Kenapa Amazon Gagal Dalam Pembangunan Telefon Pintar?

Amazon merupakan syarikat paling berjaya di dalam dunia e-commerce apabila menjadi syarikat terbesar daripada segi market capitalization dalam industri ini. Dengan fokus terhadap kegembiraan pelanggan, Amazon di lihat berjaya menewaskan pesaing mereka dalam pelbagai bidang yang diceburi mereka.

Banyak syarikat terkesan dengan kehadiran Amazon dalam apa-apa bidang yang diceburi mereka. Di antara cabang perniagaan Amazon yang terkenal selain daripada e-commerce adalah Amazon Web Services (AWS) untuk penyimpanan awan dan juga Amazon Prime Video untuk hiburan.

Kedua-dua perniagaan ini berjaya memberi saingan yang sengit kepada pesaing lain. Penyertaan Amazon akan menyebabkan syarikat kecil gulung tikar kerana tidak mampu untuk melawan dominasi Amazon di dalam pasaran.

Baca: Bagaimana Amazon Menghancurkan Pesaingnya Dan Memonopoli Pasaran?

Walaupun Amazon berjaya dalam pelbagai jenis perniagaan yang diceburinya, mereka tidak terlepas daripada menghadapi kegagalan. Kegagalan yang paling besar adalah melibatkan perniagaan telefon pintar yang dikenali sebagai Fire Phones.

Mengapa Amazon Membangunkan Telefon Pintar Mereka Sendiri?

This image has an empty alt attribute; its file name is Kenapa-Amazon-Gagal-Dalam-Pembangunan-Telefon-Pintar1-700x367.jpg
Kredit Gambar: Office Chai

Amazon membangunkan telefon pintar mereka sendiri disebabkan Jeff Bezos yang melihat kejayaan Kindle yang merupakan sebuah e-book reader.

Kejayaan yang diperolehi oleh Kindle sangat memmbanggakan dan menyebabkab Jeff Bezos yakin bahawa sekiranya Amazon memasuki pasaran telefon pintar, kejayaan yang sama bakal diperolehi oleh mereka.

Selain itu juga, Amazon ingin mengabungkan semua aplikasi yang dibangunkan di dalam Fire Phones supaya pelanggan mereka dapat berinteraksi dengan syarikat itu dengan lebih dekat lagi.

Kenapa Telefon Pintar Amazon Gagal?

Apa yang diharapkan oleh Amazon tentang kejayaan Fire Phones mereka adalah tidak seperti yang diharapkan. Ketika pelancaran telefon pintar ini pada tahun 2014, sambutan yang diterima tidak begitu memberangsangkan.

Dalam tempoh 25 hari, Fire Phones hanya berjaya dijual sebanyak 35,000 unit sahaja. Ia merupakan satu kegagalan yang sangat besar bagi syarikat gergasi seperti Amazon.

Terdapat beberapa faktor utama yang penting menyebabkan Fire Phones ini gagal di dalam pasaran. Di antaranya adalah harga yang ditawarkan adalah sangat mahal dan masih dianggap baru pada ketika itu.

Sebagai contoh, telefon pintar Apple dijual pada harga USD750 dan Samsung dijual pada harga USD650 tetapi Amazon Fire Phones dijual pada harga USD600 sedangkan telefon ini masih lagi tidak mempunyai nama sekukuh Apple dan Samsung dalam pasaran telefon pintar.

Faktor lain kenapa Fire Phones ini gagal adalah disebaban telefon ini tidak mempunyai aplikasi yang banyak seperti Apple App Store dan Google Play Store. Walaupun ianya menggunakan perisian Android tetapi versinya adalah tidak sama.

Selain itu juga, pasaran telefon pintar dunia telah dibanjiri dengan telefon pintar dari China. Faktor lewat tiba di dalam pasaran ini menyebabkan telefon ini dipandang sepi oleh oleh orang ramai.

Microsoft yang memasuki segmen telefon pintar pada tahun 2011 pun telah dianggap sebagai terlalu lewat, apatah lagi dengan Amazon yang memasukinya pada tahun 2014.

Baca: Microsoft Kecundang Dalam Perlumbaan Peranti Pintar Disebabkan Gagal Membaca Trend Semasa

Pengajaran Yang Diperolehi Daripada Kegagalan Tersebut

Kegagalan projek telefon pintar ini merupakan salah satu kegagalan terbesar oleh Amazon (bukan daripada sudut kewangan tetapi daripada sudut produk). Amazon kerugian sebanyak USD170 juta namun ianya adalah kecil jika dibandingkan dengan nilai syarikat tersebut.

Jeff Bezos mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut dengan mengatakan kegagalan adalah satu perkara yang normal dalam menuju kejayaan. Menurut beliau, beberapa kali gagal tidak mengapa jika satu sahaja kejayaan dapat mengatasi beberapa kegagalan yang lain.

Sumber Rujukan: Slide Bean

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.