BOH Menyambut Ulang Tahun Ke-95

Meraikan Ummph! BOH dengan janji untuk memupuk Kelestarian (SustainabiliTEA) dan Komuniti (CommuniTEA)

Petaling Jaya, 17 Julai 2024 – Suasana terasa meriah bersama BOH, pengeluar teh terbesar di Malaysia dan penanam teh yang dipercayai dari Cameron Highlands, yang meraikan Ulang Tahunnya yang ke-95. Sambutan komuniti yang meriah dianjurkan di 1Utama di Petaling Jaya. Bertemakan ‘95 dan Bru Untuk Masa Hadapan’, sambutan ini akan berlangsung sehingga Ahad, 21 Julai.

Perjalanan jenama BOH selama 95 tahun bermula pada tahun 1929 apabila pengasas BOH, J.A. Russell, bersama dengan penanam veteran A.B. Milne, membangunkan ladang teh pertama di Malaya, iaitu Ladang BOH, di Cameron Highlands. Ia sewaktu Zaman Kemelesetan Besar di mana kemelesetan ekonomi telah bermula. Walaupun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangat mahupun pandangan jauh Russell kerana beliau melihat wujudnya peluang besar dalam industri teh.

Nama BOH berasal daripada ‘Bohea’, bukit di Wilayah Fujian, yang terkenal dengan gred teh premium dalam perdagangan awal  teh di China.

Lantas, bermulalah sebuah legasi teh yang kukuh bertapak di Malaysia.

BOH, di bawah kepimpinan dan visi mantan Pengerusi, mendiang Datuk Tristan Russell, telah memodenkan seni pembuatan teh dengan melabur dalam teknik dan infrastruktur inovatif yang meninggalkan impak perubahan terhadap operasi BOH. Sebagai sebahagian daripada sambutan ke-95 BOH, teh edisi terhad, Tristan’s Reserve, telah dicipta khas sebagai penghormatan istimewa buat insan ini. 

Kini, 95 tahun setelah ia ditubuhkan, BOH terus berdiri teguh dalam pasaran. Sebagai salah satu daripada beberapa syarikat teh yang masih mengawal sepenuhnya keseluruhan proses pembuatan hingga ke pemasaran teh, BOH menghidangkan teh paling segar kepada pengguna, dari ‘ladang teh ke cawan teh’.

Dalam ucapannya di sambutan komuniti, Caroline Russell, cucu J.A. Russell dan kini Pengerusi Eksekutif BOH, mengucapkan terima kasih kepada komuniti atas sokongan dan kepercayaan luar biasa yang diberikan kepada BOH sepanjang dekad ini.

“Tatkala kita maju melangkah ke hadapan, BOH sentiasa berpandangan jauh dan di samping terus prihatin untuk memelihara kelestarian (sustainabiliTEA) kami. Malah kami terus memupuk hubungan kami bersama komuniti, dalam usaha kami untuk membina masa hadapan yang lebih baik berteraskan visi Bru Untuk Masa Hadapan (Brewing for Tomorrow). Ini membentuk sebahagian daripada jati diri BOH.

“Harapan kami yang tulus ialah komuniti kami, baik hari ini mahupun hari esok, dapat membina hubungan erat dan ikatan mesra ketika mereka berkongsi pengalaman, menambah baik kesejahteraan mereka dan menikmati pelbagai detik Ummph bersama. Secawan teh BOH dapat membantu menghubungkan kita dengan diri kita sendiri, rakan-rakan dan keluarga kita, dan juga Bumi,” kata Caroline.

Menyelusuri tahun-tahun perjalanannya, BOH telah mengembangkan rangkaian tehnya untuk memenuhi citarasa pelanggan di dalam dan di luar negara. Pilihan ini turut menampilkan teh hitam, teh dari satu ladang, teh hijau, teh ais, teh campuran segera, teh herba dan buah-buahan, serta teh berperisa.

Berfokuskan teh untuk masa hadapan dengan gaya hidup yang lebih sihat, BOH baru-baru ini telah mengeluarkan Imunitea, teh susu segera perisa Hazelnut pertama di Malaysia yang diperkaya dengan Wellmune®, beta glucan semulajadi terkemuka yang telah terbukti secara klinikal membantu menguatkan sistem imun.

Hari ini, BOH mempunyai tiga ladang teh di Cameron Highlands yang meliputi 1,000 hektar tanah pertanian yang subur. Secara kolektif, ladang teh BOH, Fairlie, dan Sungei Palas menghasilkan 2.8 juta kilogram teh setiap tahun. Secara keseluruhannya, 5.0 juta cawan teh BOH dihidangkan setiap hari.

Mengulas bagaimana BOH telah mengintegrasikan kelestarian ke dalam keseluruhan operasinya, Jason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, menjelaskan, “Sebagai penanam teh yang bertanggungjawab, kami sentiasa berusaha untuk memahirkan lagi kepakaran kami dalam seni pembuatan teh. Seiring dedikasi ini, kami juga nekad untuk beroperasi tanpa merosakkan alam sekitar dan yang lebih penting, untuk menjana semula alam sekitar. Oleh itu, kami telah memulakan pelbagai inisiatif di seluruh operasi kami di mana semua ini menyokong janji BOH untuk terus mencorak masa depan yang lebih baik, sambil mengekalkan komitmen kami terhadap Kelestarian (SustainabiliTEA) dan Komuniti (CommuniTEA).

“Kira-kira 45% daripada tanah kita di Cameron Highlands terpelihara sebagai hutan. Ekosistem yang seimbang ini memelihara biodiversiti dan integriti tanah..

“Antara amalan pertanian bertanggungjawab kami ialah dengan memilih hanya teh yang terbaik untuk penanaman, menanam tumbuhan anti-perosak untuk mengurangkan kebergantungan kepada racun serangga dan menanam rumput untuk menguatkan lagi tanah bagi mencegah hakisan.

“Selain itu, di pusat-pusat teh kami yang juga merupakan destinasi pelancongan popular, kami menggunakan straw kertas biodegradasi dan beg oksodegradasi manakala sisa makanan dikomposkan menjadi baja.

“Kami secara beransur-ansur menukar semua pembungkusan kami kepada bahan yang boleh dikitar semula dan terbiodegradasi serta menggunakan kertas yang disahkan oleh Forest Stewardship Council Hutan (FSC) yang diperolehi dari hutan yang diurus dengan bertanggungjawab.”

“Panel solar yang dipasang di kilang-kilang kami juga menyediakan tenaga solar untuk mengurangkan kebergantungan kami kepada bahan bakar fosil dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida,” katanya.

Salah satu acara utama sambutan ulang tahun ke 95 ialah inisiatif BOH Wish Tree. Komuniti dijemput untuk menulis buah fikiran mereka tentang bagaimana mereka boleh bersama-sama BOH dalam mencorak masa depan yang lebih baik untuk Bumi kita. 

Untuk setiap ‘wish card’ yang diterima, BOH akan menyumbangkan RM 20 kepada Pusat Pemuliharaan & Penyelidikan Hutan Hujan Tropika (TRCRC) untuk menyokong usaha-usaha Biodiversiti Bandar. BOH menjangkakan untuk mengumpul 1,000 kad dan akan membuat sumbangan keseluruhan sebanyak RM 20,000 untuk membiayai pengumpulan kira-kira 500 anak benih baru. Anak benih ini akan disemai oleh TRCRC untuk aktiviti menanam pokok di masa depan, demi meningkatkan biodiversiti bandar.

Para peserta juga berpeluang untuk menghadiri bengkel pendidikan dan praktikal ‘Caring for Our Forestyang ditaja sepenuhnya. Ini akan diadakan di Elmina Rainforest Knowledge Centre TRCRC di Shah Alam pada Sabtu, 5 Oktober 2024, sempena Hari Habitat Sedunia 2024. Mereka juga berpeluang untuk melaksanakan pemindahan anak benih.

Sementara itu, duta jenama BOH, Fazura, telah melancarkan koleksi tudung terbaru Tudung Fazura, yang direka khas untuk Ulang Tahun ke-95 BOH. Sementara itu, Azira Shafinaz pula akan membuat penampilan pada 20 Julai dengan persembahan cukup istimewa.

Pada masa yang sama, terdapat pelbagai aktiviti dan permainan menarik dianjurkan untuk penglibatan komuniti. Jadi, ayuh kunjungi beramai-ramai dan sertai keseronokan ini. Ketahui lanjut bagaimana BOH melanjutkan usaha supaya dapat bru untuk masa hadapan. Mari kita mencorak masa depan yang lebih cerah.

Ikuti laman web BOH bohtea.com dan platform media sosial – Facebook, Instagram and  TikTok.

Previous ArticleNext Article

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.