Kerugian Akibat Scam Berjumlah RM203.33 Juta Setakat Mei 2024 – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) — Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima sebanyak 37,002 panggilan mangsa scam (penipuan) dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM203.33 juta setakat Mei 2024. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejak penubuhannya pada 12 Oktober 2022 sehingga Mei 2024, jumlah keseluruhan panggilan yang diterima daripada orang ramai adalah sebanyak 95,094. 

“Kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak 10,649 bagi kes kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

“Manakala, 74 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah dibuka melibatkan pembekuan 637 akaun yang berjumlah RM72.38 juta,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu sejauh mana keberkesanan NSRC dalam menangani jenayah penipuan dalam talian dan mengesan modus operandi ‘scammer’.

Tambahnya, NSRC dan SKMM juga telah mengambil tindakan sekatan nombor telefon yang digunakan oleh scammers. 

Setakat Mei 2024, sebanyak 131 nombor talian telah ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti penipuan dan 112 nombor talian yang meragukan telah disekat.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MINI Malaysia Lancar 4 Varian Model Baharu Dengan Harga Bermula Daripada RM193,888

PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) — MINI Malaysia, jenama di bawah BMW Malaysia Sdn Bhd melancarkan empat varian model baharu dalam rangkaian Keluarga MINI Baharu, dengan harga bermula daripada RM193,888 seunit.

Jenama automotif premium kompak itu berkata barisan model baharu tersebut menampilkan dua model elektrik sepenuhnya dengan MINI Cooper SE membuat penampilan elektrik sepenuhnya yang pertamanya di Malaysia.

Selain Cooper SE, tiga model baharu yang lain iaitu MINI Countryman SE ALL4, MINI John Cooper Works Countryman ALL4, dan MINI Cooper S telah diperkenalkan sewaktu pameran Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lepas.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Benjamin Nagel berkata pelancaran Keluarga MINI Baharu akan menunjukkan pelbagai produk yang ditawarkan oleh MINI.

“Produk kami semakin berkembang. Kami mempunyai MINI Cooper dan kini MINI Countryman, dan ia semakin meluas dan akan menarik lebih ramai pelanggan Malaysia.

“Laluan pertumbuhan syarikat akan diteruskan dengan penawaran produk yang lebih meluas, memenuhi semua keperluan daripada enjin petrol kepada kenderaan elektrik sepenuhnya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden MINI Rantau Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Florian Kuenstner berkata pengenalan model baharu ini berperanan sebagai momentum bagi syarikat untuk bergerak ke hadapan di peringkat tempatan dan global pada tahun-tahun yang akan datang.

Kuenstner berkata tahun lepas, MINI berjaya menjual lebih daripada 295,000 unit di seluruh dunia. 

Di Malaysia, lebih daripada 1,750 unit dijual pada 2023, menunjukkan pertumbuhan yang mengagumkan sebanyak 42 peratus tahun ke tahun, katanya.

Model Keluarga MINI Baharu boleh didapati bermula hari ini, dan pelanggan boleh membuat tempahan awal melalui pengedar sah MINI Malaysia di negara ini.

— BERNAMA