BNPL Jadi Jerat Hutang Golongan Muda

Skim pembiayaan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dilihat sebagai satu kemudahan kewangan moden yang menawarkan transaksi pantas dan fleksibel, namun berpotensi menjadi jerat hutang sekiranya disalah guna, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, BNPL pada asasnya adalah platform yang baik kerana memberi kemudahan mendapatkan barangan secara mudah, cepat dan berkesan dari segi aliran tunai.

Namun katanya, manfaat terbabit hanya boleh dinikmati oleh pengguna yang mempunyai disiplin kewangan kukuh, terutamanya dalam mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah.

“BNPL sangat sesuai untuk golongan muda yang berdisiplin dalam perbelanjaan dan perancangan kewangan.

“Sebaliknya, bagi mereka yang tidak mengawal tabiat berbelanja, skim ini boleh menyebabkan pengguna terperangkap dalam kitaran hutang yang sukar diputuskan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Laporan Harian Metro mengenai beban hutang memudaratkan apabila skim BNPL berpotensi menjadi ‘jerat kewangan baharu’ khususnya kepada ratusan ribu golongan muda negara ini.

Menurutnya, risiko utama berlaku apabila perbelanjaan pengguna melebihi pendapatan boleh belanja, sekali gus menyebabkan aliran tunai defisit.

Beliau berkata, dalam situasi ini, golongan muda bukan lagi pengguna bijak sebaliknya menjadi sasaran jangka panjang penyedia platform BNPL yang meraih keuntungan daripada kegagalan pengguna melangsaikan hutang dalam tempoh ditetapkan.

Mengulas tanda awal seseorang berada dalam ‘zon bahaya’ beban hutang, beliau menjelaskan antaranya ialah apabila perbelanjaan kerap melangkaui kemampuan pendapatan isi rumah dan lebih tertumpu kepada barangan kehendak berbanding keperluan asas.

“Tanda lain termasuk bayaran hutang yang hanya dibuat pada kadar minimum, kelewatan bayaran melebihi dua bulan berturut-turut serta tindakan ekstrem seperti meminjam daripada rakan, saudara atau ‘ah long’, malah mencagarkan aset bernilai seperti emas, kenderaan dan harta milik keluarga,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tawaran BNPL yang semakin agresif tanpa tapisan ketat dan berpandangan kawal selia lebih tegas wajar dilaksanakan bagi melindungi pengguna muda.

“Kadar caj, keuntungan dan syarat pembayaran perlu dipantau supaya tidak membebankan pengguna serta bersifat adil dan mampu dilunaskan.

“Selain itu, individu yang mempunyai skor kredit lemah seharusnya ditapis dan dikecualikan daripada skim BNPL,” katanya.

Katanya, tanpa kawalan yang berkesan, BNPL berisiko menjadi jerat kewangan baharu kepada golongan muda yang baru memulakan kehidupan dan membina kestabilan kewangan.

Sementara itu, data semasa menunjukkan transaksi BNPL di negara ini mencecah RM9.3 bilion membabitkan lebih 102 juta transaksi setakat separuh pertama tahun ini.

Jumlah pinjaman tertunggak direkodkan sekitar RM4.2 bilion dengan RM147.7 juta daripadanya berada dalam kategori lewat bayar.

Lebih membimbangkan, kira-kira 70 peratus pengguna BNPL terdiri daripada individu berpendapatan RM5,000 ke bawah manakala 40 peratus berusia bawah 30 tahun.

–Harian Metro

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.