Taknak Bayar Cukai? Bersedia Untuk Berdepan Dengan 4 Kesan Ini

Kita mungkin tertanya-tanya apa akan berlaku jika tidak membayar cukai yang telah ditetapkan. Ramai tahu bahawa proses pengisytiharan dan pembayaran cukai adalah proses yang mudah tetapi tidak semua orang mahu melakukannya.

Bagi kita yang telah mempunyai fail cukai dan ditolak sebahagian daripada gaji setiap bulan, pastinya kita nak cepat-cepat setel dan mendapat semula ‘refund’ sekiranya kita terlebih bayar cukai.

Walau bagaimanapun, cukai boleh menjadi rumit jika kita mempunyai bisnes bersendirian atau pun bekerja sendiri tetapi tidak pernah mendaftar cukai, apa lagi membayarnya. Sekiranya hal ini berlanjutan, pasti akan ada kesan perlu kita hadapi.

Jom kita tengok 4 kesan sekiranya kita taknak bayar cukai.

1. Hutang Cukai Akan Terus Bertambah

Jika kita memutuskan bahawa kita enggan membayar cukai pada tahun ini, ia hanya akan merumitkan kehidupan. Dalam senario ini, kita akan dikenakan penalti kerana tidak membayar cukai.

Sesetengah penalti yang dikenakan adalah penalti bagi kegagalan untuk tidak menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (Seksyen 112(1)), tidak melapor pendapatan yang betul (Seksyen 113) dan kegagalan membayar cukai pada waktunya.

2. Kena Penalti

Bagi mereka yang tidak membayar cukai, mereka mungkin akan dikenakan penalti jika sabit kesalahan. Penalti adalah denda bayaran yang cajnya adalah mengikut jumlah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Semakin banyak cukai yang tertunggak, semakin tinggilah penaltinya.

Baca lagi tentang Kesalahan, Denda dan Penalti di sini.

3. Berisiko Dikenakan Tindakan Mahkamah Atau Penjara

Kesan tidak membayar cukai juga menjadikan kita berisiko dikenakan tindakan mahkamah atau dipenjarakan di atas kesalahan tersebut. Harta benda serta semua barang peribadi kita mungkin akan disita oleh pihak kerajaan mengikut berapa banyak nilai cukai yang kita tak bayar.

4. Tidak Dapat Ke Luar Negara 

Paling buruk lagi, kesan tidak membayar cukai juga membuatkan kita dihalang daripada keluar negara oleh Jabatan Imigresen. Sekatan perjalanan ini dikenakan ke atas individu atau pengarah syarikat yang gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat.

Kalau nak keluar juga, kena jelaskan dulu tunggakan cukai. Semakan Sekatan Perjalanan boleh dibuat di sini.

Itulah antara kesan tidak bayar cukai ramai tak tahu. Memang amat buruk kesannya jika kita tidak membayar cukai.

Oleh itu, jom kita sama-sama menjalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dengan membayar cukai bagi membangunkan negara.

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan rumah.

Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB.

Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.