Alibaba.com Terus Dorong Penyertaan PKS Malaysia Dalam Perdagangan Global

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Alibaba.com akan terus memainkan peranan penting untuk memenuhi permintaan global dan menggalakkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam perdagangan global dengan sokongan teguh daripada syarikat tempatan yang menerima perakuan halal, yang menggunakan platformnya.

Platform utama e-dagang perniagaan kepada perniagaan (B2B) global itu, yang melancarkan Pavilion Halal dalam talian pada tahun lepas, telah menerima penyertaan penting daripada pelbagai PKS tempatan dalam sektor makanan dan minuman, pertanian serta kesihatan dan kecantikan.

Bercakap pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023 Ke-19 hari ini, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Alibaba.com bagi Malaysia, Indonesia dan Singapura Nianci Phang berkata, pameran secara dalam talian telah menerima banyak pertanyaan pembeli daripada pasaran seperti Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan Asia Tenggara berhubung produk halal buatan Malaysia.

Phang berkata, susulan peningkatan yang ketara dari segi pertanyaan global terhadap produk halal Malaysia sejak Pavilion Halal dilancarkan, jelas bahawa Malaysia adalah pasaran utama dengan penggiat global yang kukuh dalam sektor ini.

Sementara itu, Alibaba.com meneruskan semula komitmennya hari ini pada Mihas 2023 untuk membantu PKS Malaysia, terutamanya yang terlibat dalam perniagaan produk halal supaya lebih giat menyertai pasaran halal antarabangsa dan memanfaatkan sektor e-dagang halal B2B yang semakin berkembang.

Alibaba.com turut melancarkan Laporan Industri Halal Alibaba.com yang pertama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Laporan itu menyediakan analisis trend penggunaan produk halal global dan trajektori e-dagang B2B untuk mempermudah lebih banyak keputusan perniagaan termaklum kepada pembekal.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, sejajar dengan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 yang dilancarkan baru-baru ini, industri halal Malaysia diunjurkan meningkat kepada US$113.2 bilion, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah 8.1 peratus menjelang 2025.

“Peningkatan yang sangat baik bagi eksport halal sebanyak 63.8 peratus yang dicatatkan pada tahun lepas menunjukkan peluang yang terjamin kepada PKS dan penggiat industri Malaysia.

“Sektor yang semakin berkembang ini mendorong mereka untuk memanfaatkan platform e-dagang rentas sempadan seperti Alibaba.com bagi mempromosikan rangkaian produk dan perkhidmatan Malaysia dengan berkesan kepada khalayak global,” katanya.

Selain permintaan tinggi terhadap eksport produk halal, laporan itu turut menyatakan bahawa Malaysia telah dikenal pasti sebagai pasaran pembekal yang unggul bagi produk halal berikutan proses pensijilan negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Langkah ini menghasilkan peningkatan kualiti dan reputasi bagi produk halal Malaysia, sekali gus menjadi buruan pengguna di seluruh dunia.

Ketua  Alibaba.com bagi Asia Tenggara Roger Luo berkata Malaysia mempunyai kepentingan yang besar sebagai rakan kongsi utama dalam pelan hala tuju pembangunan e-dagangnya kerana mempunyai pengaruh yang kukuh dalam pasaran halal menerusi rangkaian meluas produk dan persekitaran mesra eksport.

“Dengan sokongan daripada MATRADE sebagai rakan kerjasama kami sejak sekian lama, kami berbangga memainkan peranan penting untuk menggalakkan landskap e-dagang yang berkembang maju di negara ini.

“Kami kekal komited untuk membantu meningkatkan kebolehlihatan sektor produk halal Malaysia secara dalam talian, menjadikan negara ini mendapat banyak perhatian daripada pembeli global yang mencari produk halal premium,” katanya.

Ketua Pembangunan Perniagaan L.K.Tee Enterprise Sdn Bhd Nicholas Tee berkata syarikat itu telah meningkatkan jualan eksport produk halal daripada lapan peratus kepada 45 peratus daripada jumlah jualannya.

Sebagai antara pembekal yang disahkan di Pavilion Halal dalam talian, beliau berkata kerjasama dengan Alibaba.com sejak 2008 telah membantu syarikat untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya di seluruh dunia.

“Pavilion Halal dalam talian menyediakan kami platform khas untuk mempamerkan produk kami yang diperakui halal kepada khalayak global, menarik pelanggan daripada pelbagai pasaran, khususnya yang mencari produk halal,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.