Pembiayaan Bank Islam Malaysia Dijangka Meningkat Ke 50 Peratus Dalam Dekad Akan Datang

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — Pembiayaan bank Islam dijangka berkembang kepada hampir 50 peratus daripada jumlah pembiayaan bank-bank Malaysia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, kata S&P Global Ratings.

Pengarah Penarafan Institusi Kewangan S&P Global Ratings, Nikita Anand menjelaskan kewangan Islam Malaysia adalah lebih menjanjikan, dengan pertumbuhan kukuh dijangka dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

“Jangkaan kami ialah pertumbuhan lapan peratus setiap tahun dalam pembiayaan Islam iaitu dua kali ganda daripada peringkat sektor.

“Pada tahap ini, kebanyakan pertumbuhan datang daripada bank Islam dan bukannya bank konvensional berdasarkan kepada permintaan yang mantap bagi produk serta perkhidmatan patuh Syariah. Majoriti bank-bank besar mempunyai strategi Islamik, yang mana mereka menawarkan produk patuh Syariah,” katanya semasa webinar S&P Global Rating mengenai Bank-bank Islam Asia Pasifik dan Tinjauan Pasaran Sukuk hari ini.

Nikita berkata kewangan Islam di Malaysia merangkumi banyak insentif cukai.

“Bagi pembiayaan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), terdapat juga insentif kawal selia yang sepatutnya melonjakkan pengeluaran instrumen berkaitan kemampanan.

“Insentif ini termasuk potongan cukai sehingga 2025 dan penyediaan geran bagi menampung kos semakan luaran untuk pembiayaan ESG,” katanya.

Nikita menambah kebanyakan bank besar Malaysia mempunyai sasaran ESG yang akan dicapai menjelang 2025-2026.

“Kebanyakan daripada sasaran ini menyasarkan sekitar 10 hingga 11 peratus daripada jumlah portfolio pinjaman dan pembiayaan mereka.

“Pembiayaan ini disalurkan kepada sektor keutamaan, dengan PKS menjadi penerima terbesar. Selain itu, sejumlah besar pembiayaan akan disalurkan ke arah tenaga boleh baharu dan bangunan hijau,” katanya.

Begitu juga, pasaran sukuk Malaysia dilihat agak berdaya tahan dan teguh dalam konteks domestik sejak setengah tahun lalu dan akan berterusan.

“Pasaran sukuk Malaysia agak luas dan mendalam. Pelbagai jenis penerbit mempunyai akses serta mampu mengumpul dana secara kerap pada kadar yang sangat kompetitif dalam tempoh yang panjang.

“Terdapat banyak sokongan daripada pihak berkuasa, yang telah membantu Malaysia membangunkan ekosistem kewangan yang begitu mendalam dan bertenaga,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA