Semua PLC Perlu Adakan Mesyuarat Agung Secara Hibrid Atau Fizikal Mulai 1 Mac 2025 

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad hari ini mengumumkan bahawa semua syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia perlu mengadakan  mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal mulai 1 Mac 2025. 

Semasa tempoh pandemik COVID-19, PLC dibenarkan menjalankan mesyuarat agung  secara maya. Walau bagaimanapun, meskipun pandemik telah berakhir, lebih daripada  50% PLC didapati masih menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) secara maya sepenuhnya pada separuh pertama 2024. 

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata walaupun mesyuarat secara maya mencapai matlamatnya semasa pandemik, sudah tiba masanya untuk PLC beralih kepada  format mesyuarat secara hibrid atau fizikal. 

“Mesyuarat pemegang saham, terutamanya AGM, adalah sesi penting untuk melibatkan lembaga pengarah dan pengurusan,” katanya. “Pelabur domestik dan antarabangsa juga telah menyatakan keutamaan mereka untuk menjalankan mesyuarat secara hibrid atau  fizikal. Ini dapat memperkukuh tadbir urus yang baik dengan menggalakkan ketelusan  dan akauntabiliti.” 

Datuk Muhamad Umar Swift, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia berkata, “Bursa menyokong penuh pendekatan secara hibrid kerana ia mencapai keseimbangan tepat antara kebolehcapaian dan penglibatan. Dengan pimpinan melalui teladan, kami  memastikan kebolehcapaian dan keterangkuman yang lebih luas untuk semua pemegang  saham, dalam memupuk kepercayaan dan perbincangan yang lebih menarik.” 

Mesyuarat secara fizikal memelihara ketelusan hak pemegang saham dan memastikan  tiada yang dikecualikan yang disebabkan oleh halangan teknologi. Walaupun penyertaan secara maya meningkatkan kebolehcapaian, PLC harus berusaha untuk mengadakan  mesyuarat agung secara hibrid atau sekurang-kurangnya secara fizikal. Ini dapat memastikan penglibatan yang lebih bermakna oleh pemegang saham, melindungi hak pemegang saham, dan menegakkan integriti proses mesyuarat agung,” tambahnya. 

Keperluan ini akan digunapakai untuk semua mesyuarat agung PLC di Pasaran Utama  dan ACE Bursa Malaysia yang akan diadakan mulai 1 Mac 2025.Bursa Malaysia akan  memberikan butiran lanjut dalam masa terdekat.

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.