Moratorium: Resolusi Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia

Di awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat keputusan bahawa semua bank di Malaysia perlu memberikan moratorium automatik kepada semua pelanggannya manakala pelanggan yng ingin membuat bayaran hutang seperti biasa harus membuat makluman kepada bank.

Moratorium itu bermula 1 April 2020 selama 6 bulan sehingga September 2020. Melangkah masuk bulan Oktober, moratorium bersasar diperkenalkan bagi mereka yang terjejas selama tiga bulan sehingga Disember 2020.

Menurut sumber daripada BNM, moratorium selama enam bulan sebelum ini telah memberi kelegaan kepada 7.7 juta individu dan 243,999 pemilik syarikat kecil dan sederhana. Manakala bagi moratorium bersasar, setakat ini 500,000 permohonan individu telah diluluskan, satu per enam daripada jumlah yang BNM jangkakan iaitu enam juta pemohon.

Di pihak operasi bank, perkara ini merupakan perkara baru yang tidak pernah dialami dan disebabkan itu, ramai mungkin perasan bank-bank agak lewat membuat makluman dan banyak soalan yang ditanya pelanggan tidak dapat dijawab.

Salah satu isu yang banyak diperbincangkan adalah bolehkah perbankan Islam mengenakan caj atau keuntungan dalam tempoh enam bulan moratorium itu seperti mana bank-bank konvensional?

Bank Negara Malaysia melalui Majlis Penasihat Shariah (MPS) telah mengadakan mesyuarat khas kali ke-30 pada 14 Julai 2020 (keputusan diumum pada bulan Ogos) mengenai pengoperasian bank patuh Shariah dalam menghadapi impak moratorium.

Ada tiga keputusan yang telah dibuat. Pertama adalah keharusan menukar kontrak Shariah yang digunakan dalam kontrak sebelum moratorium kepada kontrak baru setelah moratorium. MPS membenarkan bank menukar kontrak contohnyadaripada kontrak pembiayaan rumah Musharakah Mutanaqisah (Perkongsian yang berkurangan) kepada kontrak Ijarah (sewaan) contohnya. Penukaran kontrak seperti ini akan memberi sedikit fleksibiliti kepada bank dalam mengenakan kadar bayaran baru.

MPS juga menyatakan bahawa penukaran kontrak sekiranya berlaku hendaklah dengan persetujuan pelanggan dan tidak perlu dikenakan caj guaman atau caj dokumentasi lain yang dikenakan di awal-awal kontrak dahulu, ini bertujuan untuk tidak membebankan pelanggan.

Kedua adalah keharusan menukar pinjaman konvensional kepada pembiayaan patuh Shariah dan tidak sebaliknya. Pelanggan yang mempunyai pinjaman konvensional boleh memindahkan pinjaman itu ke bank patuh Shariah dan ditukar kepada pembiayaan patuh Shariah. Hasilnya, pelanggan hanya perlu membayar ansuran bulanan kepada bank patuh Shariah.

Akhir sekali, keputusan ketiga adalah cara pengiraan keuntungan terakru (profit accrued) dalam pembiayaan patuh Shariah.

MPS menetapkan cara kiraan keuntungan terakru harus berbeza dengan cara kiraan faedah terakru (interest accrued) di bank konvensional. Jumlah prinsipal adalah sama sebelum dan selepas penstrukturan semula dilakukan, kadar keuntungan yang dikira bulan-bulan sepanjang tempoh moratorium hanya ditambah sekali sahaja, tidak boleh digandakan (compound) setiap bulan.

Berbeza dengan cara kiraan sesetengah bank konvensional yang kadar prinsipal mereka akan bertambah setiap bulan kerana ditambah jumlah faedah terakru, menjadikan jumlah prinsipal berganda.

Ketetapan MPS ini adalah bagi mengelakkan unsur Riba Jahiliyah atau pertambahan dalam jumlah hutang asal dan bagi melaksanakan firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud “sesungguhnya Allah meminta kamu untuk berlaku adil dan ihsan.”

Konsep ihsan di sini bermaksud bertimbang rasa dan berbuat kebajikan. Bank patuh Shariah diminta untuk tidak mengambil kesempatan di atas kesusahan pelanggan mereka di saat pandemik ini dan tidak berlebihan dalam mengenakan kadar keuntungan.

Hubungilah bank anda masing-masing untuk bertanya lanjut tentang pengurusan akaun pembiayaan anda dan kadar-kadar pembayaran baru yang mungkin dikenakan.

Nota kaki: Resolusi Mesyuarat Khas Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia kali ke-30 telah dikemaskini pada 16 Oktober 2020. Baca lanjut: https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_about&pg=en_sac_updates&ac=694

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Teraju Akan Wujudkan Dana RM1 Bilion Untuk Bantu Perusahaan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan mewujudkan dana agregat sebanyak RM1 bilion untuk syarikat bumiputera dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang. 

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi, berkata dana itu akan dilaksanakan dengan sokongan rakan usaha sama.

“Kami akan memilih beberapa bank perdagangan dan institusi kewangan pembangunan sebagai rakan kongsi.

“Dana itu akan diagihkan dalam bentuk pinjaman. Kami akan berbincang dengan rakan kerjasama untuk merendahkan kadar faedah pinjaman di bawah kadar pasaran (supaya ia) menarik kepada syarikat bumiputera,” katanya kepada Bernama di luar program Mempertingkat Penciptaan Nilai Bumiputera di sini hari ini. 

Menurutnya dana agregat berjumlah RM1 bilion itu menggunakan kaedah leveraj dan penggandaan.

“Ini bererti, dengan (setiap) RM1 yang dibelanjakan kerajaan untuk syarikat bumiputera, menggunakan komitmen itu, rakan kerjasama akan memberikan lima kali ganda jumlahnya. Kami juga tidak akan menumpukan kepada geran selepas ini, tetapi kepada pinjaman seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan saiz dana itu, Teraju menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan sehingga 5,000 perusahaan bumiputera dan memudahkan penskalaan 1,000 perusahaan bumiputera menjelang 2030.

Teraju akan bekerjasama dengan institusi kewangan seperti Bank Muamalat Malaysia Bhd, RHB Islamic Bhd, MIDF Bhd, MBSB Bank Bhd, Sabah Credit Corporation, Maybank Islamic Bhd, SME Bank, Agrobank, Bank Rakyat, Credit Guarantee Corporation, Exim Bank, Pernas dan Development Bank of Sarawak, untuk mewujudkan kemudahan pembiayaan bernilai RM 1bilion untuk syarikat bumiputera.

— BERNAMA