Panduan Dan Langkah Untuk Mencapai Matlamat Kewangan Pada Tahun 2024

Seiring kita melangkah ke tahun baru 2024, impian dan azam baru serta cita-cita untuk mencapai matlamat kewangan dan merancang pelan tindakan menjadi keutamaan bagi ramai individu. Ada yang berazam untuk menyimpan bagi merancang perbelanjaan perkahwinan dan ada juga yang menanam hasrat untuk membeli kereta dan memiliki rumah sendiri. Bagi yang komited dan cekal untuk melunaskan hutang sedia ada, permulaan tahun baru merupakan waktu paling sesuai untuk menyusun semula situasi kewangan mereka supaya apa yang dirancang dapat direalisasikan.

Meskipun berbagai azam baru yang dibariskan di dalam pelan tahun baru, pendekatan strategik harus diutamakan bagi memastikan setiap yang diimpikan menjadi kenyataan. Mempunyai matlamat kewangan akan membantu anda mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan mengagihkan sumber pendapatan secara berkesan. Matlamat kewangan yang ditetapkan dengan baik berfungsi sebagai peta jalan yang boleh membantu anda membuat keputusan dan tindakan kewangan yang bijak.

Berikut adalah antara tip yang boleh diambil kira bagi mencapai matlamat kewangan anda pada tahun 2024:

1. Matlamat Kewangan yang Jelas dan Realistik

Tidak salah seandainya anda memulakan perjalanan tahun baru anda dengan mengumpul impian dan angan-angan. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menterjemahkan impian dan angan-angan ini menjadi sebuah realiti? Pastikan matlamat yang ingin dicapai mempunyai objektif dan tujuan yang spesifik, sesuatu yang boleh diukur dan dicapai (realistik) serta relevan dengan kehidupan anda. Apa yang paling utama, pastikan matlamat kewangan anda dirancang dan diukur dengan tempoh dan masa yang ditetapkan supaya impian kewangan dapat dicapai dengan jayanya dan tepat pada waktunya.

Sebagai contoh, sekiranya anda menetapkan untuk mengumpul dana sebanyak RM6,000 untuk dijadikan wang pendahuluan bagi membeli sebuah kereta yang diidamkan dalam tempoh 2 tahun dari sekarang, oleh itu, anda perlu menyimpan sebanyak RM250 sebulan untuk selama 24 bulan bagi mencapai matlamat simpanan tersebut.

2. Bajet Terperinci dan Pantau Perbelanjaan

Sediakan bajet yang komprehensif dengan memaparkan pendapatan, perbelanjaan, dan sasaran simpanan mengikut kemampuan anda. Bajet ini akan berfungsi sebagai panduan untuk membantu anda mengagihkan sumber pendapatan secara efektif bagi mencapai matlamat anda. Antara formula bajet yang efektif dan boleh diamalkan oleh individu mengikut situasi kewangan masing-masing adalah dengan membahagikan pendapatan kepada beberapa komponen seperti sekurang-kurangnya 10% pendapatan perlu diperuntukkan untuk simpanan, manakala 70% adalah untuk perbelanjaan keperluan kehidupan harian seperti perumahan, pengangkutan, utiliti, insurans/takaful dan internet. Baki 20% boleh digunakan untuk perbelanjaan berubah lain serta budi bicara seperti makan di luar, membeli-belah dan sebagainya.
Bajet yang lebih terperinci dan dirancang lebih awal dapat membantu anda berbelanja secara berhemat dan mengelakkan pembaziran kerana had bagi setiap kategori perbelanjaan telah ditetapkan sebelum berbelanja dan di samping itu juga, ia dapat membantu anda berbelanja mengikut kemampuan kewangan dan poket sendiri.
Seterusnya, pantau kedudukan aliran tunai anda dari semasa ke semasa dengan cara merekod setiap pendapatan yang diperolehi bersama jumlah yang dibelanjakan. Rekod aliran tunai ini dapat memberikan satu gambaran yang jelas akan wang yang dibelanjakan, malahan ia dapat membantu anda memahami corak perbelanjaan dan seterusnya membantu anda mengenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan.

3. Dana Kecemasan Menjadi Keutamaan

Dana kecemasan ialah wang yang diperuntukkan untuk perkara yang tidak dijangka seperti kenderaan rosak yang perlu dibaiki, bencana alam, rawatan penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi atau kehilangan punca pendapatan. Sekiranya anda masih belum mempunyai dana kecemasan, pastikan ia menjadi satu keutamaan untuk tahun 2024. Sasarkan untuk miliki 3-6 bulan kos sara hidup sebagai dana kecemasan.

Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan keperluan bulanan keluarga anda adalah RM4,000 sebulan, jumlah minimum dana kecemasan yang perlu ada adalah sebanyak RM12,000. Memiliki dana kecemasan yang mencukupi merupakan jaringan keselamatan kewangan yang akan membantu anda menangani perbelanjaan yang tidak dijangka sewaktu berlakunya krisis dan sekali gus membantu anda terus fokus kepada usaha mencapai matlamat kewangan.

4. Menyelesaikan Hutang Sedia Ada

Tumpukan usaha anda untuk melunaskan hutang sedia ada sebelum membuat pinjaman baharu. Elakkan pembayaran mengikut pemilihan (alternate) iaitu pembayaran bulanan secara berselang seli atau hanya menyelesaikan sebahagian hutang mengikut pilihan, kerana amalan ini boleh menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari. Jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada kualiti hidup termasuklah daya tahan kewangan dan peminjam juga tiada ketenangan minda bagi meneruskan kehidupan seharian.
Selain itu, anda juga boleh merancang untuk melunaskan hutang yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi dalam jangka masa yang lebih pendek. Dengan mengurangkan hutang sebegini, anda akan mempunyai lebih banyak sumber kewangan untuk diagihkan ke arah matlamat dan pelaburan anda. Sekiranya anda mempunyai komitmen hutang yang tidak terurus, dapatkan bantuan segera dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit yang boleh membantu anda meringankan bebanan bayaran hutang dengan penstrukturan dan penjadualan semua pinjaman. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma.

5. Melabur Dengan Bijak

Menyimpan wang lebihan dalam bentuk akaun simpanan atau tabungan bukanlah sesuatu yang ideal kerana kadar faedah rendah yang mungkin tidak dapat mengatasi inflasi, seterusnya menyukarkan pontensi wang untuk terus berkembang. Sebaiknya, wang lebihan perlu dilaburkan. Melabur merupakan peluang untuk individu dan perniagaan menjana wang tambahan daripada modal yang telah diperuntukkan. Walau bagaimanapun, harus diingat setiap pelaburan mempunyai risiko iaitu tahap ketidakpastian atau potensi kerugian kewangan. Tahap risiko yang berani diambil oleh anda akan mempengaruhi keuntungan dan kerugian pelaburan anda. Tidak kira anda pelabur pasif atau aktif, pengetahuan tentang pelaburan berserta ketersediaan menghadapi sebarang risiko adalah kunci utama sebelum membuat keputusan untuk menanam modal dalam sesuatu kelas aset.

Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan tentang pendidikan kewangan peribadi dan strategi pelaburan. Pembelajaran berterusan membolehkan anda membuat keputusan yang berinformasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan hidup dan landskap ekonomi pada masa hadapan terutamanya waktu kecemasan.

Baca: Sibuk Kerja Sempat Ke Melabur Saham? Ini 3 Sebab Untuk Anda Cuba Strategi Swing Trading Dalam Pelaburan Saham

6. Manfaatkan Teknologi

Penguasaan aplikasi dan alat kewangan berteknologi Fintech pada masa kini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kerana kebanyakan syarikat dan organisasi telah pun mengadaptasi penggunaanya. Kemudahan teknologi dapat membantu menguruskan pengurusan kewangan secara lebih efisien, teratur, dan memastikan anda kekal di landasan yang betul. Dapatkan Bantuan dan Nasihat daripada

7. Penasihat Profesional

Pertimbangkan untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada agensi dan institusi yang sah seperti AKPK untuk mendapatkan panduan yang betul bagi membantu anda menambah baik kesejahteraan kewangan, mempelajari cara menangani kredit serta perihal kewangan lain dengan lebih holistik agar dapat mencapai matlamat kewangan tahun baru seperti yang dirancang.


Terima kasih

Previous ArticleNext Article

Pelancaran Awal International Sustainability Week 2026 Menandakan Peralihan Daripada Aspirasi Kemampanan Kepada Pelaksanaan Sebenar

KUALA LUMPUR, 14 April 2026 – Ketika pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan akibat faktor geopolitik, bandar dan persekitaran binaan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik bekalan. Kini, bangunan tidak lagi dilihat sebagai aset pasif, sebaliknya menjadi infrastruktur aktif yang penting dalam mengurangkan permintaan tenaga, meningkatkan daya tahan serta mempercepatkan peralihan ke arah pembangunan rendah karbon.

Dalam konteks ini, pelancaran awal International Sustainability Week (ISW) 2026 yang dirasmikan hari ini oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, menandakan perubahan pendekatan terhadap kemampanan — daripada sekadar aspirasi kepada pelaksanaan praktikal bangunan mampan dan bandar masa depan.

ISW 2026 dianjurkan bersama oleh GreenRE Sdn Bhd, organisasi penarafan dan pensijilan hijau yang ditubuhkan oleh REHDA, bersama penganjur utama Qube Integrated Malaysia. Platform serantau ini direka sebagai ekosistem berasaskan piawaian yang menghubungkan dasar, pensijilan dan penyelesaian industri dalam satu kerangka yang terselaras, dengan penekanan kepada pelaksanaan, prestasi yang boleh diukur dan hasil sebenar dalam persekitaran binaan.

Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menegaskan bahawa peranan bangunan perlu berkembang selari dengan cabaran semasa.

“Amalan mampan dan pembangunan bandar bersepadu akan menjadi asas kepada daya tahan dan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. ISW 2026 menyediakan platform berstruktur untuk menggerakkan pihak berkepentingan daripada perbincangan kepada pelaksanaan, sekali gus memastikan impak sebenar kemampanan dapat dicapai secara meluas,” katanya.

Antara sorotan utama pelancaran ialah pengumuman pencapaian penting industri apabila GreenRE telah melepasi 500 juta kaki persegi keluasan lantai kasar (GFA) yang diperakui, mencerminkan pertumbuhan pesat piawaian bangunan hijau yang disahkan dalam sektor hartanah Malaysia.

Pengerusi GreenRE, Datuk Seri FD Iskandar berkata pencapaian ini mencerminkan kesiapsiagaan industri dalam melaksanakan kemampanan secara berskala besar.

“Pensijilan adalah jambatan antara dakwaan hijau dan realiti hijau. Pencapaian 500 juta kaki persegi ini menunjukkan bagaimana piawaian yang disahkan kini membentuk persekitaran binaan — memenuhi jangkaan pelabur, penyewa dan pengawal selia dalam pasaran yang semakin berasaskan prestasi.

Lebih penting, ia menandakan perubahan dalam industri — daripada komitmen kepada pelaksanaan — di mana kemampanan bukan lagi sekadar aspirasi, tetapi telah menjadi sebahagian daripada cara kita mereka bentuk, membina dan mengendalikan bangunan. Dalam keadaan tekanan tenaga dan iklim yang semakin meningkat, peranan kerangka yang kredibel dan boleh diukur seperti GreenRE menjadi semakin penting bagi memastikan kemampanan memberi nilai sebenar, bukan sekadar niat.”

Diadakan sempena World Green Building Week, ISW 2026 meletakkan Malaysia seiring dengan momentum global dalam mempercepatkan pembangunan bangunan mampan dan bandar masa depan. Acara ini akan berlangsung pada 10 hingga 11 September 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

ISW 2026 merupakan evolusi strategik kepada International Green Build Conference (IGBC) yang kini memasuki edisi ke-6. Dengan membina peranan IGBC sebagai platform utama dialog dasar dan kepimpinan industri, ISW memperluaskan skop melalui integrasi GreenScape: International Green Innovation Exhibition, yang menghimpunkan dasar, piawaian dan pelaksanaan dalam satu platform.

Dengan tema “From Certification to Transformation: Building a Net Zero Future Together,” IGBC memacu agenda dasar dan kepimpinan pemikiran, manakala GreenScape menampilkan teknologi sedia pelaksanaan serta model pembiayaan hijau yang menjadikan kemampanan lebih “bankable”.

ISW 2026 dijangka menampilkan lebih 20 penceramah serantau dan antarabangsa, 100 pempamer inovasi serta 1,000 delegasi persidangan, dengan anggaran kehadiran seramai 5,000 pengunjung dari Malaysia dan rantau ini.

Antara penceramah yang disahkan termasuk Nadia Verjee, Pengarah Eksekutif Expo City Dubai; Larry Ng, bekas Pengarah Kumpulan di Urban Redevelopment Authority Singapura; dan Joan Ko, Ketua Global Iklim dan Kelestarian Arup Australia.

Para pakar ini akan membincangkan tema penting seperti bandar sifar bersih, pembangunan bandar responsif iklim, tadbir urus dan piawaian, serta peranan data dan infrastruktur dalam mencapai hasil kemampanan yang boleh diukur.

Pelancaran awal ini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai rakan sokongan, bagi menyelaraskan platform kemampanan utama Malaysia — ISW 2026 dan International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM).

Kerjasama ini bertujuan memperluas penyertaan dalam ekosistem kemampanan dengan mengukuhkan hubungan antara pembuat dasar, pemain industri dan penyedia penyelesaian, serta membolehkan usaha jangkauan dan penglibatan yang lebih terselaras.

Turut memperkukuh sokongan industri, REHDA Wilayah Persekutuan menyertai sebagai rakan strategik, manakala Construction Industry Development Board (CIDB) Malaysia sebagai rakan sokongan. Rakan lain termasuk hotel rasmi Hyatt Regency Kuala Lumpur at KL Midtown, Imperial Lexis Kuala Lumpur dan Dorsett Hartamas Kuala Lumpur, bersama Curio Pack sebagai penghantar rasmi dan EdgeProp sebagai rakan media rasmi.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata:

“Cabaran hari ini bukan lagi kesedaran — tetapi pelaksanaan. Ketika bandar di seluruh dunia, termasuk Kuala Lumpur, berkembang ke arah skala mega, persekitaran binaan akan menentukan daya tahan dan kemampanan jangka panjang. ISW 2026 menghimpunkan dasar, piawaian dan keupayaan industri untuk mempercepatkan pelaksanaan di seluruh rantau ini.”

Untuk maklumat lanjut, layari www.isw.com.my
Pertanyaan persidangan: [email protected]
Pertanyaan pameran: [email protected]