Pengasingan Aset Simpanan Syariah KWSP Dijangka Beri Pulangan Dividen Lebih Baik

PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) — Aset simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diasingkan sepenuhnya mulai 1 Jan, 2024 yang dijangka dapat memberikan pulangan dividen Skim Simpanan Shariah yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setara dengan Skim Simpanan Konvensional.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pada masa ini, dividen bagi Skim Simpanan Shariah lebih rendah berbanding Skim Simpanan Konvensional.

Beliau berkata contohnya, dividen skim konvensional pada 2022 adalah 5.35 peratus manakala skim syariah adalah 4.75 peratus dan trend sedemikian berlaku beberapa tahun dengan dividen skim syariah tidak pernah mengatasi dividen konvensional.

“Pengasingan memberi kebebasan sepenuhnya kepada pelaburan syariah, maka ada kemungkinan pada tahun-tahun hadapan, (dividen syariah) jika tidak melebihi dividen pelaburan konvensional, paling kurang akan setara dengan pelaburan konvensional,”  katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Integriti Bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi-agensi 2023 di sini, pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut hadir pada sidang media itu berkata pada masa ini, kira-kira 40 peratus daripada RM1.1 trilion aset di bawah pengurusan KWSP adalah aset syariah.

Beliau berkata apabila kedua-dua skim ini diasingkan, KWSP boleh membezakan simpanan dan pelaburan yang dibuat, dengan skim syariah bebas memilih pelaburan serta boleh meningkatkan pulangan, sekali gus merapatkan jurang antara skim konvensional dan syariah.

“Tetapi, pulangan (daripada pelaburan) yang kita dapat semestinya bergantung kepada prestasi aset yang kita ada. Usaha kita, kita asingkan dulu dan kita lihat cara untuk kita boleh kurangkan jurang (dividen),” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata MOF akan meneliti secara serius setiap teguran serta ketirisan yang dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

“Perkara ini berhubung rapat dengan integriti seperti penyalahgunaan kuasa dan juga rasuah, jika ia boleh dikurangkan maka banyak perkara boleh diselamatkan. Jadi, kita harap kebocoran dan teguran Ketua Audit Negara itu akan mempercepat dan mempercekap urusan kewangan,” katanya.

Mengenai teguran terhadap kelemahan pengurusan pembangunan dua projek hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Ahmad berkata MOF mengambil maklum perkara itu dan berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya.

LKAN 2022 mendapati LADA gagal mengutip hasil pajakan tanah dua projek iaitu Projek Pembangunan Hotel St Regis sebanyak RM3.19 juta sejak 2018; dan pajakan tanah untuk Projek Perkampungan Tok Senik sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.