Dividen FELCRA 2025 Ditetapkan 15 Peratus, Dibayar Awal Tahun Depan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Dividen berasaskan operasi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) bagi tahun kewangan 2025 ditetapkan pada kadar 15 peratus dan dijangka dibayar pada awal tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penetapan dividen itu mencerminkan keupayaan FELCRA mengekalkan keuntungan yang lebih berdisiplin dan pemantauan rapi bagi memastikan koperasi dan anak-anak syarikatnya terus mencatatkan prestasi mampan tanpa ketirisan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pendekatan yang telus perlu menjadi asas kepada prestasi kewangan koperasi itu, selain memastikan kepentingan ahli sentiasa diberi keutamaan.

“Kita mahu koperasi ini terus menjadi contoh terbaik, bukan sahaja dari segi keuntungan, tetapi dari segi tadbir urus dan manfaat kepada ahli. Pendekatan saya adalah pendekatan hands on dan jika lakukan pemantauan tidak boleh terburu-buru dan melakukan ketirisan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke- 43 Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFMB) di sini, malam ini.

Turut hadir Pengerusi FELCRA Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Koperasi KPFMB Datuk Sabari Misran.

Ahmad Zahid berkata prestasi KPFB sebagai anak syarikat membuktikan kekuatan model koperasi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan perniagaan dan tanggungjawab sosial selaras dengan prinsip pembangunan inklusif.

Beliau berkata keutamaan pengurusan diberikan kepada KPFB kerana jumlah ahlinya jauh lebih besar berbanding pemegang saham anak-anak syarikat lain, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara lebih menyeluruh.

“KPFB bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya membina kejayaan perniagaan yang memberi manfaat kepada peserta, komuniti dan keseluruhan ekosistem FELCRA,” katanya.

Sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu, KPFB telah menyalurkan dividen melebihi RM20 juta kepada koperasi-koperasi peserta FELCRA di bawah naungannya dengan prestasi cemerlang yang turut diiktiraf menerusi anugerah Status Koperasi Premier 2025 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan elaun kehadiran bagi Mesyuarat Agung Perwakilan KPFB pada tahun ini ditetapkan sebanyak RM1,000 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, kesetiaan dan peranan aktif para perwakilan dalam memperkukuh hala tuju koperasi.

Beliau berkata kadar itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan kedudukan kewangan koperasi, malah membuktikan keupayaan KPFB untuk terus memberikan pulangan yang adil dan berterusan kepada para anggotanya.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Mastercard Melancarkan Portfolio Penyelesaian Fleet Di Asia Pasifik

Malaysia, 4 Februari 2026 – Mastercard hari ini mengumumkan pelancaran Mastercard Fleet: Next Gen di Asia Pasifik, iaitu satu portfolio penyelesaian inovatif yang memperluaskan pembayaran fleet melangkaui pembelian bahan api bagi menyokong keseluruhan keperluan mobiliti pengendali fleet masa kini. Penyelesaian ini direka secara strategik untuk memenuhi tahap kematangan pasaran dan segmen pelanggan yang berbeza daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan fleet berskala kecil, hingga kepada pengendali logistik berskala besar.

Seiring ekosistem fleet yang semakin kompleks, pengendali memerlukan keterlihatan yang lebih jelas terhadap perbelanjaan, kawalan yang lebih kukuh, serta data yang boleh digunakan secara masa nyata. Apabila data pembayaran terpisah dalam sistem yang berasingan, ia mewujudkan titik buta yang mengehadkan kecekapan dan pengoptimuman termasuk kesukaran menyatukan transaksi bahan api, penyelenggaraan dan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dalam satu platform, atau menyukarkan pengurus mengenal pasti ketidakwajaran di sepanjang laluan operasi. Mastercard Fleet: Next Gen menyatukan data pembayaran dan menukarkannya kepada maklumat yang boleh ditindaklanjuti, yang diintegrasikan terus ke dalam aliran kerja pengurusan fleet.

Asia Pasifik merupakan rantau yang berkembang paling pesat bagi pengurusan fleet, dengan pasaran diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 18% sehingga tahun 2030. Dalam tempoh yang sama, pengendali terus berdepan tekanan kos, keperluan kelestarian yang semakin ketat serta jangkaan tinggi terhadap aspek keselamatan dan pematuhan. Dalam persekitaran ini, keupayaan untuk mengakses data pembayaran yang konsisten dan diperkaya merentasi semua aktiviti fleet adalah penting bagi menyokong skala operasi dan prestasi jangka panjang.

Disokong oleh lebih dua dekad kepakaran global dalam bidang fleet, Mastercard Fleet: Next Gen menghimpunkan satu set penyelesaian yang direka untuk menyokong keperluan pengendali fleet dan pengeluar kad yang sentiasa berkembang, termasuk:

  • Penerimaan global di berjuta-juta lokasi, merangkumi pembelian bahan api, pengecasan EV, penyelenggaraan, tol dan perbelanjaan sokongan fleet lain
  • Data fleet berasaskan rangkaian yang direkodkan di tempat jualan, selaras dengan piawaian global
  • Penyelesaian khusus pasaran yang membolehkan pengumpulan data yang dipertingkatkan di stesen minyak dan peniaga berkaitan fleet
  • Kad fleet yang diperuntukkan dan dikeluarkan secara digital untuk kenderaan atau pemandu bagi pembayaran tanpa sentuh atau mudah alih, termasuk penyelesaian kad maya khusus untuk kegunaan fleet
  • Integrasi dengan teknologi sedia ada seperti platform mobiliti, rangkaian pemeroleh dan alat pengurusan fleet

Menurut Anouska Ladds, Ketua Pembayaran Komersial & Aliran Pembayaran Baharu Asia Pasifik, Mastercard, “Keperluan fleet di Asia Pasifik sangat berbeza-beza, dan penyatuan pembayaran, data serta kawalan dalam satu pengalaman mencerminkan keperluan sebenar pengurus fleet. Penyelesaian fleet Mastercard direka untuk membantu pengeluar kad fleet dan penyedia pembayaran khusus membawa keupayaan fleet termaju ke pasaran dengan lebih pantas, sambil mengurangkan kerumitan dan pelaburan yang biasanya diperlukan untuk membangunkan keupayaan tersebut.”

Mastercard membolehkan pemilik program fleet menyediakan:

  • Kawalan kelulusan dan dasar perbelanjaan yang lebih pintar mengikut kenderaan, pemandu, kategori peniaga, lokasi, masa dan amaun
  • Pengurusan data fleet bagi menyokong pematuhan, perakaunan dan analitik seterusnya membolehkan pengurusan kos yang lebih baik serta ramalan yang lebih tepat
  • Pemantauan penipuan dan penyalahgunaan secara masa nyata yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi fleet

Pelancaran rangkaian penyelesaian fleet terbaharu Mastercard di Asia Pasifik ini memperluaskan lagi tawaran syarikat dalam segmen penting ini, di samping memperkukuh kepakaran dan inovasi Mastercard dalam bidang fleet dan mobiliti di peringkat global. Langkah ini juga mencerminkan komitmen Mastercard untuk mempermudah pembayaran B2B dengan menghubungkan aliran komersial yang terpecah-pecah melalui satu infrastruktur yang dipercayai, sekali gus membantu perniagaan daripada pelbagai saiz berkembang dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks.