Hutang Menurut Perspektif Islam Dan 4 Tips Untuk Melangsaikannya

Kebelakangan ini, isu hutang telah menjadi isu dominan di media massa.

Tidak kira sama ada pinjaman melalui institusi kewangan komersial atau agensi pinjaman kerajaan seperti MARA dan PTPTN, ianya mendapat liputan yang sangat meluas di negara ini. Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2016 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia melaporkan individu berpendapatan RM3,500 dan ke bawah adalah berisiko untuk tidak membayar hutang jika mengalami perbelanjaan di luar jangka seperti menanggung kos perubatan, kereta rosak, atau kos pendidikan anak di pusat pengajian tinggi.

Selain daripada itu, 53% daripada peminjam kumpulan ini akan terkesan terhadap keupayaan membayar balik sekiranya terdapat perubahan pada kadar faedah disebabkan pendapatan yang rendah. Mengikut laporan ini juga, kebanyakan penghutang tinggal di pusat guna utama iaitu Selangor, Johor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang. Kebanyakan pinjaman dibuat untuk membiayai pembelian kediaman, diikuti pembelian sewa beli kereta, dan seterusnya untuk kegunaan peribadi.

Sementara itu, Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian Kestabilan Kewangan 2017, golongan berpendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah mempunyai bahagian peminjaman yang besar untuk pembiayaan peribadi dan kenderaan bermotor.

Dari perspektif Islam, hutang adalah diharuskan dengan syarat penghutang perlu membayar balik hutang tersebut.

Surah al-Baqarah ayat 282 dengan jelas menyatakan sebarang transaksi muamalat yang tidak menggunakan tunai perlu dicatat dengan terperinci. Ini menunjukkan betapa perlunya hutang itu dibayar. Orang yang berhutang tetapi tidak membayarnya adalah berdosa kerana mereka telah merampas hak milik orang lain.

Hutang adalah suatu akad atau janji, wajib untuk membuat pembayaran dan haram jika tidak menunaikannya. Hutang adalah harus untuk tujuan yang baik tetapi penghutang perlu berniat untuk melunaskannya. Sedangkan Allah pula akan membantu jika kita berniat baik. Umat Islam juga ditegah terlibat dengan hutang yang berunsurkan riba’.

Hadis Riwayat al-Bukhari 2/83 menjelaskan Rasulullah SAW bersabda ‘Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya’.

Riwayat ini dengan jelas menyatakan betapa pentingnya hutang itu dibayar oleh penghutang. Oleh itu, kita perlulah berpada-pada dalam berhutang iaitu untuk keperluan sahaja bukan hanya untuk memenuhi nafsu dan menunjuk-nunjuk. Hutang yang tidak dibayar juga akan menyebabkan hilangnya keberkatan di dalam rezeki yang diperolehi. Rezeki yang tidak berkat menyebabkan rohani dan mental menjadi sempit, ada sebahagiannya tidak sempit dari harta tetapi dari segi ketenangan jiwa.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan membaca surah Al-Imran ayat 26 dan 27 ketika dibelenggu hutang. Inshaallah rezeki akan datang dengan bantuan Allah. Walaubagaimanapun sebagai manusia, kita perlulah berusaha dan tidak mengharapkan doa semata-mata.

Di antara tips untuk melangsaikan hutang adalah seperti berikut:

1. Apabila mendapat gaji, langsaikan hutang dahulu sebelum membuat perbelanjaan.

2. Gunakan transaksi tunai dalam pembelian, elakkan penggunaan kad kredit.

3. Sebagai umat Islam, jauhi pinjaman ah long dan perbankan konvensional.

Pinjaman tersebut terlibat dengan riba’ dan mengenakan kadar faedah yang tinggi. Selain itu, denda lewat bayar adalah bersifat berganda (compounding) yang sangat membebankan. Pilihlah pembiayaan perbankan Islam yang mengamalkan transaksi patuh shariah berasaskan kontrak Tawarruq, Mudharabah, dan lain-lain lagi. Jika berlaku kelewatan pembayaran, Ta’widh akan dikenakan tetapi tidak bersifat berganda (non compounding) dan wang tersebut akan disalurkan untuk tujuan amal (tidak dikira sebagai pendapatan kepada bank).

4. Jika hutang lama belum selesai, jangan buat hutang baru.

Akhir kalam, kedua-dua pihak iaitu penghutang dan pemiutang perlu bertanggungjawab dalam urusan hutang. Penghutang wajib membayar balik apa yang dipinjam, manakala pemiutang dilarang untuk menindas penghutang.

Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh Tuan Azharul Adha Bin Dzulkarnain. Beliau berkelulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam daripada UiTM. Penulisan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan, dan pembacaan penulis secara peribadi.

This image has an empty alt attribute; its file name is suri-rumah-bangkit1.jpg

Anda Berkeinginan Nak Selesaikan Hutang?

Semua orang nak sangat bayar dan selesaikan hutang.

Tapi setiap kali nak bayar, pasti akan ada halangan yang tak dijangka maka pembayaran hutang juga tertangguh.

Hutang yang semakin bertambah dan tidak dapat dibayar akan buat kita semakin stress akibat tekanan yang dihadapi.

Jadi bagaimana cara nak bayar hutang yang ada?

Anda boleh belajar dari kisah seorang suri rumah ni melangsaikan hutangnya sebanyak setengah juta yang ditanggungnya.

Dapatkan eBook Suri Rumah Bangkit Hutang ½ Juta Selesai hari ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.