Ringgit Dibuka Rendah Berbanding Dolar AS, Namun Tinggi Berbanding Mata Wang Utama Lain

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Ringgit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun, meningkat berbanding mata wang utama lain semasa awal dagangan pada Isnin, ekoran pelabur akan memantau mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) berkenaan kadar faedah, kata penganalisis.

Pada pukul 8.16 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.3200/3380 berbanding dolar AS daripada 4.3185/3225 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit sewajarnya kekal positif hari ini kerana Fed AS berada di landasan untuk mengurangkan kadar faedah bulan ini.

“Pada masa sama, BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras yang stabil sepanjang baki tempoh tahun ini.

“Ini akan menjadikan ringgit kelihatan sangat menarik dari sudut pandang pelabur asing,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata justeru, ringgit berbanding dolar AS mungkin cuba untuk melepasi paras sokongan serta-merta pada 4.3050.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama pagi ini.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9518/9645 daripada 2.9754/9784 ketika ditutup Jumaat lepas, dan lebih stabil berbanding euro kepada 4.7723/7922 daripada 4.7862/7906.

Ringgit juga naik berbanding pound British kepada 5.6713/6949 daripada 5.6939/6992.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3083/3224 daripada 3.3158/3191 ketika ditutup minggu lepas, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.6798/7375 daripada 12.7540/7726.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 279.4/280.8 daripada 279.3/279.8, dan hampir kekal mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.73 daripada 7.69/7.70.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Lebih 70 Peratus Depoh Pengadun Sedia Laksana Biodiesel B15 Guna Fasiliti Sedia Ada – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada, susulan pengumuman kerajaan untuk meningkatkan adunan biodiesel kepada B15 secara berperingkat, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan mesyuarat dan lawatan bagi mengenal pasti kesediaan kemudahan itu untuk melaksanakan adunan biodiesel B15.

“Hasil dapatan pemeriksaan infrastruktur depoh pengadun oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendapati lebih 70 peratus depoh pengadun di Malaysia bersedia untuk melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada.

“Langkah penyesuaian operasi sedang dirangka oleh depoh pengadun bagi memastikan kecekapan dan keterjaminan bekalan produk petroleum kepada pengguna,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.

Akmal Nasrullah berkata, beliau dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah melawat Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) dan melihat sendiri kesediaan loji pemprosesan biodiesel di Pulau Indah, Klang.

“Lawatan ini memberi mesej penting bahawa isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.

“Ia perlu ditangani dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting kerana ia membolehkan kerajaan melihat sendiri keseluruhan ekosistem biodiesel negara secara menyeluruh, termasuk pengeluaran bahan asas, keupayaan pengadunan, kelancaran operasi fasiliti dan ketahanan rantaian bekalan.

Susulan keputusan itu, Kementerian Ekonomi dan KPK sedang menyusun tindakan bersama semua pihak yang terlibat untuk merealisasikan agenda biodiesel berkenaan.

Pada 14 April, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 bagi mengekalkan bekalan diesel negara susulan krisis yang berlaku di Asia Barat.

Langkah itu bertujuan mengelakkan kebergantungan melampau kepada bahan api fosil import dan pasaran luar serta melaksanakan penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan yang dipercepatkan kepada tenaga boleh baharu.

-BERNAMA