Malaysia, Indonesia Lancar Jalinan Pembayaran Kod QR Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) mengumumkan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod respons pantas (QR) rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia.

Pelancaran ini akan membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan mengimbas kod QR Kod Standard Pembayaran Nasional (QRIS) atau DuitNow QR.

Kedua-dua pihak dalam kenyataan bersama hari ini berkata pelancaran komersial jalinan itu adalah susulan kejayaan fasa rintis jalinan yang diumumkan pada 27 Jan 2022.

Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata langkah ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi di antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan.

“Jalinan ini juga akan membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan.

“Jalinan antara negara Asean kini semakin kukuh. Lebih banyak pengguna dari Malaysia dan Indonesia akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang selamat, lebih lancar dan lebih cekap untuk membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan,” katanya.

Menurut Nor Shamsiah jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara Asean yang akan menyumbang ke arah Asean yang lebih teguh dan membangunkan lagi rantau ini sebagai pusat pertumbuhan.

Gabenor BI, Perry Warjiyo pula berkata jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Indonesia dan Malaysia merupakan suatu bukti nyata kerjasama Kesalinghubungan Pembayaran Serantau yang kukuh untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif, khususnya memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. 

“Jalinan ini selaras dengan inisiatif  Pelan Hala Tuju G20 untuk Menambah Baik Pembayaran Rentas Sempadan dan merupakan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi Asean pada 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Rangka Tindakan Sistem Pembayaran Indonesia 2025,” katanya.

Warjiyo berkata jalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini. 

“Jalinan ini juga akan mengekalkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan,” katanya.

Jalinan pembayaran QR ini akan mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara Indonesia dengan Malaysia serta menyokong pemulihan ekonomi selepas pandemik yang lebih inklusif dan kukuh. 

Kejayaan pelancaran jalinan pembayaran ini adalah hasil kerjasama erat industri yang diterajui oleh BI dan BNM, yang bekerjasama rapat dengan Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia (termasuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada pengendali sistem pembayaran di Indonesia), PayNet4 dan institusi kewangan peserta.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak mengalu-alukan penyertaan daripada lebih banyak institusi kewangan untuk memperkembang ekosistem pembayaran rentas sempadan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.