Malaysia Boleh Perkukuhkan Sistem Pencen Melalui Skim Pencen Universal

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Malaysia boleh memperkukuhkan sistem pencennya dengan mengguna pakai skim pencen yang dibiayai cukai dengan kadar rata universal.

Skim pencen universal itu dibiayai oleh hasil daripada cukai dan menjamin semua rakyat berhak menerima pendapatan minimum apabila mencapai umur persaraan.

Pakar Polisi Sosial Prinsipal Development Pathways Ltd Stephen Kidd berkata pencen universal bermaksud apabila sesorang mencapai umur persaraan, mereka akan menerima pencen pada kadar yang berpatutan.

Beliau berkata, penentuan kadar pencen yang sama untuk semua orang bergantung kepada kesediaan rakyat untuk membayar cukai pada kadar tertentu yang ditetapkan.

“Ia (dari segi umur persaraan) membolehkan pencen itu (pada awal pelaksanaan) diberikan pada mereka yang berusia lebih tinggi sedikit.

“Dan kemudiannya diturunkan secara berperingkat-peringkat, katakan ia bermula pada usia 75 tahun atau 70 tahun dan kemudian dikurangkan had umur dalam tempoh beberapa tahun pelaksanaan sehingga kepada mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Apabila ditanya tentang pembaharuan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Kidd berkata mengambil contoh Sweden, rakyatnya menikmati pencen universal bersama faedah kanak-kanak universal dan mereka gembira membayar cukai kerana akan mendapat sesuatu sebagai balasan.

“Orang ramai akan menganggap adalah wajar untuk membayar cukai yang lebih kerana anda hidup dalam masyarakat yang lebih baik.

“Itulah sebabnya di negara lain yang mana anda mempunyai (kadar) cukai yang lebih tinggi, contohnya, 45 hingga 50 peratus, orang ramai sangat gembira untuk membayarnya (cukai).

“Mereka tidak merungut kerana mereka mendapat perkhidmatan yang bertaraf dunia sebagai balasannya,” tambah beliau.

Semasa Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute yang diadakan pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula GST.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Lepas Bersara, Nak Buat Apa Sebenarnya?

Majoriti pembaca MajalahLabur hari ini berumur 35 tahun ke atas.
Kita masih sibuk kerja, urus anak sekolah, jaga mak ayah, tapi jauh di sudut hati kita dah mula terfikir juga:

“Macam mana hidup aku bila dah bersara nanti…?”

Zaman sekarang umur 60 bukan tua sangat pun. Badan mungkin tak segagah dulu, tapi akal dan tenaga masih banyak boleh diguna.

Masalahnya ramai yang tak plan langsung apa nak buat lepas bersara.
Bila tiba-tiba tak perlu kerja, tak ada mesyuarat, tak ada KPI, hidup boleh rasa kosong.

Sebenarnya fasa lepas bersara boleh jadi masa paling indah jika dikurniakan kesihatan, masa dan kewangan yang kukuh. Jadi, ini beberapa idea aktiviti bermakna yang boleh diisi bila tiba masanya nanti.

1. Free Tuition untuk Anak Yatim & Asnaf

Ilmu yang kita ada tak akan habis bila dikongsi. Ramai anak keluarga B40 yang perlukan bimbingan asas Matematik atau Bahasa Inggeris. Tak perlu buka pusat tuisyen pun. Boleh buat di rumah atau pusat komuniti.

2. Cuci Telekung & Sejadah di Surau

Kerja kecil, pahala besar. Surau kampung pun selalu kekurangan tenaga sukarela bab ni. Sambil beramal, sambil berjumpa kawan baharu.

3. Belajar Sesuatu Yang Baru

Contohnya kelas menjahit, reka grafik, bahasa asing atau kelas masakan Jepun. Sebab “umur bukan alasan kalau jiwa masih muda”.

4. Sertai Skuad Urus Jenazah Tak Dituntut

Kerja ni tak ramai sanggup buat, tapi sangat tinggi nilainya. Selain membantu masyarakat, kita juga belajar tentang erti kematian dan rasa syukur.

5. Buat Hobi Jadi Sumber Rezeki

Contohnya mencanting batik, melukis, menjahit atau membuat sabun sendiri. Zaman sekarang semua boleh jual online, dari Shopee sampai TikTok Shop.

6. Jual Nasi Lemak Sambil Bina Silaturrahim

Ramai makcik pakcik bersara yang “kembali muda” bila berniaga kecil-kecilan.
Bukan soal nak buat duit sangat tapi rasa hidup kembali bermakna bila orang suka masakan kita.

7. Berkongsi Cerita di Media Sosial

Zaman dulu orang tulis diari, sekarang boleh kongsi kisah hidup di TikTok. Cerita zaman sekolah, kerja, kahwin atau jatuh bangun hidup. Semua tu ilmu dan inspirasi.

8. Buat Projek Kucing

Rescue, jaga dan rawat kucing jalanan. Kucing ni terapi semula jadi. Cuma pastikan bajet makanan tak lebih dari dividen Tabung Haji.

9. Travel Dalam Malaysia

Bila muda sibuk cari rezeki, bila tua bolehlah “claim balik masa.” Tak perlu ke luar negara pun. Naik ETS ke utara atau jalan-jalan pantai timur pun dah cukup bahagia.

10. Sertai NGO & Misi Bantuan

Ramai organisasi memerlukan sukarelawan tetap, dari misi banjir sampai lah program pendidikan luar bandar. Boleh pilih ikut minat dan masa.

Nak hidup tenang masa bersara, duit bukan segala-galanya tapi segalanya perlukan duit.
Bila kewangan kukuh, kita bebas memilih untuk berbakti, berkarya atau berehat tanpa risau hutang, bil, atau komitmen.

Merancang kewangan hari ini bukan untuk jadi kaya semata-mata. Tapi supaya nanti bila bersara, kita boleh hidup dengan hati yang lapang.