Hanya mereka yang pernah menguruskan jenazah kenalan atau keluarga sendiri yang tahu betapa pentingnya khairat kematian. Dengan wang khairat kematian, ianya dapat melicinkan proses pengurusan jenazah daripada urusan di masjid atau surau hinggalah ke liang lahad.
Walaupun anggaran kos nak menguruskan jenazah ini tidaklah terlalu tinggi, tetapi dengan adanya wang khairat kematian, akan sangat memudahkan urusan waris.
Bahkan kos pengurusan jenazah boleh jadi tak sampai RM1,000 pun.
Kos nak upah mandikan jenazah.
Kos nak beli kain kafan.
Kos pengangkutan dari rumah ke masjid ke tanah perkuburan.
Kos upah penggali kubur.
Bagi hampir kebanyakan orang, nilai RM1,000 tersebut tidaklah banyak. Walaubagaimanapun, semua kos-kos ini memerlukan kepada wang tunai segera. Perlu ada dan sedia digunakan sejurus selepas berlaku kematian. Ini akan mempercepatkan proses menguruskan jenazah tersebut.
Ini kerana menyegerakan pengurusan jenazah adalah perkara yang disunnahkan dalam Islam. Tidak elok melambat-lambatkan urusan jenazah.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Segerakanlah jenazah. Jika ia jenazah yang baik, maka ia satu kebaikan yang kamu percepatkan untuknya. Kalau ia jenazah yang tidak sebegitu (yakni tidak baik), maka ia merupakan satu keburukan yang kamu letakkan daripada tengkuk-tengkuk kamu (iaitu kamu tidak perlu lagi mengiringi suatu yang tidak ada kebaikan).
(Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, dalam banyak-banyak institusi yang kita sebagai waris tuntut wang khairat kematian, institusi masjid kariah kita sendiri yang paling cepat dan efisien pelaksanaannya.
Tak perlu isi borang hantar ke pejabat dan macam-macam birokrasi lain.
Bila berlaku kematian dalam keluarga kita, beritahu saja orang masjid, ahli jawatan kuasa masjid akan terus siapkan semua kelengkapan urusan jenazah; daripada alatan pemandian, kain kafan, keranda sehinggalah kepada penghantaran jenazah dan menggali kubur.
Semuanya menggunakan duit khairat kematian dari tabung masjid. Mereka sediakan semuanya.
Mudah urusan kita sebagai waris, tak perlu nak buat macam-macam permohonan untuk tuntutan duit khairat kematian.
Jadi sebab itu kena pastikan kita membayar yuran khairat kematian masjid kariah kita. Tak mahal mana pun. Sangat murah dan tak membebankan.
Satu lagi jangan lupa bergaul dengan orang masjid. Bagi kaum lelaki, jangan sekadar datang masjid hari Jumaat saja, cuba lazimi solat fardhu berjemaah di masjid pada setiap hari.
Bagi orang masjid kenal muka kita. Takkanlah bila ada kematian baru nak cari dan minta tolong orang masjid.
Photo by Download a pic Donate a buck! ^ from Pexels
Selain daripada khairat kematian dari masjid, banyak lagi institusi yang turut sediakan dana khairat kematian. Perkeso, KWSP, majikan tempat kita bekerja, sebahagian bank dan juga syarikat takaful.
Kalau dikumpulkan semua dana daripada institusi Kalau kira-kira, total khairat kematian yang boleh dituntut boleh cecah RM5 ribu – RM10 ribu juga.
Duit khairat kematian ni fungsi utamanya guna untuk menguruskan jenazah. Yang lebih bolehlah waris gunakan untuk urusan-urusan lain.
Nota:
1. Duit khairat kematian bukan harta pusaka si mati, jadi tidak tertakluk di bawah agihan hukum faraid 2. Kenduri tahlil arwah tidak termasuk dalam urusan jenazah
Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan perwarisan harta Islam di sebuah syarikat amanah yang menguruskan perancangan harta dan pentadbiran pusaka secara Syariah.
Jom belajar ilmu kewangan secara bermodul menggunakan buku Bijak Merancang Wang, klik www.bukuBMW.com. Topik ini terkandung dalam modul kewangan dalam Buku Bijak Merancang Wang yang mengandungi modul kewangan secara tersusun:
1. Aliran tunai 2. Pengurusan aset dan hutang 3. Simpanan 4. Perlindungan 5. Pelaburan 6. Penyucian 7. Pewarisan
Sebagai pengguna, kita patut tahu fungsi dan peranan setiap produk kewangan. Ia saling melengkapi dan memerlukan antara satu sama lain. Dapatkan di www.bukuBMW.com
Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.
Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.
Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.
Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.
Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.
Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025
Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.
Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an
Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.
Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.
Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.
Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.
Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.
Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas
Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.
Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.
Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu
Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:
“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.
Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.
Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.
Negeri
Kedudukan yang ditemui
Tahun / status
Kelantan
Ada kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematian
Secara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkan
Fatwa 2023; panduan 2020
Johor
Dahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 2025
2013 → berubah 2026
Sarawak
Pernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkan
Keputusan terdahulu
Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?
Kita ambil contoh mudah.
Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.
Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.
Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.
Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.
Jadi bukan bermaksud:
“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”
Tidak.
Yang betul ialah:
“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”
Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?
Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.
Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.
Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:
Pertama, harta sepencarian.
Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.
Kedua, harta pusaka.
Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.
Ketiga, faraid.
Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:
“Ini semua akan difaraidkan.”
Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.
Namun, jangan salah faham
Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.
Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.
Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.
Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.
Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.
Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.
Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”
Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.
Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:
“Berapa banyak isteri dapat?”
Tetapi:
“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”
Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.
Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.
Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.
KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.
Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.