KWSP Dijangka Umum Inisiatif Akaun 3 Pada April Ini – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan inisiatif  ‘Akaun Fleksibel’ atau Akaun 3 pada April ini yang merangkumi mekanisme serta kelonggaran pengeluaran kepada pencarum, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, mekanisme mengenai Akaun 3 itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen pada Ahad ini.

“Mereka (KWSP) juga akan menyatakan dan menerangkan cara-cara pengeluaran, mekanisme yang ada di mana pemecahan akaun tiga akan diterangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai status terkini Akaun 3 khususnya dari segi kaedah pengeluaran pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan tidak melihat kepada sebarang pengeluaran secara bersasar kerana ia akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan.

“Kerajaan tidak melihat kepada pengeluaran bersasar kerana akan ada juga kelonggaran dalam Akaun 3 itu,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Notifikasi PCB Diperkenal Melalui e-Mel – LHDN

PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) — Penghantaran notifikasi Potongan Cukai Bulanan (PCB) kepada pembayar cukai individu melalui e-mel telah mula dilaksanakan mulai 17 Sept lepas, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan penghantaran notifikasi itu melibatkan PCB bagi bulan Ogos dan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan oleh pembayar cukai menerusi portal MyTax.

 “Pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan LHDN dan memberi keyakinan kepada pembayar cukai bahawa potongan cukai oleh majikan telah diremitkan dan dikreditkan ke dalam lejar cukai masing-masing.

“Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha LHDN untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan secara digital dan menggalakkan penggunaan portal MyTax sebagai saluran rasmi komunikasi antara LHDN dan pembayar cukai,” katanya.

Sehubungan dengan itu, LHDN menasihatkan semua pembayar cukai agar memastikan alamat e-mel mereka adalah sah dan sentiasa dikemas kini di portal MyTax bagi membolehkan notifikasi diterima secara konsisten setiap bulan.

Selain itu, semakan bayaran PCB boleh dilakukan melalui pautan PCB, manakala maklumat terperinci berkaitan kedudukan akaun cukai boleh diakses melalui pautan “Lejar” yang disediakan di portal MyTax.
— BERNAMA