4 Contoh Surat Wasiat Yang Boleh Kita Buat

Jika ditakdirkan kita mempunyai harta tidak kisah sebesar mana sekali pun; ada baiknya kita lakukan wasiat sebagai ‘suara’ untuk memberi arahan ke atas pembahagian harta kita selepas kita tiada lagi.

Bolehkah kalau kita nak tulis surat wasiat sendiri? Jawapannya adalah Ya! Tetapi surat wasiat yang ditulis sendiri tanpa sebarang ilmu berkaitan undang-undang, dengan mudah boleh ditentang oleh waris yang tidak berpuas hati dan dengan sendirinya surat wasiat itu menjadi sia-sia saja.

Dari mana kita nak dapatkan contoh untuk buat wasiat  ini? Jawapannya dengan mendapatkan bantuan daripada pihak Amanah Raya.

Oleh itu, jom kita sama-sama tengok 4 contoh surat wasiat yang boleh kita buat.

1. Wasiat Mutlak

Contoh surat wasiat yang pertama adalah wasiat mutlak, iaitu wasiat yang dilakukan dengan bebas atau tidak terikat dengan apa-apa syarat ke atas harta yang diwasiatkan yang mungkin diletakkan oleh pemberi wasiat tersebut.

2. Wasiat Am

Contoh surat wasiat yang kedua ialah wasiat umum iaitu wasiat yang dibuat dalam bentuk umum atau lebih tepat sekali dalam kumpulan.

Wasiat yang seperti ini adalah merangkumi kesemua kumpulan atau tempat tidak kira Islam atau bukan Islam.

3. Wasiat Bersyarat

Wasiat bersyarat ialah wasiat yang mengandungi syarat-syarat tertentu yang dikenakan oleh si pewasiat. Jadi terpulang oleh si penerima sama ada mahu menerima wasiat tersebut, dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh si pewasiat atau si penerima boleh menolak wasiat tersebut.

Sekiranya syarat yang terkandung dalam wasiat tersebut tidak dapat dipenuhi, maka wasiat tersebut akan menjadi batal.

4. Wasiat Khas

Contoh Surat Wasiat yang keempat pula ialah wasiat khas. Wasiat khas ialah wasiat yang dikhususkan untuk pihak tertentu dengan syarat yang tertentu.

Biasanya pewasiat akan berwasiat kepada seseorang yang dinyatakan dalam wasiatnya.

Dokumen Yang Diperlukan Untuk Membuat Wasiat

Dalam membuat wasiat, biasanya pewasiat akan melantik individu atau syarikat untuk menulis dan menyampaikan wasiat kepada pewaris sebagaimana yang telah diamanahkan. Biasanya syarikat yang menguruskan wasiat ini akan meminta si pewasiat untuk menyediakan beberapa dokumen.

Di antara dokumen tersebut adalah :

  • Dokumen pelantikan pentadbir harta pusaka
  • Dokumen harta sepencarian untuk isteri yang tidak bekerja
  • Dokumen hibah

Risiko Jika Tidak Membuat Wasiat Sebelum Meninggal

Apa yang sering berlaku, waris yang layak akan berebut harta si mati. Ini bukan sahaja berlaku dalam drama TV, tetapi realitinya sedang berlaku dalam masyarakat kita.

Benarlah kata pepatah, “kerana harta manusia menjadi gelap mata”. Mana tidaknya, disebabkan harta pusaka tidak diberikan dengan adil maka berlakulah perebutan dan pertelingkahan sesama adik-beradik dan sanak saudara.

Setiap orang sepatutnya perlu menyiapkan surat wasiat demi untuk memudahkan urusan. Dengan wasiat yang sah, maka risiko untuk ahli keluarga bergaduh atau tidak bersetuju menjadi kurang.

Ini kerana kita perlu menghormati keputusan yang diambil oleh pewasiat, dan jalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Jemput baca juga:

Previous ArticleNext Article

8 Comments

  1. Saya ingin tau..?kalau rumah dan tanah diatas nama arwah ibu,kakak dan saya..tapi belum buat cari kuasa…masih kekal 3 nama..tapi saya yg duduk d rumah pusaka ni saya ingin buat wasiat kalau saya meninggal,anak2 dan suami saya masih ada hak atas rumah tu sebb nama saya masih ada..boleh saya tau d mana perlu saya rujuk pekara ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.