Kerjaya Dan Bisnes Air Liur

Jika air liur begitu senang dijual, kenapa tidak semua orang boleh buat? Jawapannya jelas, bukan semua orang mampu buat.

Speaker seminar
Penceramah motivasi
Perunding kewangan
Pakar psikiatri
Host atau pengacara TV
Host radio
Tutor

Ini antara perniagaan yang bermodalkan ilmu dan air liur. (dibaca 2 kali)

Kebanyakan orang kita skeptikal atau pantang bila tengok bangsa dia berjaya menjual air liur. Contohnya dulu sebelum zaman Facebook, ramai mengata bila tengok Irfan Khairi bertambah kaya sebab buat seminar, bukan sebab bisnes internet.

Bila ada ilmu dan benda boleh datangkan duit, manfaatkan sahaja sebaik mungkin.

Aku baca buku – aku fahamkan – aku ajar kau.
Aku tengok YouTube – aku fahamkan – aku ajar kau.
Aku ada pengalaman – aku ajar kau.

Fikir dulu sebelum nak petik “Ilmu itu milik Allah..”

Cikgu dengan Pensyarah pun bukan mengajar free.

“Eleh, Tony Fernandez, Vincent Tan, Syed Mokhtar yang dah bilionair tu pun tak sibuk buat seminar nak ajar orang”

Kalaulah ditakdirkan nanti mereka ni buat seminar siap upsell, rasa-rasa kau sanggup bayar tak yuran dia? Itu belum tahu lagi mereka ni berbakat atau tidak untuk mengajar.

Kalau nak ikut sifir perlu berjaya dulu baru boleh mengajar dan berkongsi pengalaman, pasti syarat wajib nak mengajar subjek perniagaan di Universiti wajib jadi jutawan dulu.

“Ala, benda boleh dapat dalam internet/youtube kot”

Teruskan belajar di sana, tak perlu gaduh-gaduh. Tak perlu pula nak hasut orang lain. Tak semua orang boleh belajar tanpa guru untuk membetulkan kesilapan.

Kerjaya sebagai seorang speaker atau penceramah untuk seminar menjadi pilihan ramai kerana ianya mendapat permintaan yang tinggi di pasaran, sebab tak ramai boleh buat dengan jayanya.

Dengan kewujudan media sosial yang semakin hari semakin efisien untuk membuat pemasaran, kita dapat lihat semakin ramai yang mendakwa mereka sebagai sifu dalam pelbagai bidang.

Di antara seminar yang mendapat tempat di hati rakyat Malaysia adalah seminar tentang perniagaan, saham dan bermacam-macam lagi. Ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang melanda, ramai rakyat Malaysia sudah mula merubah perniagaan dan pembelajaran secara online sebab lebih mudah.

Oleh yang demikian, ramai speaker dan penceramah mula rebut peluang membuka seminar secara online kerana permintaan yang semakin tinggi.

Dan isu yang bermain di fikiran masyarakat sekarang adalah, adakah seorang itu berbaloi untuk menjual pakej seminar yang kadangkala mencecah sehingga 6 angka?

Dengan bahasa lain, hanya sekadar menjual air liur sahaja dah boleh kenakan caj setinggi itu?

Tengok Background Tenaga Pengajar

Sebelum kita nak menilai sesuatu, tengok dulu latarbelakang tenaga pengajar atau speaker tersebut. Betul ke dia dah berjaya? Dah lama ke dia dalam industri?

Tengok juga anak-anak muridnya, dah berjaya ke belum? Dah ramai ke yang mendapat manfaatnya?

Kalau dalam industri kewangan dan pelaburan pula, pastikan mereka ini berlesen. Samada dari Bank Negara Malaysia atau dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Baca: Awas Kelas Atau Seminar Saham Yang Tidak Bertauliah dan Sifu Saham Tak Berlesen Boleh Dipenjara Sehingga 10 Tahun Dan Didenda Tak Melebihi RM10 Juta.

Pilihan Di Tangan Kita

Selagi ada demand, selagi itu akan ada supply.

Selagi orang ramai sanggup bayar tinggi untuk mendapatkan ilmu tersebut, selagi itu akan ada seminar yang mempunyai harga sedemikian. Melainkan suatu masa nanti semua orang dah pandai, maka bungkuslah model perniagaan air liur ni.

Macam saham. Semakin ramai minat beli, makin tinggilah harga dia.

Ada yang caj beribu ringgit, tetapi berbaloi dengan apa ilmu yang disampaikan sebab balik modal.

Ada yang caj beratus ringgit, tapi hanya sekadar benda basic sahaja.
(Walaupun yang kau claim basic tu kau tak pernah nak berusaha belajar cari).

“Price is what you pay, value is what you get”

Warren Buffett

Jika kita merasakan seminar tersebut mahal, carilah seminar lain yang murah, tak susah pun. Tak perlu gaduh-gaduh. Cuma kau susah nak jumpa sebab mereka tak beriya-iya pun iklankan seminar. Bila dah low cost, boleh caj murah.

Dengan banyak pilihan yang ada dan dengan ramai sifu yang ada, semuanya terletak kepada kita untuk menilai.

Caj RM40,000 Untuk Ceramah Agama?

Selain daripada seminar perniagaan dan saham, terdapat juga isu sensitif iaitu mengenai ceramah yang melibatkan agama.

Kami tertarik dengan artikel Harian Metro yang bertajuk Caj RM40,000 untuk berceramah.

Ada yang berpandangan ustaz atau ustazah ini mata duitan dan menunggang agama kerana meminta bayaran yang tinggi. Semakin popular seseorang ustaz atau ustazah tersebut, maka semakin tinggilah bayaran yang dikenakan. Ada yang caj RM3,000 untuk bagi ceramah sama sejam.

Bukan semua, tapi segelintir saja.

Kalau seminar perniagaan atau saham, biasanya peserta yang kena bayar yuran tersebut. Tetapi kalau ceramah agama, biasanya masjid yang kena bayar menggunakan wang tabung masjid, hasil kutipan para jemaah.

Tindakan Kita Yang Menentukan

Ada yang dah habis berpuluh ribu ringgit, tetapi masih berada di tahap yang sama. Tetapi ada yang hanya pergi seminar atau kelas percuma, atau sekadar belajar di YouTube saja – tetapi dengan tindakan yang dilakukan, tak mustahil untuk mengorak langkah menuju kejayaan.

Sebaiknya kita carilah beberapa orang guru untuk membantu, bukan seorang saja. Barulah kita akan dapat beberapa pandangan yang berbeza, dan amalkan ilmu yang paling sesuai dengan diri kita.

Tapi kalau asyik pergi bermacam-macam kelas dan bermacam-macam ilmu dah ada, satu tindakan pun belum dibuat – sampai bila-bila pun kau akan di takuk lama.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11

Terima kasih kepada semua guru, cikgu dan pensyarah yang pernah mendidik.

Terima kasih juga kepada mentor-mentor bisnes, saham dan kehidupan. Kerana air liur anda, kini saya berada di mana saya berada sekarang.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rangka Kerja RIA Isyarat Amaran Kepada Sistem Persaraan Malaysia

Cabaran persaraan di Malaysia kini semakin sukar untuk diabaikan. Dengan jangka hayat yang semakin panjang dan kos sara hidup yang terus meningkat, cara rakyat Malaysia menyimpan dan mengeluarkan simpanan persaraan sudah tidak lagi selari dengan realiti ekonomi semasa. Satu daripada empat rakyat Malaysia menghabiskan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran. Apabila ini berlaku, pesara terdedah kepada risiko kewangan pada usia lanjut dan sering terpaksa bergantung kepada sokongan keluarga atau bantuan awam yang terhad.

Menyedari jurang yang semakin melebar ini, KWSP mula menilai semula cara kecukupan persaraan ditakrifkan dan dikomunikasikan. Salah satu langkah penting ialah pengenalan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy, RIA), yang menggalakkan rakyat Malaysia melihat KWSP bukan sebagai simpanan sekali keluar untuk dibelanjakan ketika bersara, tetapi sebagai sumber pendapatan bulanan yang perlu bertahan sepanjang usia persaraan. Ringkasnya, simpanan persaraan sepatutnya dikeluarkan secara berperingkat, sekitar 20 tahun dari umur 60 hingga kira-kira 80 tahun, sejajar dengan jangka hayat purata dan risiko kehabisan simpanan.

Bagi menjadikan konsep ini lebih mudah difahami, KWSP memperkenalkan tiga penanda aras simpanan. Simpanan Asas sebanyak RM390,000 bertujuan menampung keperluan hidup minimum. Simpanan Mencukupi pada RM650,000 mencerminkan tahap kehidupan yang lebih selesa dan mampan. Simpanan Dipertingkat sebanyak RM1.3 juta pula menyokong persaraan berkualiti tinggi dengan keselamatan kewangan dan fleksibiliti yang lebih besar. Penanda aras ini bukan jaminan, tetapi rujukan praktikal untuk membantu ahli memahami secara realistik apa yang mampu disokong oleh simpanan mereka.

Bagaimana Pengeluaran Berasaskan Pendapatan Berfungsi

Berdasarkan ilustrasi KWSP, seorang pesara yang mempunyai simpanan RM390,000 pada umur 60 tahun boleh mengeluarkan sekitar RM1,625 sebulan pada tahun pertama. Dengan pengeluaran yang berdisiplin serta pulangan dividen yang berterusan, jumlah ini boleh meningkat kepada kira-kira RM4,434 sebulan pada usia 80 tahun. Mereka yang bersara dengan RM650,000 boleh bermula dengan pendapatan bulanan sekitar RM2,708, yang berpotensi meningkat melebihi RM7,389 di usia lanjut. Pada tahap Simpanan Dipertingkat RM1.3 juta pula, pengeluaran bulanan boleh bermula sekitar RM5,417 dan meningkat kepada kira-kira RM14,779 menjelang umur 80 tahun.

Walaupun angka ini bersifat ilustrasi dan bukan jaminan, ia menunjukkan bagaimana pengeluaran berasaskan pendapatan boleh membantu simpanan persaraan bertahan jauh lebih lama berbanding pengeluaran sekali gus.

Bagi mengukuhkan kecukupan jangka panjang, KWSP turut menyemak semula dasar untuk ahli yang mempunyai baki simpanan tinggi. Sebelum ini, simpanan melebihi RM1 juta boleh diakses dengan lebih bebas. Di bawah pendekatan baharu, ambang pengeluaran ini akan dinaikkan secara berperingkat dan diselaraskan dengan tahap Simpanan Dipertingkat RM1.3 juta menjelang 2028. Ini bermakna RM1.3 juta pertama akan dipelihara untuk menyokong pendapatan persaraan jangka panjang, manakala lebihan selepas itu dianggap sebagai simpanan tambahan yang boleh diakses dengan lebih fleksibel.

KWSP juga telah memperkukuh Skim Pelaburan Ahli (SPA). Ahli yang mempunyai simpanan melebihi tahap Simpanan Asas mengikut umur boleh melaburkan sehingga 30% daripada lebihan tersebut dengan pengurus dana yang diluluskan KWSP. Langkah ini memberi peluang kepelbagaian dan potensi pulangan yang lebih baik kepada pencarum berdisiplin, sambil mengekalkan tahap minimum simpanan persaraan dalam KWSP.

Pengajaran dan Batasan daripada Singapura

Di Singapura, Tabung Simpanan Pekerja Pusat (CPF) secara automatik menukar sebahagian simpanan persaraan kepada bayaran bulanan tetap, sekali gus mengurangkan risiko pesara kehabisan simpanan. Walaupun pendekatan ini wajar dikaji, ia tidak boleh diterapkan secara menyeluruh di Malaysia. Ramai rakyat Malaysia bersara dengan baki simpanan yang lebih rendah dan masih memerlukan fleksibiliti untuk menampung kos perubatan, komitmen hutang atau tanggungjawab keluarga.

Pendekatan yang lebih realistik ialah menjadikan bayaran bulanan sebagai pilihan lalai, sambil masih membenarkan pengeluaran sekali gus yang terhad, terutamanya bagi mereka yang mempunyai baki simpanan kecil. Pilihan lalai sangat berpengaruh. Bukti tingkah laku menunjukkan apa yang ditetapkan secara automatik sering menjadi pilihan utama.

Menilai Semula Umur Pengeluaran dan Golongan Tertinggal

Isu umur pengeluaran KWSP juga semakin relevan. Ramai rakyat Malaysia kini bekerja sehingga umur 60 tahun atau lebih, namun pengeluaran awal menggalakkan perbelanjaan simpanan persaraan ketika mereka masih mempunyai pendapatan. Menaikkan umur pengeluaran secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 60 tahun boleh membantu simpanan terus dilaburkan lebih lama dan meningkatkan hasil persaraan.

Namun, sebarang perubahan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati. Pekerja dalam sektor yang memerlukan tenaga fizikal atau mereka yang menghadapi masalah kesihatan masih memerlukan fleksibiliti. Oleh itu, pelaksanaan berfasa, pengecualian yang jelas dan komunikasi telus amat penting bagi mendapatkan penerimaan awam.

Kecukupan persaraan juga lebih mencabar bagi pekerja gig dan suri rumah. Skim seperti i-Saraan Plus dan i-Suri telah memperluas perlindungan KWSP, namun penyertaan masih bersifat sukarela. Caruman mandatori mungkin kelihatan menarik, tetapi ketidaktentuan pendapatan menyukarkan penguatkuasaan tanpa menjejaskan keperluan asas seperti makanan dan sewa. Buat masa ini, caruman fleksibel yang disokong insentif dan padanan adalah lebih praktikal berbanding paksaan.

Sebahagian besar pembaharuan ini memerlukan pindaan kepada Akta KWSP, menjadikan pendekatan berhati-hati dari sudut politik tidak dapat dielakkan. Simpanan persaraan adalah isu peribadi yang sensitif, dan sebarang dasar yang dilihat menyekat akses boleh menerima tentangan. Namun, penangguhan pembaharuan juga membawa risiko jangka panjang. Tanpa perubahan bermakna, lebih ramai rakyat Malaysia akan memasuki usia tua dengan pendapatan tidak mencukupi dan sokongan yang terhad.

Malaysia tidak memerlukan reformasi radikal secara serta-merta. Apa yang diperlukan ialah perubahan minda. KWSP tidak lagi wajar dilihat sebagai “durian runtuh” persaraan, tetapi sebagai sumber pendapatan sepanjang hayat. Rangka Kerja RIA adalah langkah awal yang penting. Sama ada Malaysia bersedia melangkah lebih jauh akan menentukan sama ada generasi pesara akan menua dengan maruah atau dengan kebimbangan kewangan.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Dr Paul Anthony Maria Das, Pensyarah Kanan Perakaunan & Kewangan, Fakulti Perniagaan & Undang-Undang, Universiti Taylor’s.