar oleh pembayar cukai dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya. Dalam hal ini, cukai tertunggak wujud apabila si mati tidak melunaskan baki cukai beliau ketika hidupnya.

Sekiranya ini berlaku, waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan tersebut daripada harta pusaka si mati. Sebagai makluman, kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka telah diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967). Seksyen 106 Akta menyatakan:

Cukai yang perlu dibayar dan kena dibayar dapat dipulihkan oleh Kerajaan melalui prosiding sivil sebagai hutang yang harus dibayar kepada Kerajaan.

Maka, sekiranya si mati masih lagi mempunyai cukai tertunggak ianya masih lagi diambil kira dan HASiL boleh memungutnya daripada waris atau pentadbir harta pusaka si mati bagi tujuan kutipan cukai kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, HASiL amat terbuka bagi sebarang proses rundingan jika waris atau pentadbir harta pusaka si mati tidak mampu untuk menyelesaikan baki cukai tersebut secara sekali gus (lumpsum). Mereka boleh memohon aturan bayaran secara ansuran tertakluk kepada kuasa budi bicara HASiL.

Bolehkah waris menuntut lebihan cukai yang telah dibayar oleh si mati?

Persoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh waris kerana sememangnya terdapat kes yang mana si mati telah membayar cukai lebih tinggi berbanding amaun cukai yang dikenakan terhadapnya. Sehubungan dengan itu, bagi waris yang menghadapi situasi ini mereka boleh membuat tuntutan secara rasmi dengan pihak HASiL amaun lebihan kredit atau cukai terlebih bayar tersebut.

Bagi memudahkan HASiL memproses permohonan ini waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan Salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate) yang diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori Pengurusan dan Profesional.

Senarai lengkap dokumen yang perlu dikemukakan boleh diperolehi dengan merujuk Rangka Kerja Pungutan Cukai di portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my . Jika terdapat lebih dari satu pentadbir harta pusaka, bayaran balik akan dilakukan atas nama salah satu pentadbir sahaja.

Kesimpulannya, seseorang pembayar cukai yang meninggal dunia tetap mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan sebarang cukai tertunggak yang ada. Ia dianggap sebagai hutang kepada Kerajaan dan waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut bagi pihak si mati.

Sehubungan dengan itu, setiap waris disyorkan agar membuat semakan terlebih dahulu kedudukan cukai si mati dengan pihak HASiL bagi memastikan semua cukai si mati telah dilunaskan sekali gus menjamin kelancaran urusan pembahagian harta pusaka si mati dan sebarang tuntutan wajib yang lain.

Artikel ini disediakan oleh Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri malaysia.

Alhamdulillah, terkini kami telah terbitkan buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menggandakan pendapatan dalam pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia. Ramai yang masih berkira-kira sebab belum berani dan tak pasti.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa.

Anda nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak dapat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

Miliki Buku Ini Sekarang!!

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.