Cadangan Naikkan OPR Untuk Perkukuhkan Nilai Ringgit Bukan Langkah Sesuai – Fahmi

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) — Sebarang cadangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bertujuan memperkukuhkan nilai mata wang negara merupakan langkah yang tidak sesuai ketika ini, ia juga akan memberi kesan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Saya ambil maklum ada sesetengah pihak beri komen, saya tak pasti sama ada pihak tertentu ini mahu Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR. Saya jangka itu bukan satu perkara yang akan membantu rakyat pada waktu ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakna mengenai perkara ini dan saya rasa itu bukan langkah baik pada waktu ini. Apapun BNM yang akan putuskan,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi di sini hari ini bagi mengulas sama ada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu membincangkan mengenai prestasi semasa ringgit namun Fahmi menjelaskan tiada sebarang perbincangan dibuat mengenainya.

Menurut Fahmi, penjelasan mengenai prestasi ringgit telah diberikan oleh Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour semalam dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini

Abdul Rasheed dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata BNM berpandangan bahawa paras ringgit pada masa ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang dan prestasi ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.

Selain itu, mengenai peletakan jawatan tiga pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan mengenainya.

“Perkara ini tidak dibincangkan. Belum lagi…kami menerima pemakluman terkini, apakah statusnya. Tapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) ada meneliti perkara ini dan sekiranya ada pemakluman nanti, ia akan diumumkan kemudian,” katanya.

Sebelum ini, LTAT menyaksikan peletakan jawatan Ketua Eksekutifnya Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada 31 Januari lepas diikuti oleh Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari dan pada 20 Februari, Pengarah Kanan Strategi LTAT Dayana Rogayah Omar dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatan.

— BERNAMA

TAG : OPR, Fahmi, Anwar, ringgit, LTAT

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.