Hap2py Tidak Dibenarkan Kendali P2P Di Malaysia – SC

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang tidak dibenarkan di Malaysia.

Badan kawal selia itu menegaskan bahawa sehingga kini pihaknya telah campur tangan dan mengambil beberapa tindakan terhadap Hap2py, termasuk menyenaraikan platform tersebut dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.

SC menjelaskan walau bagaimanapun, Hap2py didapati tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara, termasuk melalui variasi laman webnya serta iklan di media sosial

“Di samping itu, didapati terdapat banyak pertanyaan dan aduan terhadap entiti ini daripada orang ramai. SC memandang serius ketidakpatuhan ini, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan/atau sebarang tindakan lain yang wajar, termasuk tindakan penguatkuasaan,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

SC memaklumkan bahawa Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan dan ia kini mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO, yang merupakan satu kesalahan mengikut bawah Seksyen 7(1) (e) yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007.

Jika sabit kesalahan, individu atau entiti tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, atau kedua-duanya sekali, tambah SC.

“Oleh itu, SC menggesa pelabur dan mereka yang ingin mengumpul dana untuk tidak berurusan atau melabur melalui Hap2py,” tegas badan kawal selia itu.

SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

SC mengingatkan bahawa pelabur yang berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak dibenarkan terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk penipuan, dan sekiranya berlaku pertikaian, pelabur tidak akan mendapatkan bantuan undang-undang.

“Pada ketika ini, terdapat 12 RMO berdaftar untuk pembiayaan P2P. Hanya mereka yang tersenarai merupakan pengendali platform yang dibenarkan untuk mengendalikan P2P di Malaysia.

“Pelabur digesa untuk mengesahkan kesahihan dan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko, melalui Senarai Peringatan Pelabur SC,” tambah SC.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelabur Asing Akhiri Dua Minggu Aktiviti Belian, Bawa Keluar US$1.71 Bilion Dari Pasaran Asia

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Pelabur asing beralih menjadi penjual bersih, mengakhiri aktiviti belian bersih mereka selama dua minggu berturut-turut di pasaran Asia minggu lepas dengan mencatatkan aliran keluar bersih asing bernilai US$1.71 bilion.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 17 Okt, 2025 berkata antara pasaran yang dipantau hanya melibatkan India, Korea Selatan dan Indonesia mencatatkan aliran masuk bersih asing, manakala selebihnya menyaksikan aktiviti jualan bersih yang didahului oleh Taiwan, yang merekodkan aliran keluar terbesar di rantau ini.

“India meneruskan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih asing terbesar di rantau ini sebanyak US$968.5 juta, meningkat sebanyak 4.9 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.

“Korea Selatan meneruskan aktiviti belian bersih asing selama tiga minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih asing sebanyak US$569.5 juta, manakala Indonesia melanjutkan aliran belian bersih asing selama dua minggu berturut- turut dengan mencatatkan belian asing bernilai US$117.9 juta,” katanya.

Di Malaysia pula, MBSB IB berkata pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM962.8 juta.

Ia berkata pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas, dengan aktiviti jualan bersih tertinggi dicatatkan pada Isnin sebanyak RM393.5 juta, diikuti Selasa (-RM320.0 juta), Jumaat (-RM190.8 juta) dan Rabu (-RM47.5 juta).

“Aliran keluar paling kecil berlaku pada Khamis yang menyaksikan pengeluaran sederhana berjumlah RM11.0 juta,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata hanya tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih asing minggu lalu iaitu produk pengguna dan perkhidmatan (RM518.9 juta), teknologi (RM87.3 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).

Ia berkata tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM835.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM270.3 juta), dan utiliti (-RM106.7 juta).

MBSB IB turut berkata pelabur institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih selama dua minggu berturut-turut dengan mencatatkan pembelian sebanyak RM1.32 bilion, manakala peruncit tempatan meneruskan aliran jualan bersih selama enam minggu berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM357.4 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatatkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu, dengan peruncit tempatan dan pelabur asing masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 26.7 peratus dan 18.7 peratus, manakala institusi tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 4.3 peratus,” katanya.
— BERNAMA