Merdeka Ini, Bebaskan Diri Dari Perangkap Penipuan Pihak Ketiga

Sindiket penipuan kewangan kini menjadi semakin kreatif dengan menggunakan pelbagai taktik lebih canggih bagi memperdaya mangsa sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit. Modus operandi yang digunakan oleh scammer terlalu banyak untuk memperdaya mangsa termasuklah memperkenalkan diri sebagai pegawai pihak berkuasa, pegawai bank, pegawai mahkamah atau agensi tertentu bagi mendapatkan maklumat peribadi seseorang dengan cara yang mudah. Terkini, sindiket jenayah kewangan ini menggunakan pendekatan baharu untuk memperdaya pemegang akaun bank supaya mendedahkan butiran perbankan mereka atau memasukkan perisian hasad/perosak (malware) ke dalam peranti mereka.

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan khidmat pengurusan hutang, juga tidak terlepas menjadi ‘modal’ golongan tidak bertanggungjawab ini. Sudah seringkali AKPK menerima aduan tentang adanya pihak ketiga yang mengaku mewakili AKPK dan mengenakan bayaran untuk perkhidmatannya. Sesungguhnya, AKPK tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga dan mengenakan bayaran bagi setiap perkhidmatan. Justeru, harus diingatkan sekiranya terdapat individu yang mendakwa dirinya sebagai wakil AKPK yang dilantik oleh pihak syarikat atau meminta bayaran atas khidmat yang diberikan, jangan mudah terpedaya kerana itu adalah taktik yang selalu digunakan oleh scammer untuk menipu wang tanpa disedari oleh mangsa.

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

AKPK telah menerima banyak laporan dan maklum balas daripada pelanggan yang mendakwa yang mereka telah didekati oleh individu tertentu yang mendakwa sebagai wakil atau ejen AKPK dan telah ditawarkan dengan bantuan untuk menyusun semula hutang mereka melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK. Sesetengah pelanggan cukup bijak untuk menyemak kesahihan perkhidmatan terlebih dahulu dan oleh itu ia dapat menghalang mereka daripada ditipu oleh ejen ini. Akan tetapi masih ramai lagi yang tidak bernasib baik dan telah mengalami kerugian. Pelanggan bukan sahaja kerugian dan kehilangan wang yang sedikit, malah sehingga mencecah ribuan ringgit. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, itulah gambaran bagi mereka yang sedang menghadapi masalah kewangan dan kesulitan membayar hutang, tetapi ditipu pula oleh pihak ketiga yang meminta bayaran upah untuk berurusan dengan AKPK. AKPK sebenarnya telah menjalankan pelbagai usaha yang berterusan bagi menguar-uarkan penipuan ini kepada orang ramai termasuklah di media sosial bagi menyedarkan orang ramai tentang kehadiran pihak ketiga yang meminta bayaran untuk perkhidmatan seperti yang disediakan oleh AKPK.

Ketahui Modus Operandi

Modus operandi yang sering digunakan oleh ejen ini adalah dengan membuat panggilan telefon atau menghantar SMS kepada pelanggan/bakal pelanggan bagi menawarkan perkhidmatan mereka. Bagi menggambarkan bagaimana ejen pihak ketiga palsu ini menjalankan aktiviti penipuan mereka, kami kongsikan dua kes sebenar untuk dijadikan pengajaran dan panduan bagi memerdekakan diri daripada modus operandi penipuan pihak ketiga ini.

Untuk kes pertama yang berlaku beberapa tahun yang lalu, seorang wanita telah diberikan pinjaman bernilai RM200,000 daripada penyedia kredit tetapi tidak lama selepas itu beliau mula mengalami masalah kewangan dan menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman. Beliau dihubungi oleh seorang ‘perunding’ yang mendakwa dirinya daripada AKPK dan menawarkan diri untuk membantunya menyelesaikan hutangya dengan bayaran perkhidmatan sebanyak 10% daripada nilai pinjaman. Tertarik dengan janji bahawa masalah kewangannya akan berakhir, beliau bersedia untuk membayar yuran perkhidmatan seperti yang dipersetujui. Mujurlah salah seorang saudaranya telah memberitahu mengenai perkhidmatan percuma AKPK dan selepas membuat pertanyaan dan semakan terus dengan pihak AKPK, beliau segera mendaftarkan diri ke Program Pengurusan Kredit AKPK dan tindakan ini telah menyelamatkan dirinya daripada kerugian sebanyak RM20,000.

Dalam kes kedua yang berlaku baru-baru ini, seorang pelanggan menerima SMS yang menasihatinya untuk membuat pinjaman peribadi untuk menyelesaikan kesemua baki kad kreditnya yang tertunggak. Selepas beliau mendapat pinjaman peribadi dan menjelaskan baki kad kreditnya, beliau memohon had kredit yang lebih tinggi daripada bank dengan bantuan ‘ejen’ yang membantunya untuk membuat permohonan. Apabila permohonannya diluluskan, beliau memaksimumkan had kreditnya melalui tunai atas panggilan dan menggunakan semua kad kreditnya. ‘Ejen’ itu kemudiannya membantunya memohon dengan AKPK untuk mendaftar Program Pengurusan Kredit dan memberitahu bahawa program ini adalah pinjaman khas daripada Bank Negara Malaysia. Pelanggan malang itu, atau lebih tepatnya mangsa, telah membayar hampir RM20,000 kepada ejen tersebut sebagai bayaran perkhidmatan yang telah diberikan.

Perkhidmatan Percuma

Sebagai sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan secara PERCUMA kepada semua individu dan PKS, AKPK menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan individu yang mengaku sebagai ejen AKPK yang mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang sepatutnya boleh diperolehi secara percuma. AKPK ingin juga menasihati orang ramai untuk merujuk institusi kewangan yang sah dan badan berautoriti bagi mendapatkan perkhidmatan atau nasihat kewangan agar tidak mudah ditipu oleh pihak ketiga ini.

Mudah Sahaja Caranya

Sebenarnya, amat mudah untuk berurusan dengan AKPK. Bagi perkhidmatan nasihat kewangan serta penjadualan semula hutang isi rumah dan PKS, pelanggan mempunyai dua cara untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK. Cara yang pertama adalah melalui perjumpaan secara bersemuka dengan pegawai AKPK dimana pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 11 cawangan dan pejabat khidmat nasihat kewangan di seluruh negara (layari www.akpk.org.my untuk mengetahui lokasi cawangan dan pejabat kaunseling AKPK), atau pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan AKPK melalui pautan perkhidmatan dalam talian sehenti AKPK di services.akpk.org.my. Melalui laman web ini, pelanggan boleh mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

Perkhidmatan Lain Yang Disediakan

AKPK juga menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun PKS. Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan— semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka..

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada semua perkhidmatan AKPK, anda juga boleh melayari laman media sosial rasmi AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok. #AKPKSahabatKewanganAnd

Previous ArticleNext Article

Panduan Taraf Pemastautin Cukai (Tax Residency) Untuk Rakyat Malaysia Bekerja di Luar Negara

Malaysia amalkan sistem cukai berasaskan wilayah (territorial basis). Maksudnya, hanya pendapatan yang berpunca dari Malaysia yang dikenakan cukai.

  • Kalau gaji dibayar oleh majikan luar negara dan kerja dilakukan sepenuhnya di luar Malaysia tidak dikenakan cukai Malaysia.
  • Tapi kalau kerja luar negara dibayar oleh syarikat Malaysia, atau gaji dimasukkan ke akaun Malaysia ia boleh dianggap pendapatan berpunca dari Malaysiakena cukai.

Contohnya Faiz kerja dengan syarikat Malaysia, tapi dihantar ke luar negara selama 6 bulan untuk selesaikan projek. Faiz perlu lapor pendapatan di Malaysia sebab gaji masih berpunca dari Malaysia. Walaupun kerja di luar negara, status pemastautin dan sumber pendapatan masih memainkan peranan penting.

Dalam konteks percukaian, taraf pemastautin tak ada kena-mengena dengan pasport atau visa.

Apa yang LHDN nak tahu adalah berapa hari kaki anda jejak tanah Malaysia dalam setahun.

Ya, walaupun anda bekerja di Dubai, tapi kalau kerap balik makan nasi lemak dekat KLIA boleh jadi masih “pemastautin cukai” Malaysia.

Menurut Seksyen 7 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA 1967), taraf pemastautin cukai seseorang ditentukan oleh kehadiran fizikal di Malaysia, bukan kewarganegaraan. Maksudnya walaupun anda warganegara Malaysia, status pemastautin cukai ditentukan oleh jumlah hari kehadiran fizikal di Malaysia dalam tahun taksiran.

Kenapa taraf mastautin ini penting?

  • Pemastautin cukai: Dikenakan cukai atas pendapatan dari Malaysia mengikut kadar berperingkat dan layak menuntut pelbagai pelepasan (diri, pasangan, anak, KWSP, zakat, insurans, dll).
  • Bukan pemastautin: Kebiasaannya kadar tetap 30% atas pendapatan bercukai dari Malaysia, tanpa boleh menuntut sebarang pelepasan individu.

Jika anda bekerja di luar negara tetapi masih kerap pulang, anda mungkin masih pemastautin cukai Malaysia bergantung pada syarat di bawah.

Petua kira hari: Hari tiba dan hari berlepas dikira sebagai hari berada di Malaysia.

1) Seksyen 7(1)(a): ≥ 182 hari dalam tahun taksiran

Kriteria: Berada di Malaysia sekurang-kurangnya 182 hari dalam tahun cukai.

Contoh:
Ali bertugas dari Jan–Jul di KL (210 hari), kemudian pindah ke Doha Ogos.
👉 Ali ialah pemastautin cukai bagi tahun tersebut.

Contoh tidak layak:
Nadia mula bekerja di Malaysia pada 1 Oktober 2025 dan berada di sini hingga 31 Mac 2026, jumlah keseluruhan 180 hari. Walaupun jumlah keseluruhan lebih kurang 6 bulan, ia terbahagi antara dua tahun taksiran (2025 dan 2026).
👉 Jadi, Nadia tidak layak dikira pemastautin cukai di bawah Seksyen 7(1)(a) untuk mana-mana tahun, sebab tiada satu pun tahun taksiran yang mencukupi 182 hari penuh.

2) Seksyen 7(1)(b): Kurang 182 hari tapi “bersambung”

Kriteria: Berada di Malaysia < 182 hari dalam tahun semasa, namun tempoh itu bersambung dengan tahun sebelum atau selepas yang mempunyai ≥ 182 hari.

Bentuk keuzuran/ketiadaan sementara yang masih dibenarkan (dikira bersambung):

  • Urusan kerja rasmi/penempatan luar negara/seminar/latihan,
  • Rawatan diri/ahli keluarga terdekat,
  • Urusan sosial sehingga 14 hari keseluruhan.

Contoh ringkas:
Siti berada di Malaysia Jul–Dis 2023 (185 hari). Tahun 2024 dia kerja di Qatar tetapi balik 100 hari.
👉 100 hari (2024) bersambung dengan 185 hari (2023) → Siti pemastautin cukai 2024 di bawah 7(1)(b).

3) Seksyen 7(1)(c): ≥ 90 hari tahun semasa + pemastautin 3 daripada 4 tahun terdahulu

Kriteria:

  • Tahun semasa: berada di Malaysia sekurang-kurangnya 90 hari, dan
  • Pernah menjadi pemastautin dalam sekurang-kurangnya 3 daripada 4 tahun taksiran sebelumnya.

Contoh ringkas:
Faiz bekerja di Singapura. Tahun 2025 dia berada di Malaysia 110 hari. Dia pemastautin pada 2021, 2022, 2023.
👉 Faiz ialah pemastautin cukai 2025.

4) Seksyen 7(1)(d): Akan jadi pemastautin tahun berikutnya + pemastautin 3 tahun terdahulu

Kriteria:

  • Akan menjadi pemastautin pada tahun berikutnya, dan
  • Telah menjadi pemastautin dalam sekurang-kurangnya 3 daripada 4 tahun terdahulu.

Contoh ringkas:
Zarina berada di Malaysia hanya 60 hari pada 2024 (kerja Dubai), tetapi pada 2025 dia kembali dan berada ≥ 182 hari; dia juga pemastautin pada 2021–2023.
👉 Untuk tahun 2024, Zarina tetap pemastautin cukai melalui 7(1)(d).

Perhatian kepada yang bekerja di luar negara

  • Simpan bukti perjalanan (cop imigresen/rekod pas masuk-keluar, tiket, pas kerja) untuk menyokong kiraan hari.
  • Tempoh “offshore/rotational” (contoh 28/28) sering jatuh di 7(1)(b) atau 7(1)(c) — periksa jumlah hari terkumpul.
  • Status cukai ≠ status imigresen. “Pemastautin cukai” hanyalah klasifikasi cukai berdasarkan hari berada di Malaysia.

Perbandingan Ringkas Kiraan Cukai

TarafKadar cukaiJumlah Cukai AnggaranLayak pelepasan individu
PemastautinKadar berperingkat (0–30%)± RM27,000–34,000✅ Ya
Bukan pemastautinKadar tetap 30%RM60,000❌ Tidak

Kerajaan nak bezakan dengan adil antara mereka yang benar-benar tinggal, menikmati infrastruktur, bekerja dan berbelanja di Malaysia dengan yang bukan.

Jadi kalau anda kerja di luar negara tapi masih cukup hari di Malaysia (atau bersambung seperti dalam Seksyen 7(1)), pastikan anda mohon taraf pemastautin cukai. Permohonan Sijil Taraf Mastautin (STM) perlu dibuat melalui sistem e-Residence bermula 1 Februari 2023.