Lazada Lancar Proposisi Jenama Baharu Dengan Siri ‘Tambah Ke Troli. Tambah Ke Hidup’, LazLive+

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) — Lazada Group mengumumkan pelancaran proposisi jenama baharunya, Tambah ke Troli. Tambah ke Hidup. bersama LazLive+, siri interaktif penstriman langsung yang dikurasikan khas dengan menampilkan  pakar-pakar terkenal, tulen dan dikagumi ramai  yang bakal berkongsi petua, kemahiran dan idea menarik dengan para pelanggan.  

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata pembeli bukan lagi hanya membeli produk untuk kegunaan berfungsi dan proposisi Tambah ke Troli. Tambah ke Hidup. mencerminkan kepercayaan jenama itu bahawa e-dagang mampu menambah nilai kepada kehidupan pengguna dengan memberi inspirasi kepada hubungan yang bermakna dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan pembelian mereka.

Kempen jenama terbaharu Lazada akan berlangsung di seluruh Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bermula hari ini, dengan pelancaran filem 30 saat, iklan ‘out-of-home’, siri visual utama, kandungan sosial yang melibatkan beberapa pempengaruh, pengaktifan media sosial setempat, dan paparan kreatif yang lain.

Ketua Pegawai Pemasaran Lazada Group Marcus Chew berkata sambil populasi di seluruh Asia Tenggara ‘tambah ke troli’, ia ingin menjadi jambatan yang menghubungkan para pelanggan dengan peluang dan detik-detik yang mampu menambah nilai ke dalam kehidupan mereka.

“Bagi kami, satu contoh ialah apabila pelanggan membeli kuali; ia bukan hanya tentang pembelian produk tersebut, tetapi lebih kepada hasrat untuk memasak dan menghidangkan makanan yang lazat demi orang tersayang. Begitu juga apabila pelanggan membeli tali skip lompat tujuan mereka ialah untuk menjadi lebih cergas dan sihat.

“Sama ada ia satu hobi yang baharu, atau bertujuan untuk mengasah kemahiran, atau menjadikan rumah lebih selesa, atau mengubah rupa dengan stail baharu, setiap produk di platform Lazada berpotensi menjadi pencetus bagi meningkatkan keupayaan dan menambah nilai kepada kehidupan para pelanggan,”  katanya. 

Sementara itu episod LazLive+ menghubungkan para pelanggan dengan pakar dan idea menarik melalui demonstrasi masakan, petua stail penggayaan, tip untuk ‘gaming’, motivasi supaya lebih sihat dan cergas, serta banyak lagi.

Bermula 25 hingga 29 Julai, para pengguna boleh menyaksikan siri tersebut pada 9 malam hingga 10 malam setiap hari untuk berinteraksi dengan ‘key opinion leaders’ (KOL) tempatan menerusi undian dan ruang sembang secara langsung.

Antara KOL seperti chef selebriti Malaysia, Sherson Lian yang pastinya dapat menambahkan citarasa ke dalam kehidupan, pakar kecantikan Tasnim Shah yang diharapkan dapat menambah keceriaan, juara ‘gaming’ Jaasuzuran yang bersedia untuk membangkitkan cabaran kembara dalam hidup, pakar kecergasan Jordan Yeoh yang bakal meningkatkan daya kecerdasan, dan kumpulan pop sensasi kegemaran ramai iaitu Dolla yang bakal membawakan irama muzik ke dalam kehidupan.

Di samping tawaran eksklusif dan beraneka hiburan yang dibawakan oleh Lazada ke hujung jari, para pelanggan juga boleh mencipta detik-detik bermakna, tidak kira kecil mahupun besar, yang pastinya dapat memperkayakan dan menceriakan kehidupan mereka serta insan yang tersayang.

“Lazlive+ juga mampu menjadi sumber inspirasi kepada para pelanggan dengan gabungan unik paparan ‘shoppertainment’ dan ‘shop-spiration’, yang membolehkan para pelanggan menerokai dan merangsang minat, serta mencetuskan kemungkinan baharu dalam kehidupan mereka, lantaran inspirasi dan idea yang diilhamkan oleh pakar-pakar tersebut,” kata Chew.

— BERNAMA

Berita asal:

https://thekapital.my/lazada-lancar-proposisi-jenama-baharu-dengan-siri-tambah-ke-troli-tambah-ke-hidup-lazlive/

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.