Apa Itu Kadar Dasar Semalaman Atau Overnight Policy Rate (OPR) Dan 3 Kesan Penurunannya

Pada 7 Mei yang lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman bank. Penurunan OPR itu bagi memastikan ekonomi negara terus berada pada landasan pertumbuhan yang mapan dalam keadaan inflasi yang stabil, disokong oleh pengantaraan kewangan yang kukuh.

Baru-baru ini ketika sidang Parlimen, Timbalan Menteri Kewangan kita iaitu Yang Berhormat Dato’ Ir Amiruddin Hamzah ada menyatakan kelulusan pinjaman telah melonjak sebanyak 13 peratus pada bulan Mei berbanding bulan sebelumnya.

Jom kita fahamkan betul-betul apa yang dimaksudkan dengan OPR ni dan 3 kesan akibat daripada penurunannya.

Apa itu OPR?

Overnight Policy Rate (OPR) atau Kadar Dasar Semalaman adalah faedah yang dikenakan bagi pinjaman di antara bank. Untuk makluman, bank juga membuat pinjaman di antara satu sama lain.

Pendeposit membuat simpanan di bank dan bank akan menggunakan semula duit tersebut bagi tujuan memberikan pinjaman. Apabila pendeposit mengeluarkan duit secara mendadak dan bank kekurangan tunai, bank akan membuat pinjaman daripada bank lain dan dikenakan faedah.

3 Kesan Penurunan OPR

1. Pengurangan Kadar Faedah (Konvensional) atau Kadar Keuntungan (Perbankan Islam)

Apabila OPR diturunkan, bank juga akan menurunkan Kadar Asas Pinjaman. Ini disebabkan kos pinjaman di antara bank telah berkurang, maka bank juga akan menurunkan kos pinjaman kepada peminjam. Secara automatik, pembayaran bulanan peminjam akan berkurang.

Namun perlu diingat, ia hanya melibatkan pinjaman/pembiayaan yang menggunakan kaedah ‘floating rate’.

2. Pengurangan Inflasi

Apabila pengguna mempunyai lebihan tunai akibat daripada pengurangan kadar faedah / kadar keuntungan, inflasi juga akan berjaya dikurangkan. Inflasi adalah penurunan kuasa beli pengguna untuk mendapatkan sesuatu barangan atau perkhidmatan berbanding sebelumnya.

Dengan lebihan tunai yang banyak, kuasa beli pengguna akan meningkat, mereka akan berbelanja, dan seterusnya mengurangkan kadar inflasi.

3. Sektor Hartanah Dan Automotif Melonjak

Apabila pengguna mempunyai lebihan wang, kebarangkalian bagi pihak bank untuk meluluskan pinjaman/pembiyaan adalah tinggi. Ini akan meningkatkan peratusan kelulusan pinjaman atau pembiayaan. Secara tidak langsung, hartanah yang dijual akan cepat laku kerana pembeli mudah mendapatkan kelulusan dari pihak bank.

Bukan sektor hartanah sahaja yang meningkat, kelulusan pinjaman untuk motosikal meningkat sebanyak 7.8% dan kereta penumpang pula meningkat sebanyak 23.3%.

Secara keseluruhannya, apabila semua bayaran bulanan pengguna berkurang, pengguna akan mempunyai lebihan tunai untuk dibelanjakan yang mana ianya boleh merangsang pertumbuhan ekonomi. Ini adalah sebab mengapa Bank Negara Malaysia telah menurunkan kadar OPR pada 7 Mei yang lepas.

Ditulis oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Beliau boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Asas Kukuh Jamin Pertumbuhan, Daya Tahan Bank-Bank Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) — Bank-bank Malaysia terus menunjukkan prestasi yang berdaya tahan pada tahun 2023, disokong oleh asas-asas sistem perbankan yang kukuh walaupun berdepan dengan tekanan luaran dan risiko penurunan pertumbuhan yang meningkat.

Kebanyakan penganalisis mengunjurkan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan yang merupakan pemangkin utama ekonomi akan berada pada sekitar 4.0 peratus untuk tahun ini berbanding 5.7 peratus pada 2022 sejajar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka sekitar 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023.

Pemacu pertumbuhan utama bagi sektor ini untuk baki tahun 2023 dan pada 2024 termasuk permintaan domestik yang kukuh, peningkatan dalam kadar pekerjaan dan pertumbuhan gaji.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat bank-bank Malaysia mempunyai permodalan yang kukuh dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1), nisbah Tahap 1 dan nisbah modal keseluruhan masing-masing pada 14.5 peratus, 15.0 peratus dan 18.1 peratus setakat September 2023. Ini adalah melebihi paras minimum masing-masing pada 4.5 peratus, 6.0 peratus dan 8.0 peratus.

Bank juga mempunyai kecairan yang lebih tinggi dengan nisbah liputan kecairan sebanyak 151.5 peratus yang melebihi paras minimum 100 peratus, katanya.

“Bagaimanapun, kos dana yang lebih tinggi di tengah-tengah persaingan sengit dalam pasaran pinjaman telah mengakibatkan pemampatan pada margin pendapatan bersih (NIM).

“Terdapat juga peningkatan dalam nisbah terjejas kasar daripada 1.73 peratus pada Januari 2023 kepada 1.80 peratus pada Mei 2023, tetapi selepas itu, ia menyederhana kepada 1.72 peratus pada September 2023.

“Secara keseluruhannya, bank-bank pada amnya stabil tahun ini walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar,” katanya kepada Bernama.

OPR: Pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi

Kejutan serentak ke atas bekalan dan permintaan yang disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19 pada 2020 menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras terendah 1.75 peratus pada Julai 2020 untuk merangsangkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, bank pusat itu terpaksa menaikkan OPR tahun lepas untuk mengurangkan pertumbuhan kredit dan inflasi kerana kadar inflasi dan kadar faedah adalah berkait rapat.

Pada Mei 2022, BNM mula meningkatkan OPR secara berterusan dan mengembalikan kadar OPR ke paras sebelum COVID-19 iaitu 3.00 peratus pada Mei 2023. Paras ini dijangka kekal untuk baki tahun, disokong oleh prospek inflasi dan pertumbuhan domestik yang stabil.

Sementara itu, RAM Rating Services Bhd berkata kenaikan OPR biasanya akan memanfaatkan NIM bank kerana majoriti pinjaman industri perbankan domestik adalah kemudahan kadar terapung, yang akan menyaksikan penilaian semula nilai yang lebih cepat berbanding deposit.

Pertumbuhan pinjaman industri didorong oleh pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah

Menurut Fitch Ratings, bank-bank Malaysia terus mendapat manfaat daripada pasaran rumah yang menyokong dan menyediakan peluang pertumbuhan yang stabil terhadap risiko kredit yang boleh diurus. Ini dijangka akan memacu prestasi kewangan mereka dengan baik sehingga 2024.

Pertumbuhan pinjaman industri menyaksikan peningkatan sederhana kepada 4.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada September 2023, disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah, katanya.

Agensi penarafan itu berkata prestasi kualiti aset bagi pinjaman sektor isi rumah, yang menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah pinjaman sistem, disokong oleh pasaran pekerjaan yang sihat.

Bagaimanapun, ia menyatakan bahawa pinjaman perniagaan kekal suram kerana perniagaan masih berhati-hati terhadap rancangan perbelanjaan mereka memandangkan prospek global dan aktiviti ekonomi yang perlahan.

Penganalisis perbankan MIDF Research Woo Choong Yi pula berpendapat pertumbuhan pinjaman bagi separuh pertama 2023 jauh lebih lemah berbanding tahun lepas kerana syarikat-syarikat korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika itu menantikan keputusan pilihan raya negeri pada Ogos 2023.

“Kami melihat permohonan dan kelulusan pinjaman meningkat selepas pilihan raya dengan segmen pengguna memberikan pertumbuhan yang sangat konsisten sepanjang tahun tetapi pertumbuhan PKS agak bercampur selaras dengan pertumbuhan korporat yang lebih lemah,” katanya.

Bank-bank Islam atasi bank konvensional 

Menurut Moody’s Investors Service, pertumbuhan bank-bank Islam di Malaysia telah mengatasi bank konvensional yang lain, dengan penembusan berkembang dengan pesat sejak 10 hingga 15 tahun lepas dan kini menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pembiayaan di Malaysia.

Difahamkan bahawa kadar penembusan adalah sekitar 20 peratus 10 hingga 15 tahun lepas.

“Pertumbuhan perbankan Islam di Malaysia didorong terutamanya oleh dasar kerajaan serta strategi ‘Islamic First’ yang digunakan oleh bank, yang pada dasarnya bermakna memberi keutamaan kepada bank-bank Islam dan produk Islam,” kata Moody’s.

Peralihan pucuk kepimpinan 

Pada 2023, Malaysia menyaksikan pelantikan Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Beliau mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang menamatkan tempoh penggal perkhidmatannya selama lima tahun pada 30 Jun 2023.

Abdul Rasheed menyertai bank pusat pada tahun 1988, menjawat jawatan Timbalan Gabenor pada tahun 2016, dan pada masa ini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, yang dipegangnya sejak 2015.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan.

Selain itu, sektor perbankan turut menyaksikan pelantikan Dafinah Ahmed Hilmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hong Leong Islamic Bank Bhd, Jamie Ling sebagai CEO kumpulan AMMB Holdings Bhd dan CEO AmBank (M) Bhd, serta Kevin Lam Sai Yoke sebagai Pengarah Urusan dan CEO kumpulan Hong Leong Bank Bhd.

Prospek sektor perbankan untuk 2024

Gabenor BNM begitu yakin ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 4.0 peratus tahun ini dan 4.0-5.0 peratus tahun depan selepas menilai semula petunjuk kukuh ekonomi.

Menurut penganalisis, sektor perbankan Malaysia juga dijangka menyaksikan peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2024, dengan pinjaman pengguna mengatasi pinjaman perniagaan dalam keadaan ketidaktentuan luaran.

Abdul Rasheed berkata prospek sektor ini untuk 2024 sebahagian besarnya bergantung kepada beberapa faktor.

“Antaranya termasuk persekitaran ekonomi keseluruhan, permintaan luar dan sejauh mana bank-bank menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi yang berpotensi berlaku akibat kesan limpahan daripada kemungkinan kelembapan ekonomi global.

“Selain itu, kemungkinan kemelesetan besar di China akibat tekanan kewangan yang dialami oleh sektor hartanah negara itu juga akan memberi kesan kepada sektor perbankan tempatan,” katanya.

— BERNAMA