Tiada Kesedaran Dan Kefahaman, Punca Aset RM70 Bilion Beku Dan Tidak Dituntut

Isu pusaka kembali menjadi tajuk hangat menghiasi muka depan surat khabar Metro Ahad baru-baru ini.

“Waris Berbalah Tuntut Harta: Aset RM70 Billion Tidak Bertuan.”

Hakikatnya, angka-angka nilai aset tidak dituntut atau bertuan ini tidaklah begitu tepat. Kerana itu kita melihat ada laporan akhbar yang melaporkan RM60b yang tidak dituntut, ada pula yang kata RM80b.

Ini kerana tidak ada satu organisasi atau agensi pun di Malaysia ini yang mempunyai statistik sebenar mengenai angka tersebut. Semua hanyalah anggaran.

Cuma, institusi seperti Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil dan Amanah Raya Berhad mungkin mempunyai gambaran umum tentang jumlah harta pusaka yang tidak dituntut ini kerana mereka berurusan secara langsung dengan isu pengurusan harta pusaka.

Walaubagaimanapun, isu harta pusaka yang tidak dituntut ini bukanlah satu isu retorik. Ianya adalah hakikat yang sedang berlaku dan semakin parah setiap tahun.

Faktor nombor satu yang menjadi sebab kepada masalah ini adalah tiadanya kefahaman dan kesedaran; sama ada oleh si pemilik harta ataupun oleh si waris.

Pemilik Harta

Bagi si pemilik harta, mereka biasanya tidak merasakan pentingnya merancang harta mereka. Selalunya orang sebegini berkemungkinan besar tidak mempunyai kefahaman Islam yang mendalam.

Ini kerana jika mereka faham akan konsep ‘kehidupan’ selepas mati dan konsep saham akhirat pasti mereka akan merancang harta mereka supaya dapat terus memberi manfaat kepada diri mereka walaupun selepas mati; melalui instrumen wasiat, waqaf, hibah dan surat amanah.

Sebagai contoh, saya ambil daripada kes sebenar yang berlaku tahun lepas.

Seorang wanita bertemu dengan salah seorang perunding urus pusaka, berhasrat untuk mewaqafkan RM90,000 kepada sebuah Maahad Tahfiz di Sungai Petani pada awal tahun lepas.

Ditakdirkan Allah, beliau meninggal dunia pada bulan Jun tahun yang sama. Suami arwah yang mengetahui hasrat isterinya melalui dokumentasi perancangan yang telah dibuat, terus melaksanakan wasiat arwah isterinya.

Lebih menarik, apabila si suami hendak menyerahkan duit yang telah diamanahkan kepada Maahad Tahfiz berkenaan, Mudir atau guru besar terkejut dengan nilai yang ingin disumbangkan. Ini kerana pihak Maahad memang telah lama merancang untuk membeli sebidang tanah bagi menambah bangunan Maahad tetapi tergendala kerana tiada dana.

Rebut Saham Akhirat Dengan Infaq Dan Waqaf Bagi Pembinaan Bangunan Tahfiz Al Quran Al Ansar

Pahala Berterusan Sehingga Akhirat

Jadi cuba bayangkan betapa besarnya pahala si arwah yang secara tidak langsung telah membantu pihak Maahad tersebut dan pahalanya terus mengalir selagi mana bangunan tersebut memberi manfaat kepada pelajar maahad di sana.

Dalam pada masa yang sama, si pemilik harta juga selalu beranggapan bahawa, selepas mereka mati, semua waris akan bermuafakat untuk mentadbir harta pusakanya. Dan selalu sangat keluar ayat-ayat sebegini.

“Buat apa nak rancang, hukum faraid kan ada. Ikut jelah hukum yang tuhan dah buat tu.”

Boleh jadi mereka tidak faham firman Allah daripada Surah Al-Baqarah, ayat 240.

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.  (Sutah Al-Baqarah Ayat 240)

Panduan yang sangat jelas Allah perintahkan kepada mereka yang akan meninggal dunia

Yang lebih melucukan adalah ada segelintir masyarakat yang mengatakan bahawa membuat dokumentasi perancangan harta dengan mana-mana firma pengurusan pusaka seperti Pusaka KUDS Sdn Bhd atau peguam adalah suatu pembaziran. Lebih baik simpan duit tu.

Orang-orang sebegini pasti tidak pernah menguruskan kes harta pusaka yang rumit dan tiada dokumentasi perancangan yang lengkap. Kosnya jauh lebih tinggi jika tiada dokumentasi perancangan. 

Kos yang mahal, ditambah pula dengan urusan yang rumit dan memakan masa yang lama, akhirnya waris berputus asa untuk uruskan pusaka arwah. Lalu bertambah lagi harta pusaka yang tidak dituntut dan tidak bertuan. Gara-gara kelalaian si pemilik harta itu sendiri.

Waris

Perkara yang paling banyak sekali yang sering waris salah faham adalah; harta pusaka tidak perlu diuruskan secepat mungkin. Ada beberapa faktor yang membawa kepada salah faham ini.

Perkara ini seolah telah menjadi satu budaya yang tertanam dalam masyarakat Melayu, bahawa adalah tidak sepatutnya harta pusaka diuruskan secepat mungkin selepas arwah meninggal dunia. Seolah-olah tidak menghormati arwah.

“Tanah kubur arwah pun masih merah lagi!”

Jika ada waris yang nak uruskan pusaka dengan segera, akan segera ditohmah sebagai kebulur nak harta, tidak tahu sabar dan sebagainya.

Waris juga merasakan harta itu tidak akan ke mana dan lambat-laun mereka akan tetap dapat juga bahagian masing-masing. Ditambah pula dengan kesibukan masing-masing, maka dari hari menjadi bulan menjadi tahun, urusan pusaka tidak selesai-selesai juga.

Lebih parah adalah tiada kesefahaman dan muafakat antara waris untuk menguruskan harta pusaka arwah.

Biasanya waris berbalah atas dua perkara. Pertama ketika hendak melantik siapa yang sepatutnya diberikan kuasa untuk mentadbir harta pusaka harta dan kedua ketika menuntut bahagian masing-masing. Masa inilah baru nak ikut hukum Allah, hukum faraid.

Saya pernah menerima satu kes.

Seorang lelaki iaitu Encik S (bukan nama sebenar) bertanya kepada saya, bagaimana hendak menyuruh adik iparnya (isteri kepada arwah adiknya), menguruskan harta pusaka arwah adiknya supaya beliau mendapat bahagiannya juga.

Dari cara Encik S, beliau seolah-olah ingin memaksa adik iparnya itu menguruskannya secepat mungkin.

Selepas saya dapatkan lebih banyak maklumat tentang harta pusaka arwah dan siapa warisnya, baru saya tahu, rupanya Encik S sebenarnya tidak betul-betul faham tentang pembahagian faraid.

Ini kerana arwah adiknya meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Jadi, hak faraid Encik S sebagai saudara seibu sebapa arwah telah terhalang dengan adanya anak lelaki arwah.

Bila saya katakan begitu, baru Encik S terdiam.  

Perbalahan-perbalahan ini kadangkala menjadi lebih teruk apabila kejadian tuntut menuntut ini dibawa ke mahkamah. Habis musnah kasih sayang antara keluarga.

Harta pun tak dapat, keluarga pula berpecah belah.

Kesimpulan

Perancangan harta adalah satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Ianya akan memudahkan urusan si mati dan juga waris. Jika si mati telah merancang hartanya semasa hidup, maka tidak perlu risau akan masalah hutang yang tidak dilangsaikan, malah hartanya menjadi manfaat pula kepada yang masih hidup.

Pahala pun terus menerus masuk ke dalam ‘akaun’ si mati.

Waris pula tidak perlu runsing akan kos menguruskan harta pusaka yang sangat mahal. Lalu proses menjadi mudah dan cepat. Seterusnya akan membantu mengurangkan sedikit masalah harta terbeku dan tidak dituntut oleh waris.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang perunding harta pusaka di bawah Syarikat Pusaka KUDS Sdn Bhd. Selain aktif menulis perkongsian mengenai urus pusaka, beliau turut memberikan ceramah urus pusaka di masjid dan surau di bahagian utara Malaysia.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.