Jack Ma Kongsikan Peranan Wanita Sebagai Salah Satu Faktor Kejayaan Alibaba

Semua orang pasti pernah mendengar nama Jack Ma bukan? Beliau merupakan lelaki terkaya di China yang telah mengasaskan syarikat Alibaba dan membangunkannya menjadi salah sebuah syarikat terbesar di dunia.

Baru-baru ini, Jack Ma telah bersara secara rasmi daripada jawatan CEO yang telah disandangnya sejak sekian lama.

Berkongsi kisah tentang perjalanan Alibaba sepanjang 20 tahun, Jack Ma menegaskan bahawa Alibaba tak akan berjaya tanpa pekerja wanitanya. 34% daripada kepimpinan atasan syarikat gergasi ini terdiri daripada kaum wanita manakala 47% daripada keseluruhan pekerjanya juga adalah daripada golongan wanita.

Jadi tak hairanlah kalau Jack Ma menganggap mereka ini penting dalam kejayaan syarikat tersebut. Menurut bilionaire ini lagi, wanita lebih fokus berbanding dengan lelaki walaupun berada dalam tekanan.

Beliau juga percaya yang dunia akan menjadi tempat yang lebih baik jika terdapat lebih banyak pemimpin wanita.

Selain itu juga, Jack Ma juga merupakan seorang yang berpandangan jauh ke hadapan. Bayangkan, beliau telah merancang pengundurannya daripada Alibaba ketika syarikat tersebut baru berusia 5 tahun untuk memberi peluang kepada muka baru.

Beliau mendedahkan bahawa yang beliau pernah digesa untuk meletak jawatan kerana dirinya dianggap tidak berkelayakkan. Ketika itu juga Alibaba menghadapi pelbagai masalah untuk kekal bertahan.

Tetapi lelaki ini masih berdegil untuk memegang jawatan CEO tersebut dan berjanji untuk meletakkan jawatan hanya selepas syarikat tersebut berjaya.

Bermula dari saat itulah Jack Ma mula memikirkan rancangan persaraannya serta yang paling penting siapa yang bakal mewarisi kerusi panas e-commence terkemuka itu.

Jack Ma memperuntukkan masa setahun untuk membina sistem bagi mengenal pasti serta melatih bakal pemimpin yang tepat untuk syarikat tersebut. Lebih menarik lagi sistem ini diinspirasikan daripada pelbagai sistem parlimen termasuk dari Amerika Syarikat dan juga kerajaan Rom.

Nak tahu kenapa Jack Ma bersusah payah membina sistem ini? Ini kerana bagi Jack Ma sesuatu syarikat itu tidak boleh terlalu bergantung kepada hanya seorang pemimpin untuk berjaya, tetapi perlu berpegang kepada sistem, budaya serta pekerja yang ada.

Itulah yang dipelajarinya hasil daripada pemerhatian terhadap gergasi di Jepun dan juga Amerika.

Jadi tak hairanlah Jack Ma berjaya membangunkan Alibaba setanding dengan Amazon dalam tempoh 20 tahun ini. Segalanya dirancang dengan jelas dan teratur dari peringkat awal lagi.

Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu daripada kisah menarik beliau ini.

Sumber Rujukan: https://www.businessinsider.my/i-have-a-lot-of-powerful-women-jack-ma-just-shared-alibabas-secret-to-surviving-a-terrible-20-years/

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.