Google Disaman Kerajaan Amerika Syarikat Kerana Monopoli Carian Internet

Saman-menyaman dalam dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang asing lagi pada masa kini. Di antara kes yang popular yang sering menjadi pertikaian mahkamah di antara syarikat gergasi adalah kes saman yang melibatkan patent syarikat.

Kes ini begitu popular sejak dari dulu lagi kerana patent merupakan salah satu hak cipta yang ekslusif dan ianya membolehkan sesebuah syarikat itu mendominasi pasaran dengan wujudnya patent tersebut.

Kredit Gambar: Kessbenfm

Kadang kala kes saman-menyaman ini mengambil tempoh masa yang lama dan sebahagiannya telah lebih suka mengambil pendekatan yang lebih mudah iaitu dengan penyelesaian di luar makahmah. Kita dapat lihat ianya menguntungkan kedua pihak yang sedang bertelagah seperti Apple dan Samsung yang mengambil pendekatan ini.

Tapi bagaimana pula sekiranya sesebuah kerajaan menyaman syarikat? Adakah kes ini juga boleh diselesaikan di luar makahamah?

Begitulah terjadi kepada syarikat gergasi teknologi dari Amerika Syarikat iaitu Google, yang menghadapi saman dari kerajaan mereka sendiri. Kes seperti ini sangat jarang berlaku tetapi ia pernah berlaku di Amerika Syarikat sebelum ini.

Walaupun Amerika Syarikat mengamalkan dasar pasaran bebas untuk ekonomi negara mereka, ia tidak bererti negara tersebut tidak boleh menyaman mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang negara tersebut.

Pada penghujung bulan Oktober yang lalu, Amerika Syarikat telah menyaman Google dan membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan di atas kesalahan memonopoli pasaran carian internet. United States Department of Justice (DOJ) menuduh Google membunuh pesaing mereka secara senyap dengan mendominasi iklan digital.

Pesaing kepada Google tidak dapat mengiklankan produk mereka dengan secara yang sepatutnya di dalam platform mereka. Google mendominasi sebanyak 90% carian di dalam dunia internet telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Selain Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah juga pernah menyaman Google di atas dakwaan yang sama iaitu memonopoli pengunaan carian di benua tersebut.

Sebelum ini, Microsoft merupakan syarikat teknologi pertama yang menghadapi kes anti-monopoli yang berlaku pada awal tahun 2000. Pada ketika itu, Microsoft menghadapi dakwaan dari kerajaan Amerika Syarikat disebabkan memonopoli sistem perisian  komputer dan didapati bersalah  di atas tuduhan tersebut.

Kesan daripada tindakan kerajaan Amerika Syarikat terhadap Microsoft ini, telah membantutkan perkembangan teknologi pada waktu tersebut dan ia adalah salah satu punca  kenapa Microsoft gagal di dalam perlumbaan telefon pintar menurut Bill Gates.

Kredit Gambar: Phillyvoice

Google yang menafikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan mendakwa mereka tidak memonopoli carian internet sebaliknya pengguna internet sendiri yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat tersebut. Mereka tidak memaksa orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka.

Selain itu juga, Google turut bekerjasama dengan Apple untuk menjadikan carian mereka sebagai default kepada browser Safari yang dimiliki oleh Apple. Google dipercayai membayar sejumlah $8 hingga $12 bilion untuk kerjasama tersebut.

Google menyatakan pendiriannya kepada DOJ bahawa tindakannya itu sama seperti syarikat-syarikat lain. CEO Google mengambil contoh perniagaan bijirin makanan yang membayar kepada pasaraya untuk meletakan produk mereka di hadapan rak dalam pasaraya tersebut.

Google juga turut menyatakan jika DOJ meneruskan hasratnya membawa kes ini ke peringkat yang lebih tinggi, kesan buruk terhadap dunia teknologi akan berlaku. Telefon pintar akan menjadi mahal dan ia akan menyusahkan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki telefon pintar pada masa hadapan.

Hanya iPhone sahaja yang akan mendominasi pasaran telefon pintar yang menyebabkan pengguna membayar lebih daripada apa sepatutnya. Buat masa sekarang, hanya telefon yang menggunakan perisian Android sahaja yang dijual lebih murah di pasaran.

Kes ini baru saja bermula dan dipercayai akan mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.