Yang Mana Satu: Hibah Atau Wasiat? (Bahagian 1)

Sambungan daripada 9 Sebab Kenapa Kita Digalakkan Menulis Wasiat, satu lagi soalan yang sering bermain minda di orang ramai adalah – nak buat hibah dulu atau wasiat?

Jom kita baca perkongsian daripada Roslina Sabiyah, yang merupakan seorang Peguam Syarie yang mempunyai pengkhususan dalam bidang perunding keluarga dan harta pusaka.

Hibah Atau Wasiat Dulu?

Hibah atau wasiat? Sebenarnya dua-dua ada fungsi dan peranan dia masing-masing. Susah nak faham kalau kita hanya bagi fakta-fakta sahaja. Saya kena buat part demi part sebab saya ada banyak kes dan kisah benar nak dikongsi. Supaya melalui kes dan kisah benar tu lebih mudah orang ramai nak faham aplikasi hibah dan wasiat yg lebih praktikal bukan berdasarkan teori sahaja.

Ok biasanya yang banyak bertanya pasal hibah dan wasiat ni golongan wanita para isteri-isteri. Sebab mereka tahu bahagian mereka paling sedikit. Sampai ada yang minta tolong saya..”Puan tolong la pujukkan suami saya supaya buat hibah.

Kalau saya yang cakap nanti dia ingat saya cuma nak harta dia dan nak suruh dia mati dulu dari saya..” Haa.. siapa yg pernah terfikir dialog di atas? Saya tak boleh pujukkan.. nanti jadi lain pulak. Yang saya boleh bantu hanya tolong bagi kefahaman dan kesedaran sahaja.

Tapi kali ni saya nak kongsikan 1 kes yang melibatkan orang lelaki sendiri. Seorang lelaki yang juga suami dan ayah kepada seorang anak perempuan datang berjumpa saya untuk buat hibah. Umurnya muda lagi tapi dah ada harta 2 biji rumah yang lokasinya agak strategik dan beberapa ekar kebun sawit. Profil kewangannya memag cantik dengan beberapa pakej insurans yang diambil dan beberapa pelaburan yg dibuat. Apa yg membuatkan beliau nekad nak buat hibah?

Ceritanya.. ”Isteri saya surirumah. Saya hanya ada seorang anak perempuan. Adik-beradik saya ramai lelaki dan ibu saya masih hidup. Baru-baru ni saya ada borak-borak santai bagitau nak merancang harta saya dengan keluarga. Adik-beradik saya tak setuju. Katanya diorang pun ada hak ke atas harta-harta saya. Ibu saya pun ada cakap dia nak bahagian atas rumah saya.

Saya terkejut dan tak sangka! Sebab saya masih hidup dan harta-harta saya belum pun jadi harta pusaka lagi tapi mereka dah berkira-kira bahagian mereka. Hubungan saya dengan adik-beradik pun taklah rapat sangat sebenarnya. Sebab tu saya tak lantik mereka jadi saksi saya pun Puan. Tak sangka apa yang saya baca selama ni tentang perebutan harta terjadi kat keluarga saya sendiri. Bezanya saya masih hidup. Saya tak dapat bayangkan apa nasib isteri dan anak perempuan saya kalau saya tak buat apa-apa..”

Oo patutlah beliau nekad betul nak buat hibah. Betul lah..selagi tak kena batang hidung sendiri memang kita tak akan sedar. Agak-agak kalau si suami ni buat wasiat nak bagi semua harta dia kepada isteri dan anak perempuan dia sahaja..apa akan jadi pada wasiat dia? Cuba bayangkan.. selepas kematian dia dengan struktur faraid yang sama..

Agak-agak adik-beradik lelaki dan ibu dia cabar tak wasiat tu? Sebab mereka pun waris-waris si suami dan berhak dapat bahagian faraid. Kalau mereka tak setuju dengan wasiat tu, mereka boleh cabar wasiat tu di mahkamah syariah. Hanya mahkamah syariah sahaja yang ada bidangkuasa untuk tentukan samada wasiat tersebut boleh dilaksanakan atau tidak bukannya agensi yang menyediakan wasiat tu. Antara perkara penting yang mahkamah akan ambil kira :

1) Adakah wasiat itu mengikut hukum syarak? Tidak. Kerana wasiat itu dibuat kepada waris iaitu isteri dan anak perempuan. Sedangkan wasiat sepatutnya dibuat kepada BUKAN waris. Tambahan lagi dibuat ke atas semua harta bukan 1/3 sahaja.

2) Jika wasiat dibuat kepada waris, adakah waris-waris yang lain setuju? Jika waris-waris yang lain setuju tak ada masalah maka wasiat tersebut boleh dilaksanakan. Tapi dalam kes ini, jika ada waris yang mencabar maka wasiat itu akan terbatal dan tak berkuatkuasa.

Maka akhirnya harta-harta si suami tadi akan dibahagikan secara faraid. Dan bahagian isteri hanya 1/8. Apa akan jadi pada nasib isteri dan anak perempuan tadi jika masing-masing akan menuntut bahagian ke atas rumah tu? Adakah itu hasrat si suami tadi semasa menulis wasiat? TIDAK! Perkara tu takkan terjadi Puan..sebab saya masih hidup dan saya nak buat hibah sekarang! Fuhh tersedar dari lena dan igauan mimpi ngeri rupanya..

Adakah hibah tak adil dan melarikan hak waris-waris yg lain? Perlu difahami hibah dibuat semasa hidup. Dan harta tersebut bukan lagi harta pusaka. Kita berhak nak bertasarruf dgn harta kita sendiri. Nak bagi kat orang atau nak jual itu hak kita. Kecuali kalau kita dah mati, harta itu bukan harta kita lagi. Ia akan jadi harta pusaka. Barulah perlu ditadbir mengikut prosedur harta pusaka.

Nota 1 : Suami tu cuma hibahkan rumah2 dan kebun sawit kat isteri dan anak perempuan dia je. Sebab nak pastikan isteri dan anak dia ada tempat tinggal dan pendapatan lepas dia mati nanti. Harta2 dia yg lain macam ASB, saham2, wang tunai dll tu semua dia tak hibahkan pun. Tetap akan diagihkan secara faraid kpd waris2 yg lain.

Nota 2 : Yang saya faham hibah tu hadiah. Habis tu kalau dah hadiahkan semua harta2 kita kat orang, kita dah tak ada apa2 harta lagi la kan? Kalau isteri dan anak tinggalkan saya macamana? Haa sebab tu nak buat hibah pun kena ada ilmu bukan pakai buat je. Hibah kan ada banyak jenis. Hibah mutlak dan hibah bersyarat. Keperluan setiap orang tak sama.

Hibah tu tak zalim. Yang zalim itu adalah orang yang tak nak cari ilmu yang betul tentang hibah dan wasiat. Hibah bukan melarikan pusaka tetapi merancang harta.

Kredit: Roslina Sabiyah & Co

Hadiahkanlah kepada orang yang kita cinta dan sayang semasa kita masih hidup!

Ikuti sambungannya di Yang Mana Satu: Hibah Atau Wasiat? (Bahagian 2)

Previous ArticleNext Article

1 Comment

  1. As salam.
    1. Bolehkah saya dan isteri bersetuju membuat wasiat atas semua harta kami kpd waris saya seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan saja juga atas persetujuan keduanya

KWSP Suami Meninggal: Isteri Boleh Tuntut Sebagai Harta Sepencarian

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.