Nur Nazeeha Binti Rasid
Majalah Labur
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kos sara hidup ialah nilai wang yang diperlukan untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan, pakaian , dan tempat tinggal bagi menikmati taraf hidup tertentu. Bank Negara Malaysia pula mendifinisikan kos sara hidup merujuk jumlah perbelanjaan isi rumah, termasuk obligasi kewangan (contohnya pinjaman kereta dan perumahan), untuk mengekalkan taraf hidup pada tahap tertentu. Tegasnya, kos sara hidup adalah kos yang menjadi tanggungjawab dan terpaksa ditanggung oleh isi rumah untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta keperluan -keperluan lain untuk keselesaan hidup termasuk kos pendidikan, kos sambungan jalur lebar dan kos kenderaan untuk kegunaan harian.
Peningkatan kos sara hidup yang dialami oleh rakyat turut dialami oleh sebahagian besar pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Sejak kebelakangan ini, banyak media melaporkan kesusahan yang dialami oleh para pelajar dalam meneruskan pengajian mereka kerana berhadapan dengan masalah kewangan sehingga terpaksa mencatu makanan, berpuasa dan makan mee segera demi kelangsungan hidup di universiti. Kebanyakan pelajar yang dilaporkan mengalami masalah ini berasal daripada keluarga B40, mempunyai tanggungan yang ramai serta masih belajar. Peningkatan kos sara hidup bukan lagi sekadar isu untuk golongan dewasa yang bekerja, malah pelajar-pelajar universiti juga tidak terlepas daripada menerima kesannya. Pelajar-pelajar universiti terpaksa menanggung tekanan kenaikan harga makanan, sewa rumah, pengangkutan, internet, dan bahan pembelajaran serta termasuk kos-kos tersembunyi seperti yuran aktiviti, bahan rujukan tambahan atau keperluan asas harian. Apabila semua tuntutan ini digabungkan, kehidupan kampus yang sepatutnya penuh dengan pengalaman pembelajaran menjadi lebih mencabar dan bertambah kompleks.
Keadaan ini menjadi bertambah meruncing terutamanya kepada pelajar -pelajar universiti di kawasan bandar-bandar besar dan sekitarnya. Hal ini dapat dilihat melalui kadar sewa bilik berhampiran kampus semakin tinggi, harga makanan dinaikkan dan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan tidak menentu yang mengakibatkan pertambahan perbelanjaan yang tidak dapat dielakkan. Terdapat laporan bahawa perbelanjaan bulanan pelajar universiti boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada lokasi dan gaya hidup.
Kenaikan kos sara hidup tersebut memberi impak yang besar terhadap sebahagian besar para mahasiswa dalam memenuhi keperluan asas. Pengurusan kewangan menjadi semakin penting bagi memastikan wang perbelanjaan mereka sentiasa mencukupi untuk urusan pembelajaran dan keperluan lain. Berdasarkan rekod sistem MyMoheS Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), lebih 30,000 atau 2.6 peratus daripada 1.1 juta orang mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) gagal menamatkan pengajian pada tahun 2020 dan 2021 kerana mengalami masalah kewangan. Situasi ini amat mengecewa dan merugikan para mahasiswa khususnya dan negara umumnya. Situasi ini menimbulkan sedikit tekanan emosi dan mental kerana perlu memikirkan tentang wang di samping pelajaran. Ada di kalangan mereka ini terpaksa mencari sumber pendapatan sendiri dengan bekerja sambilan unutuk menampung kos sara hidup, menyebabkan masa belajar berkurangan dan prestasi akademik terjejas. Ada juga yang memilih untuk tidak menyertai aktiviti kampus semata -mata untuk menjimatkan wang. Jika keadaan ini berterusan, ia boleh membentuk sikap negatif terhadap pelajaran dan mengurangkan keyakinan diri mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja selepas tamat pengajian. Tekanan emosi dan psikologi yang dialami oleh pelajar akibat kenaikan kos sara hidup termasuklah kebimbangan dan kemurungan di samping kesan-kesan negatif yang lain. Keadaan ini juga mempengaruhi prestasi akademik pelajar kerana ketidakseimbangan kewangan akan mempengaruhi kemampuan mereka untuk fokus dalam pembelajaran sekali gus menimbulkan konflik dalam kehidupan para mahasiswa. Dalam satu kajian, didapati pelajar yang berasal daripada keluarga B40 yang sepenuhnya mengharapkan bantuan kewangan daripada pinjaman pendidikan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan berkaitan pendidikan dan sara hidup.
Walau apapun halangan, rintangan dan cabaran yang datang daripada masalah peningkatan kos sara hidup di kalangan para pelajar universiti, namun tanggungjawab para pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan seharusnya tidak boleh diabaikan dan hendaklah diteruskan. Peningkatan kos sara hidup tidak boleh dijadikan faktor penyebab atau alasan untuk tidak menuntut ilmu kerana dengan ilmu pengetahuan seseorang itu boleh mengubah taraf hidup kepada yang lebih baik. Ibu bapa, para pelajar dan pihak-pihak yang berkaitan seharusnya mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian untuk menghadapi isu ini. Semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu yang tidak berkesudahan ini yang berlaku sejak dari dulu hingga sekarang.
Ibu bapa atau penjaga adalah pihak yang bertanggungjawab dalam membuat persediaan awal simpanan untuk pendidikan anak-anak yang ingin menyambung pengajian di peringkat universiti. Mereka boleh menyimpan wang tersebut di manamana bank atau tempat yang selamat mengikut cita rasa dan kehendak masingmasing. Terdapat agensi yang khusus untuk simpanan wang yang bertujuan memudahkan urusan pembelajaran anak-anak di peringkat universiti. Antara agensiagensi tersebut ialah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), akaun simpanan bank, Tabung Haji dan insurans pendidikan. Sebagai contoh, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi. Skim yang ditawarkan adalah patuh Syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” di mana pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit mereka.
Selain itu, pengurusan kewangan yang baik sangat penting dalam kehidupan seseorang dalam merancang sumber kewangan yang terhad bagi memenuhi keperluan dan kehendak yang tidak terhad terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Para mahasiswa seharusnya bijak dalam mengurus kewangan mereka bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup di universiti. Walaupun mahasiswa mendapat pinjaman atau biasiswa yang disediakan oleh kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan lain-lain, namun jika mahasiswa tidak mempunyai perancangan yang teliti dan teratur, ia boleh menyebabkan mahasiswa menghadapi masalah pengurusan kewangan yang teruk dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan di kampus. Menurut Mohd Mahyuddin (2014), pengurusan kewangan yang cekap dan dan sistematik amat penting dan perlu diamalkan oleh setiap individu bagi memastikan sumber kewangan yang dimiliki tidak digunakan untuk perkara perkara yang tidak bermanfaat dan tidak berfaedah. Golongan mahasiswa perlu bijak dalam menguruskan sumber kewangan mereka yang terhad bagi mengelak daripada masalah kewangan yang dapat menjejaskan tumpuan mereka terhadap pembelajaran.
Para mahasiswa di universiti perlu bijak mencari ruang dan peluang untuk menjana sedikit pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Kos sara hidup yang semakin tinggi dengan pembiayaan diterima tidak mencukupi, memaksa sebahagian pelajar perlu melakukan kerja sambilan untuk mendapatkan wang demi kelangsungan hidup di samping menelaah pelajaran. Situasi ini memerlukan para mahasiswa perlu bijak membahagikan masa di antara pembelajaran dan kerja sambilan agar tujuan utama mereka menimba ilmu di menara gading dan pembabitan mereka dalam aktiviti kampus tidak terjejas.
Pihak pengurusan universiti boleh membantu terutamanya kepada para mahasiswa yang menghadapi masalah peningkatan kos sara hidup dengan menyediakan kemudahan bantuan dari segi kewangan termasuk geran mikro atau insentif tunai jangka pendek untuk pelajar-pelajar terpilih dan bantuan zakat serta kedai kampus harga rendah. Majlis Perwakilan Pelajar juga perlu merangka sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi universiti bagi mengetengahkan isu kos sara hidup ini. Tidak dinafikan ada universiti-universiti yang menyediakan kemudahan bantuan kepada golongan mahasiswa yang terjejas dengan kenaikan kos sara hidup, namun perkara ini hendaklah diterus dan diperluaskan kepada golongan sasar. Namun, masih ada berita yang menyayat hati apabila ada berita terkini melaporkan seorang pelajar universiti yang tidak mempunyai wang meninggalkan nota tulisan tangan di tabung masjid untuk meminta maaf kerana terpaksa meminjam wang berjumlah RM7.65 kerana tidak makan selama tiga hari. Harapan agar berita sedih seperti ini tidak berlaku lagi dan tiada lagi di kalangan mahasiswa yang terabai serta terlepas pandang daripada mendapat bantuan yang diperlukan.
Kesimpulannya, peningkatan kos sara hidup pelajar adalah realiti yang tidak dapat dinafikan dan terpaksa dihadapi. Namun, harapan masih ada sekiranya semua pihak bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing. Mahasiswa perlu berani dan bijak mengurus kewangan sendiri, pihak universiti perlu lebih peka dengan cabaran dan masalah kewangan yang dihadapi oleh mahasiswa, manakala kerajaan perlu memastikan dasar yang digubal benar-benar sampai kepada golongan sasar. Semua pihak seharusnya memastikan masalah peningkatan kos sara hidup yang ditanggung oleh para mahasiswa universiti ini dapat diatasi atau setidak-tidaknya dapat dikurangkan. Pendidikan seharusnya menjadi ruang untuk anak muda berkembang tanpa rasa terhimpit dengan beban kewangan yang berlebihan. Jika kita berjaya mengimbangi realiti dan cabaran ini, generasi pelajar hari ini akan dapat melangkah keluar sebagai graduan yang berkeyakinan, berdikari dan berdaya saing.