RUU Kredit Pengguna 2025 Dilulus, SKP Selaras Landskap Kredit Pengguna Negara


KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) — Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 bagi melindungi kepentingan pengguna kredit dalam negara.

Rang Undang-Undang itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata RUUKP digubal bagi menangani kelompongan ketara dalam industri tidak dikawal selia khususnya perniagaan yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi.

RUUKP juga bertujuan menyeragamkan rangka kerja pengawalseliaan dalam landskap kredit pengguna ketika ini berbeza-beza di Malaysia.

RUUKP 2025 telah diluluskan dengan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 24 Ahli Parlimen.

Di bawah RUUKP, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia perniagaan kredit, kini ia beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.

“RUUKP akan dirangka sebagai akta induk bersifat pelengkap kepada akta sedia ada di bawah pentadbiran pihak berkuasa, pengawal selia dan penyeliaan dan tidak menduplikasi fungsi atau peranan kementerian serta agensi sedia ada.

“Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” katanya ketika menggulung perbahasan RUUKP 2025 di Dewan Rakyat. 

Beliau berkata pendekatan kawal selia secara bersepadu akan dilaksanakan secara berfasa dengan mengambil kira kesediaan industri serta keupayaan SKP akan dipertingkatkan dari fasa ke fasa seterusnya.

Bagi persediaan Fasa 1, KPKT sebagai pihak berkuasa kawal selia dan penyelia akan memastikan pemberi pinjam wang berlesen mematuhi aspek perlindungan pengguna kredit diperkenalkan melalui RUUKP.

Dengan penggubalan RUUKP, KPKT akan mendapat mandat perundangan tambahan untuk mengawal selia peniagaan patuh shariah bagi kedua-dua sektor, iaitu peraturan pinjaman dengan pajak gadai. 

KPDN pula akan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Sewa Beli 1967 untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta memodernkan peruntukan sedia ada.

Mengulas mengenai kadar faedah maksimum dikenakan perniagaan kredit, Lim menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan menetapkan sebarang had kadar faedah pada Fasa 1.

“Kita (kerajaan) tidak akan tetapkan (kadar faedah) pada Fasa 1…bagaimanapun, kita mesti mengumpul data dalam Fasa 1 dan Fasa 2,” katanya.

Pada Fasa 2 pula, dijangka bermula pada 2028.

Fungsi kawal selia ketika ini dipegang oleh KPKT dan KPDN akan dipindahkan kepada SKP, ia termasuk aktiviti pinjaman wang, pajak gadai, sewa beli dan jualan kredit.

Manakala Fasa 3, disasarkan bermula pada 2031 akan memberi tumpuan kepada penyatuan kawal selia terhadap semua aktiviti kewangan pengguna di bawah satu entiti berpusat selepas kajian menyeluruh dilakukan kerajaan.

— BERNAMA

Terima kasih kepada anda yang menyokong kami selama ini. Hari-hari kami bersemangat nak sebarkan ilmu tentang kewangan dan pelaburan.

Kami sedar yang majoriti pembaca kami adalah anak-anak muda yang tercari-cari panduan bagaimana untuk mula melabur. Jadi buku ini sangat sesuai bagi newbie yang nak mulakan langkah pertama.

Anda ada soalan-soalan berikut yang memerlukan jawapan?

  • Ada duit tapi tak tahu nak melabur di mana?
  • Nak melabur tapi takut kena tipu dengan scammer?
  • Bagaimana nak tahu sesuatu pelaburan itu adalah patuh Syariah atau tidak?
  • Ada banyak sangat jenis pelaburan dekat luar sana, apa yang paling sesuai dengan jiwa?
  • Dalam suasana ekonomi yang tak menentu, apakah pelaburan ‘safe haven’ yang menjadi pilihan?
  • Pelaburan tanpa tunai tu macam mana?
  • Soalan-soalan lazim berkenaan pelaburan

Jika ya, maka anda perlu miliki buku Buku Malaysia Melabur : 10 Benda Kita Kena Tahu.

Buku Malaysia Melabur juga telah berada dalam senarai MPH Best 2020 dalam kategori MPH Best Malay Non-Fiction 2020.

Sesungguhnya kami bersyukur diberi peluang oleh Allah untuk berubah menjadi lebih baik dan mendapat rezeki seperti yang diidamkan. Kami doakan semoga tuan puan juga dilimpahi rezeki yang penuh keberkatan.

Boleh miliki buku ini secara online di Shopee

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.