Dasar Bayaran Balik Kepada Penumpang Perlu Libatkan Pihak Berkepentingan, Pengendali Lapangan Terbang – Tony Fernandes

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Peraturan bayaran balik baharu oleh Kementerian Pengangkutan harus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pengendali lapangan terbang bukan hanya syarikat penerbangan. kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Pada 28 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang, berkuat kuasa 2 September depan.

Bagaimanapun, Fernandes berkata peraturan itu harus mempunyai beberapa klausa pengecualian kerana kelewatan mungkin berlaku disebabkan oleh pembekal, kawalan trafik dan gangguan teknologi maklumat (IT) dan faktor-faktor lain.

“Saya berpendapat ia adalah mudah untuk menyalahkan syarikat penerbangan…terdapat banyak isu, antaranya masalah Crowdstrike baru-baru ini menyebabkan gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global,” katanya.

Gangguan sistem teknologi maklumat (IT) terbabit dikaitkan dengan firma teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat, CrowdStrike Holdings Inc yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan penerbangan pertama AirAsia ke Sabah dan Sarawak dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (sebelum ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang), dekat sini, hari ini.

Fernandes berkata wujud isu rantaian bekalan yang besar dan semua syarikat penerbangan mengalami masalah kebolehpercayaan enjin yang lemah.

“Bagaimanapun, kami tidak perlu diberitahu perkara itu (bayaran balik kepada penumpang) kerana kami sudah pun melakukannya. Justeru adalah wajar dan adil untuk penumpang membuat tempahan semula. Saya akan merasakan perkara yang sama tetapi menjalankan syarikat penerbangan adalah sukar, kami bergantung kepada pembekal untuk memberikan kami enjin dan alat ganti…sebagai contoh,” katanya.

Fernandes berkata gangguan IT global telah menyebabkan syarikat penerbangan kehilangan berjuta-juta dalam pendapatan dan ia telah mencetuskan huru-hara dalam kehidupan orang ramai akibat kegagalan sistem.

Beliau berkata syarikat penerbangan memerlukan jawapan dan pampasan, sehubungan itu syarikat penerbangan tambang rendah itu telah berunding dengan peguam Amerika Syarikat mengenai perkara itu.

Bulan lepas, institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global yang dikaitkan dengan CrowdStrike.

Sementara itu, Fernandes meluahkan keyakinan mengenai keputusan suku ketiga kumpulan itu, memandangkan ringgit telah mengukuh secara berterusan.

“Kerugian bagi suku kedua kebanyakannya disebabkan oleh perakaunan dan pertukaran asing. Bagaimanapun, melihat kepada pergerakan ringgit yang lebih baik sekarang, kami positif mengenai suku seterusnya dan juga pada tahun depan (2025) kerana kebanyakan pesawat akan kembali beroperasi,” katanya.

Fernandes berkata kepulangan AirAsia (operasi penerbangan) ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dijangka meningkatkan ketersambungan dengan ketara dalam Malaysia dan seluruh rantau, dan syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah penumpang domestiknya bermula dengan empat penerbangan pergi balik setiap hari ke Sabah dan Sarawak.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/